BAB 4

Drama Series 1775

SAMBIL menekan pedal minyak, mata Farrel ralit memberi tumpuan kepada jalan yang kurang sempurna. Berlubang sana dan sini. Memandu dalam jalan kampung, di waktu malam pula, perlahan-lahan sahaja kereta dia bergerak. Kawasan kampung memang sunyi sahaja. Jarang dia ternampak rumah-rumah orang di kawasan ini. Yang banyak cuma belukar dan hutan-hutan kecil sahaja di kiri dan kanan jalan.

Teringatkan informasi Pak Teh di surau tadi, berkali-kali dia mengira cabang setiap kali ternampak lorong kecil di sudut jalan. Kata Pak Teh, jalan ke rumah Cempaka itu di lorong ke tiga paling kecil. Jalan pula tak bertar. Dan apabila yakin yang lorong di hadapannya itu ialah lorong ke tiga yang dimaksudkan, tangan memulas stereng kereta ke arah kiri. Beberapa ratus meter seterusnya, barulah dia berjumpa dengan pagar setinggi enam kaki yang diceritakan Pak Teh.

Tidak mahu berlama-lama, Farrel melangkah keluar tanpa mematikan enjin kereta. Lampu depan kereta memang diperlukan untuk dia melihat kawasan sekitar yang gelap gelita itu.

Memerhatikan pintu pagar yang tertutup tapi tak berkunci, bibir mencebik kecil. Dia tak berniat pun nak masuk ke dalam kawasan rumah ini. Niat sebenar dia cuma nak tengok jalan dan kawasan yang Pak Teh ceritakan sahaja. Tanah yang diceritakan Pak Teh itu milik tuan rumah ini, Cempaka.

Sejak daripada petang tadi lagi Farrel asyik terfikirkan satu nama tersebut. Setelah mendengar cerita daripada Pak Teh, dia jadi berminat nak tahu macam mana rupa dan gaya gadis itu. Kata Pak Teh, Cempaka muda lagi. Orang-orang kampung memang kenal siapa Cempaka itu - gadis yang berharta. Paling berharta antara orang-orang kampung di sini. Cempaka mengurus ladang getah dan kelapa sawit sendiri. Bertambah berminat dia nak tahu dan kenal dengan gadis itu. Tak lupa juga untuk bercakap pasal tanah yang cuba diusahakan untuk dibeli itu.

Rasanya, Pak Teh beritahu, tanah itu bersebelah dengan rumah Cempaka sahaja. Dan kalau tak silap dia, tanah yang gelap gelita di sebelah sana itulah yang dimaksudkan. Bolehlah dia nampak samar-samar daripada sini.

Ralit mengintai suasana di dalam pagar sana, Farrel tersentak kecil apabila seseorang melangkah dalam diam di sebelah keretanya. Mengucap panjang dia seketika memerhati seorang perempuan berjalan ke arah pintu pagar. Dada digosok-gosok perlahan, cuba untuk bertenang. Demi Tuhan, terkejut benar dia!

“Ehem-ehem.” Tidak pasti untuk memulakan ucapan apa, Farrel sekadar berdehem kecil. Dada yang berdebar diendahkan begitu sahaja.

Tidak mahu berfikir yang bukan-bukan, salam dihulur pula dengan sopan. “Assalamualaikum.”

Tak menghiraukannya, perempuan tersebut bergerak tenang membuka pintu pagar dan melangkah masuk ke dalam. Farrel jadi kelu seketika. Tak pasti apa yang sedang berlaku sekarang. Salamnya langsung tak bersambut.

“Cempaka?” soalnya kepada empunya badan yang sudah cuba menutup semula pintu pagar. Namun pandangan kosong sahaja yang diterima. Wajah yang samar-samar dilimpahi cahaya lampu keretanya itu sukar untuk dicam dengan baik. Sesaat kemudian, tangan gadis itu naik membetulkan selendang putih yang tersangkut di kepala, meletakkan dengan elok supaya tak menutup wajah.

Dan sesaat itu, Farrel tak mampu berbuat apa-apa. Suara tak langsung terkeluar daripada bibir mulutnya. Hanya wajah tunak membalas pandangan yang manis itu kepadanya. Terpaku dia seketika. Wajah itu terlalu luar biasa untuk dia rumuskan dengan ringkas. Tubuhnya di sini pula, terasa seram sejuk dan dingin sahaja.

Bibir pula tak mampu untuk bersuara lanjut. Diam sahaja dia membalas pandangan yang sangat manis di matanya itu. Dan apabila matanya mula berkedip semula beberapa kali, pahit sahaja senyuman yang terlakar di wajah. Akhirnya suara yang tersimpan sebentar tadi berbunyi semula, cuba untuk dikeluarkan, namun gadis itu sudah pun berpaling ke sana. Liur tertelan masuk semula ke dalam anak tekak.

Tangan pula laju sahaja naik menyentuh belakang tengkuk. Terasa lain macam sahaja vibe yang dia terima. Tapi hati masih yakin untuk berdiri di situ. Masih mahu memerhati langkah sopan gadis itu yang bergerak perlahan. Sudah agak jauh, mendekati tangga rumah.

Sekali lagi tangan Farrel naik menyentuh batang tengkuk. Tiba-tiba terasa seriau sahaja badannya. Memandang semula ke rumah sana, matanya berkerut kecil. Cempaka sudah tiada. Cepat betul masuk ke dalam rumah. Dia tak sempat tengok pun gadis itu mendaki anak tangga. Apatah lagi membuka pintu.

Kepala digeleng-gelengkan perlahan, tak mahu berfikir yang bukan-bukan. Dia tahu kawasan di sekitarnya ini sunyi dan sepi, tapi belum terfikir lagi dia akan benda yang pelik-pelik. Jelas di matanya sebentar tadi, wajah gadis itu yang menghantar senyuman kepadanya. Orang, bukannya mahkluk yang pelik-pelik!

Memerhati kawasan di sekelilingnya untuk kali yang terakhir, tangan Farrel kemudiannya mencapai pintu kereta.

“Mmbekkk!”

Terloncat Farrel di situ tanpa sempat membuka pintu kereta. Tangan pantas mencapai dada yang berdebar. Allahuakbar, boleh pengsan dia kalau berkali-kali kena macam ni. Mata melilau spontan, tercari-cari dia daripada mana datangnya suara kambing yang mengembek sebentar tadi.

“Mmbek!”

Muncul seekor kambing betul-betul di depan pintu pagar. Surut sedikit dada dia yang berdebar melihat empunya suara. Real rupanya!

“Uish, kau ni kambing. Buat orang terkejut ajelah!”

Sekali lagi kambing bertompok hitam dan putih tersebut mengembek kepadanya sebelum dia menghalau perlahan. “Pergi-pergi. Jangan nak buat bising. Pergi!” halaunya bersungguh.

Melihat kambing tersebut diam sahaja memandangnya, Farrel mendengus kecil.

“Kau ni kambing Cempaka ke? Kirim salam dekat dia, ya?”

Tak membalas apa-apa, kambing tersebut hanya diam sahaja di situ. Kemudian cepat-cepat Farrel meloloskan diri ke dalam kereta. Berlama-lama lagi dekat situ, entah siapa, atau binatang apa pula yang datang buatkan dia terkejut.

MEMANDANG air sungai yang cetek dan beralun perlahan itu, jiwa terasa damai dan tenang sahaja. Farrel tahu, idea untuk projek homestay dia akan berjaya. Kawasan kampung ini cukup menenangkan. Dengan adanya sungai jernih yang bersambung terus daripada air terjun beberapa kilometer di atas sana, dia yakin ramai pengunjung yang akan datang ke homestaynya nanti.

Bilik yang dibina sebanyak dua puluh buah itu mungkin masih belum cukup banyak, tapi untuk percubaan pertama, rasanya dia dah boleh berbangga. Dia sendiri yakin yang beberapa bulan sahaja, sungai di sini akan meriah dengan pengunjung-pengunjung yang akan datang beristirehat.

Walaupun Kampung Batu Hitam ini berada jauh sedikit daripada jalan besar yang menuju ke bandar dan berada di kawasan pedalaman, dia tahu memang itulah kelebihan yang dia nak. Suasana kampung semula jadi itulah penarik sebenar untuk pengunjung datang ke sini.

Boleh dia bayangkan wajah-wajah gembira ibu-bapa membawa anak-anak mereka untuk bermandi-manda di sungai ini. Tarikan air sungai yang cetek dan bersih itu memang sukar untuk ditolak.

Selepas ini, dia akan bina kantin atau cafe juga di sini, supaya orang ramai yang datang sekadar untuk bermandi-manda sahaja boleh menikmati makan-makan yang akan dijual di sini. Dia bercadang untuk mencari orang kampung yang boleh uruskan cafe tersebut. Kalau boleh, dia nak sediakan room service juga untuk pengunjung yang menyewa di homestaynya. Jadi segala jenis hidangan makanan akan disediakan khas.

Bayangkan, banyak peluang pekerjaan yang boleh dia tawarkan kepada penduduk-penduduk setempat. Jika dia gigih dan bijak mengurus, tak akan mengambil masa yang lama rasanya untuk dia majukan idea business ini. Tak mampu disorok rasanya perasaan bangga di dalam dada. Bersyukur sangat-sangat sebab semua urusan dia di sini berjalan lancar sahaja.

“Farrel, jomlah balik. Dah nak dekat Zohor dah ni. Kata nak pergi rumah Cempaka, kan lepas ni?”

Farrel berpaling ke arah Pak Teh yang bersuara. Lelaki itu tersenyum sahaja berjalan ke arahnya. Kepala diangguk perlahan dengan ajakan lelaki itu. Melihat daun-daun hijau di tangan lelaki itu, mata memerhati dengan serius. “Itu ke pucuk paku?” soalnya ingin tahu.

“Inilah pucuk paku. Banyak lagi dekat sebelah sungai sana tu, tapi cukuplah banyak ni. Nanti Mak Teh kamu sayurkan, bolehlah makan nanti.”

Berminat Farrel nak tahu pucuk paku yang tak pernah dia tengok itu. Katanya sedap kalau digoreng atau dimasak sayur putih. Dia tak tahu sebab dia tak pernah makan. Bila Pak Teh dah kutip dan akan dimasak nanti, teringin jadinya dia nak rasa. Duduk di kampung, memang dia nak rasa macam-macam jenis masakan kampung dekat sini.

Disebabkan rumah Pak Teh dan tapak homestay yang dia bangunkan ini beberapa ratus meter sahaja, Pak Teh bersungguh mengajak dia untuk naik motosikal. Katanya mudah lagi naik motor daripada naik kereta. Dia ikut sahajalah lelaki itu tanpa banyak cakap.

Menunggang semula motorsikal balik ke rumah, dia dan Pak Teh disambut Mak Teh di beranda rumah. Wanita itu sudah sediakan air siap-siap menunggu dia dan Pak Teh balik.

“Dah siap buat air dah. Duduklah minum dulu Farrel. Panas-panas ni, kena air sirap pun sedap.”
Farrel duduk sahaja tanpa membalas.

“Liza yang buat air ni. Mak Teh nak buat air nak bawa keluar lagu mana. Nak pegang tongkat lagi, nak pegang dulang air lagi.”
Farrel tertawa kecil dengan ucapan Mak Teh. “Tak payahlah susah-susah Mak Teh kalau tak larat. Saya okey aje. Tak hidang air pun tak apa,” ujarnya berbahasa dengan wanita itu.

“Tak apalah. Kamu nak duduk lama dekat sini. Mak Teh layan kamu setakat mampu Mak Teh aje, ya? Kalau kurang tu, kamu faham-fahamlah.”

“Terima kasih, Mak Teh. Macam saya cakap, Mak Teh tak payah nak susah-susahkan diri sangat pun.”
Wanita itu tersenyum sahaja dengan balasannya. Kemudian mempersilakan dia minum.

“Ni, kamu bercakap dengan Roni tadi, dia cakap bila boleh siap?” Pak Teh bersuara pula menyoal.

Teringat perbualan dia dan Roni, tukang rumah yang diupah untuk siapkan projek homestaynya itu, Farrel menjawab dengan teruja.

“Seminggu lagi dia cakap, siaplah dia tampal dinding simen tu semua. Lepas tu, bolehlah cat dan buat pendawaian semua. Tak sampai sebulan, siaplah semua sekali. Pagar yang keliling rumah-rumah tu pun dah siap elok dah,” terangnya penuh teruja.

“Cepat Roni tu buat kerja, ya?”

“Tulah. Dia cakap, anak-anak buah dia lima orang aje.”

“Kita pun bayar dia tiap-tiap minggu, itu yang cepat tu.”

Farrel mengangtuk dalam tawa kecil. “Saya puas hati tengok kerja dia. Tak ada sebablah kita nak hold upah dia tu.”

“Betullah tu.”
“Oh, Pak Teh. Pasal idea cafe tu. Saya rasa saya nak buat deallah dengan orang kampung ni. Apa kata semua jenis bahan mentah untuk cafe tu, kita dapatkan daripada orang-orang sini aje. Bahan-bahan untuk masakan kampung. Ayam, ikan, itik ke apa, semualah. Sekurang-kurangnya saya dah boleh bantu ekonomi orang kampung sekali.”

“Bagus sangat tu Farrel.” Pak Teh memuji ringkas idea yang diperkatakan. “Tak apa, malam nanti Pak Teh beritahu dekat surau. Siapa-siapa yang nak ambil peluang ni, boleh bincang dengan kamu nanti.”

Farrel mengangguk bersetuju dengan cadangan tersebut. Lepas ni, dia nak hasilkan menu-menu kampung sahaja di cafenya. Daripada makanan utama sampai ke kuih-muih, biar berasal daripada kampung ini sahaja. Setakat yang termampu, dia akan utamakan produk tempatan sahaja.

“Kalau nak ayam, Saleh rasanya bela ayam kampung. Betul tak, bang?” Mak Teh bersuara memberi pendapat

“Haah. Saleh bela ayam kampung. Tapi tak banyak manalah.”

“Tak apalah, Pak Teh. Kalau banyak permintaan, nanti kita suruh dia naikkan lagi pengeluaran.”

Menganggu-angguk Pak Teh dengan balasan Farrel. Fahamlah serba sedikit bahasa perniagaan itu.

“Kalau ikan. Rasanya Wan Janda tu ada bela ikan. Keli dengan belut kalau tak silap. Dia biasanya jual dekat orang restoren dekat bandar tu. Kalau nak, nanti kita boleh bincang dengan dia sekali.”

“Bagus jugak tu. Nanti Pak Teh cakapkan dekat dia sekali. Kita bincang dulu elok-elok,” balas Farrel bersetuju. Air sirap di dalam gelas diteguk habis.

Selepas ini, dia kena bersiap untuk ke surau pula dengan Pak Teh. Lelaki itu memang cukup lima waktu ke surau. Jadi kalau-kalau sempat lepas ni, memang dia akan ikut sekali. Seronok juga boleh kenal-kenal dengan orang kampung. Sebab tak lama lagi, mungkin dia pun akan duduk di sini juga. Hati tertawa girang dengan perjalanan hidup yang agak lancar sahaja. Dengan nikmat yang diberi, dia tak boleh lalai dan lupa diri. Untung juga dapat tinggal dengan Pak Teh dan Mak Teh yang kuat pegangan agama. Kurang-kurang, melekat juga sedikit-sebanyak rasa rendah diri di badan dia ni.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience