PROLOG II

Drama Series 1775

MERIAH. Itu sahaja sudah cukup untuk menggambarkan suasana di majlis perkahwinan yang diadakan. Cukup sahaja jam lima petang, gulai kawah yang disediakan sebanyak tiga kawah sudah pun licin. Ramai tetamu yang datang ke majlis perkahwinan Cempaka dan Azlan. Gembira Mak Wan apabila ramai kenalan dan kaum kerabat memuji majlis perkahwinan yang meriah dan indah itu. Dah boleh jadi wedding of the year.

Kata mereka, gulai daging sedap. Memang kembang jugalah dada Mak Wan. Itu belum lagi dia dengar pujian-pujian tentang anak menantu baru dia tu, Cempaka. Tuhan sahajalah yang tahu betapa bangganya dia. Anak sulung dia akhirnya bernikah dengan orang yang elok-elok. Bersyukur dia sangat-sangat!
Selesai budak-budak yang diupah untuk menguruskan segala kelengkapan dan bahan-bahan rewang, Mak Wan duduk berehat dengan keluhan lega. Dada tak sudah-sudah mengucap syukur dengan perjalanan majlis yang dirancang selama lebih dua bulan ini berjalan dengan sangat lancar.

“Mak, mak nak duduk sini ke nak balik?”
Panggilan Aathif menyentak Mak Wan kecil. Anak kedua dia itu suka sangat bercakap tak tengok kiri kanan. Kalau dia ni ada sakit jantung, agak-agak dah lama arwah.

“Nak baliklah. Nak duduk sini buat apa?”

“Haahlah. Malam ni malam pengantin baru yang punya. Kita nak duduk sini buat apa, kan?”

Mak Wan tersengeh kecil. Suka dia bila terkenangkan Azlan yang dah berbini. Mungkin tak lama lagi, dia akan dapat cucu pula. Alahai, tak sabar dia dibuatnya.

“Mak...!”

Suara menjerit daripada dalam buatkan Mak Wan dan Aathif sama-sama termanggu.

“Kak Cempaka kamu ke tu?”

“Siapa lagi, mak?”

“Ya Allah, kenapa pulak dah?”

Deras sahaja langkah Aathif mendaki anak tangga. Emaknya yang terpinga-pinga dilintas begitu sahaja. Berlari-lari dia masuk ke dalam rumah.

“Kak?” jeritnya, mencari di mana kak iparnya itu berada.

“Aathif....”

Terdengar sahaja suara Cempaka menyahut, cepat-cepat dia berlari ke bilik pengantin.

“Kak, kenapa ni?” Melihat Cempaka yang menangis di sebelah abangnya, laju sahaja Aathif menyoal.

“Cempaka. Kenapa, ada apa?” Muncul pula Mak Wan yang tercungap-cungap mengambil nafas. Rumah Cempaka ni luas, ambil nyawa juga dia nak berlari sampai ke bilik ini.

“Lan? Kenapa ni?”

“Abang...” rayu Cempaka, pilu.

Mak Wan menerkam ke arah Azlan dengan cemas. Badan anak sulungnya itu disentuh dan digoncang-goncang perlahan namun tiada sebarang reaksi yang diterima. Dada berdebar hanya Tuhan sahaja tahu. Cemas dia menepuk-nepuk wajah Azlan.

“Cempaka rasa, nadi abang dah tak bergerak.”

Mencerlung sahaja wajah Mak Wan mendengar ucapan yang keluar daripada mulut Cempaka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience