BAB 1

Drama Series 1775

HIDUP di kampung, lepas Maghrib sahaja suasana dah bertukar sunyi. Bunyi cengkerik menyanyi-nyanyi itu sajalah yang buatkan malam tak terlalu sepi. Lagu kampungan, kata orang.

Selepas solat sebentar tadi, cepat-cepat Cempaka berlari ke luar, duduk di atas beranda rumah. Malam ini bulan penuh, jadi memang rutin kebiasaan dia untuk duduk mengadap bulan. Kebiasaan yang tak boleh nak ditinggalkan. Sudah sebati sejak daripada kecil lagi dengan diri dia. Bukan apa, cahaya bulan nampak indah sangat-sangat. Damai sahaja jiwa dia apabila tiap kali boleh menatap bulan mengambang. Kata Eton, dia ni jenis jiwang. Ah, tak adalah! Dah memang bulan tu cantik, dan dia suka, apa salahnya?

Kalau tengok bulan, kadang-kadang dia boleh rasa sebak. Walaupun tak faham kenapa, tapi dia tetap seronok. Rasa puas dan rasa selamat. Kadang-kadang lagi, dia rasa terlebih teruja. Terlalu bersemangat! Dan semua perasaan yang dia rasa, semuanya bagi dia bermakna belaka. Tak ada satu pun perasaan yang perlu dia buang walaupun dia tak faham kenapa perasaan tersebut timbul.

Bagi Cempaka, jiwa manusia terlalu unik dan hebat. Banyak yang boleh kita rasai walaupun dalam satu masa yang sama. Cuma kita sahaja yang perlu bijak menilai dan mengurus jiwa sendiri supaya tak terbabas ke mana-mana.

Zaman sekarang, kalau tak diurus perasaan dengan baik, banyak mudaratnya. Boleh menyebabkan sakit dan kemurungan. Banyak punca kemurungan sebenarnya, dan salah satunya adalah tak bijak mengurus perasaan. Pagi tadi dia ada terbaca berita, katanya 1/10 daripada orang muda mengalami stress. Aduhai, belum lagi bercakap pasal depressed dan anxiety. Topik hangat zaman sekarang! Banyak kes bunuh diri disebabkan penyakit mental tersebut.

Cempaka tinggal di kampung, jadi topik begitu agak taboo di sini. Tak ada satu pun yang boleh dibawa berbual pasal benda-benda macam tu. Kalau dengan Eton, setiap hari bercakap pasal makan, pasal baju yang kena basuh, pasal rumah lama ini yang kena jaga sana dan sini. Dan tak lupa juga pasal bunga-bunga yang ditanam di sekitar rumah dia ini.

Teringat pasal bunga, pagi tadi dia ada semai pokok bunga matahari. Dah lama dia berkenan nak tanam bunga matahari yang kembang besar itu di laman rumah dia ni, jadi apabila dia ke pekan kelmarin, dia belilah benih pokok bunga tersebut. Teruja dia nak tunggu benih tersebut naik dan membesar.

Sedang asyik mengelamun, suara Bulat mengembek buatkan mata menyorot ke bawah pokok mangga berdekatan pangkin di bawah sana. Bibir merekah dengan senyuman apabila melihat Bulat menggeleng-geleng kepala. Kambing busuk dia sekor tu memang tak reti nak tidur lagi waktu-waktu macam ni. Ada ajelah perangai tu nak menegur dia dekat sini.

“Tidurlah, Bulat. Dah malam ni. Tak payah nak main lagi dah,” tegurnya dengan tawa kecil. Lucu melihat telatah Bulat yang selalu sahaja banyak perangai.

Malas nak hiraukan lagi keletah Bulat, dia kembali menyangkut dagu dan merenung bulan dan bintang di atas sana. Dulu, Tok Nek dia pernah pesan - sifat orang wanita kena lembut dan tenang. Perlu bijak dan yakin diri. Jadi seperti bulan, walau di malam kelam, ia tetap bersinar walaupun bersendirian. Dan bila dia dah besar sekarang ini, dia banyak berfikir sendiri, macam mana nak jadi wanita seperti Tok Nek yang sentiasa dihormati orang ramai.

Hidup yang sejak daripada remaja berdikari seorang diri, tak banyak inspirasi yang boleh dia dapat. Ibu meninggal sewaktu umur dia empat belas tahun. Seterusnya, dia hanya hidup dengan ayah sebelum ayah pula pergi waktu dia habis SPM.

Sedih dan pilu, sudah banyak diratap sendiri. Ada Eton, tapi apalah sangat yang Eton boleh buat. Wanita yang sudah nak masuk 40-an itu tak normal macam orang biasa. Jadi semuanya dia simpan seorang diri. Menyimpan rasa sudah jadi sebati dengan dia. Sudah tak rasa terbeban langsung. Habis teruk, dia menangis seorang diri. Tapi biasanya, kerja-kerja mengurus ladang dan kebun banyak buatkan dia jadi bijak mengurus diri sendiri.

Sejak ayah meninggal, dia terpaksa mengurus sendiri semua ladang getah dan kebun berekar-ekar yang ditinggalkan. Walaupun dia seorang perempuan, tapi hidup di kampung, semua itu biasa sahaja di mata semua orang. Dan dia bernasib baik sebab ada pekerja-pekerja yang boleh dipercayai dan baik-baik belaka. Tak adalah berat kerja-kerja yang dia kena hadap.

Makin ralit mengelamun, bunyi motosikal masuk ke laman rumahnya buatkan bibir tersenyum kecil. Sudah kenal sangat dengan bunyi enjin motorsikal tersebut. Sebelum masuk pintu pagar sana lagi dia dah boleh cam.

Melihat Aathif turun daripada motor dan membimbit plastik di tangan, Cempaka bangkit daripada duduk dan bergerak ke anak tangga.

“Bawak apa pulak tu?” soalnya, menegur.

“Ni haa, ikan keli. Petang tadi Aathif cuci kolam ikan tu. Ada yang besar dua tiga ekor, Aathif ambillah. Akak cakap nak makan keli, kan hari tu?”

Cempaka menggeleng kecil. Si Aathif ni memang selalu sangat manjakan dia. Cakap sikit aje pun dah pergi cari. Pantang keluar sahaja daripada mulut dia ni, laju sahaja sampai depan mata.

“Terima kasih. Sedaplah pagi esok makan nasi dengan paprik ikan keli.”

“Haa, boleh Aathif datang makan samalah tu.”

“Datang ajelah. Macam tak biasa pulak dapur buruk akak tu kamu jenguk.”

Aathif tertawa kecil sambil menghulur plastik di tangan. Duduk kemudian dilabuhkan di anak tangga ke tiga.

“Ni kamu bawak ikan keli ni, mak tak ada cakap apa-apa ke?”

Aathif mencebik kecil. “Mak, apa sangat yang dia tak cakap? Macamlah akak tak kenal mak tu,” balasnya acuh. Tadi masa nak datang, dia saja senyap-senyap start motor ke mari. Alah, kalau mak dia tanya balik nanti, dia cakap ajelah dia pergi sembahyang Isyak dekat surau.

“Sebab akak kenal mak tulah akak tanya. Akak tak suka tau kamu bergaduh dengan mak. Lagi-lagi pasal akak.”

“Tak payahlah akak pikir pasal mak tu. Biarlah dia.”

“Tak bolehlah macam tu.”

“Akak, minggu lepas masa dia serang akak dekat kedai Abang Isa pun orang tak puas hati lagi dengan dia, tahu!”

Cempaka mengeluh kecil dengan rungutan tersebut. Alah, bukan apa sangat pun. Bekas mak mentua dia tu memang jenis lantang sikit, biasalah kalau dia kena sembur. Dia tak anggap apa-apa sangatlah. Terkilan kecil tu bukan apa-apa pun. Tapi macam biasa, Aathif yang melebih-lebih berbanding dia sendiri.

“Mak bukan cakap apa punlah. Macam yang dia duk selalu cakap tu aje,” balasnya dengan nada tak terkesan apa-apa.

“Dah tujuh bulan, kak, abang tak ada. Mak tu lebih-lebih sangat. Geram Aathif kalau pikir-pikir.”

“Tahu... akak tak salahkan mak kalau dia terkesan lagi. Akak pun sama macam mak jugak.”

“Kak, tuduhan mak tu teruk, tau? Dia duk jaja dekat orang kampung pasal akak, ingat tu apa, elok sangat?”

Cempaka tersenyum pahit. Teringatkan kata-kata perit yang bekas mak mentua dia lemparkan, dia sendiri terkejut dan takut. Banyak mata yang mula pandang serong ke arahnya. Tapi nak buat macam mana, dia sendiri tak faham apa yang terjadi. Mungkin benar tuduhan tersebut?

Jujurnya, dia sendiri pun mula terkesan apabila tiap kali terdengar orang bercakap. Perit, tapi apa aje yang mampu dia buat selain tutup telinga sendiri. Nak tutup mulut orang dia tak mampu, jadi tutup telinga sendiri sahajalah yang boleh dia buat.

“Kak, jangan nak diam sangat bila mak serang-serang akak. Akak kena lawan!”

Tertawa Cempaka, kecil. “Nak lawan apa? Jangan nak buat kelakarlah,” balasnya dengan tawa yang jelas dibuat-buat.

“Sekurang-kurangnya akak balaslah. Cakap dekat mak, dekat orang-orang kampung yang tuduhan diorang tu mengarut. Dah 2020 ni, kak. Cerita mengarut macam tu pun ada orang nak percaya!”

“Mungkin betul.”

Bulat mata Aathif membalas pandangan bekas kak iparnya itu. Tak percaya yang Cempaka boleh cakap macam tu.

“Apa, tak betul? Dah dua orang, Thif, suami akak. Mungkin betul akak ni bawa sumpah.”

“Tak, tak, tak. Akak tak payah nak mengarut sama. Tak, Aathif tak percaya!” Bersungguh Aathif membantah ucapan Cempaka. Sungguh, geram dia apabila tiap kali dia dengar daripada mulut mak dia dan mulut orang-orang kampung, kata Cempaka terkena sumpah.

Sudah dua orang suami Cempaka meninggal dunia pada hari perkahwinan. Pertama, tiga tahun lepas, Fattah anak Penghulu Rahim, meninggal disebabkan kemalangan sebelum sempat bersanding. Dan kedua, abangnya Azlan. Malam pengantin yang sepatutnya ceria dan penuh indah bertukar sadis apabila abangnya rebah tak sedarkan diri. Doktor sahkan yang abangnya terkena serangan jantung.

Dan semua itu sudah cukup untuk buatkan orang kampung menjaja cerita mengatakan Cempaka terbawa sumpah. Sesiapa sahaja yang berkahwin dengan gadis itu akan meninggal dunia tanpa sempat ‘menyentuh’ Cempaka. Orang kampung menjaja cerita tersebut dengan jolokan Sumpah Si Dara Suci – Cempaka akan kekal suci sampai ke mati.

Aathif tak mampu bayangkan macam mana peritnya tuduhan tersebut. Dia yang dengar pun dah pedih ulu hati, apatah lagi empunya badan. Kagum sendiri dia dengan sikap tabah dan sabar Cempaka.
“Tak luruh punlah isi kulit akak dengar orang menjaja cerita akak tu.”

Sekali lagi Aathif mengeluh keras mendengar ayat balas Cempaka. Itulah, macam tulah sikap bekas kak ipar dia ni. Tak pernah sekali nak cuba tegakkan kebenaran.

“Masalah sekarang, benda tu buat nama akak buruk. Ya Allah, tak boleh bayanglah Aathif bila dengar diorang mengumpat pasal akak. Kolot sangat dakwaaan tu!”

“Kamu tak kenal Tok Nek akak, Thif.”

“Kenapa dengan Tok Nek akak pulak?”

“Orang lama, Thif, faham-fahamlah. Ilmu orang lama ni kadang-kadang pelik!”

“Kejap.” Kening Aathif berkerut rapat. Bingung dengan cerita yang cuba disampaikan. “Akak nak cakap yang benda ni betul?”

“Entahlah, Thif. Banyak kali dah akak mimpi Tok Nek datang jumpa akak. Nak cakap apa pun akak tak reti. Mungkin benda ni ada kena mengena dengan ilmu Tok Nek dulu?”

“Ya Allah, kak!” sanggah Aathif laju. “Tak payahlah akak percaya benda pelik-pelik macam tu. Biar orang kampung aje yang jadi benak. Akak tak payahlah!”

Ketawa kecil Cempaka dengan reaksi Aathif. Dia bukan apa, dia tahu orang lama ada mengamal ilmu yang tak kita fahami. Dan untuk dia kaitkan dengan situasi dia, tak adalah berkait sangat pun. Tapi itulah, bila orang bercakap ke hulu ke hilir, dia sendiri jadi sangsi.

Dia yang menanggung. Dia yang kehilangan suami. Tuhan sahaja yang tahu betapa lelah menanggung rasa. Tapi apakan daya, dia tetap perlu teruskan hidup.

Dulu sewaktu nak menikah dengan Fattah, dia sudah mencipta angan-angan untuk mencipta keluarga yang bahagia. Nak ada anak-anak yang ramai. Dia tak nak keluarga dia jadi macam dia. Hidup sebagai anak tunggal, langsung tak ceria. Dan semua itu diimpikan dengan penuh indah. Namun Tuhan lebih memilih untuk memberikan dia duka. Memberi ujian yang cukup perit.

Tiga tahun dia bersendiri kembali. Ditinggalkan sang suami yang selama ini mencipta impian bersama. Kemudian muncul pula Azlan. Jiwa yang kesepian akhirya berjaya diisi lelaki itu. Dan begitulah cerita seterusnya, dia akhirnya ditinggalkan sekali lagi. Belum sempat bermadu kasih dengan seorang suami yang sepatutnya mengasihi dan menyayanginya.

Dalam membasuh luka sendiri, rupanya timbul pula ujian baru. Jolokan Sumpah Si Dara Suci terlalu berat untuk diterima. Lebih-lebih lagi daripada bekas mentua yang dulunya cukup baik dan sangat menyayangi. Dia faham, Mak Wan mungkin terluka dengan pemergian anak sulungnya, tapi dia juga sama, ditinggalkan suami yang cukup baik dan prihatin dengan nasibnya. Sudah berbulan rasanya dicemuh orang. Mata-mata lelaki di kampungnya juga dia perasaan sudah lain benar memanah ke arahnya. Takut agaknya kalau-kalau dia ajak menikah.

Begitulah takdir Tuhan. Terlalu bersirat dan payah untuk ditafsir akal manusia. Dia sendiri rasanya sudah mengalah untuk menyebut satu patah perkataan tersebut – berkahwin.

Bodoh rasanya kalau dia langsung tak terkesan dengan cerita sumpahan tersebut. Lihatlah dia sendiri, hidup menyendiri jauh daripada orang ramai. Rumahnya agak jauh sedikit daripada jalan utama kampung mereka. Tinggal pula dengan Eton yang tak berapa betul. Dikelilingi hutan dan ladang yang sunyi sepi. Siapa sahaja yang tak nak berprasangka dengan diri dia? Mungkin sebab itulah mudah orang percaya dengan cerita yang bekas mentuanya bawa.

“Akak?”

Pandangan jatuh semula ke arah Aathif di bawah.

“Sudahlah tu, Thif. Akak malas nak bercakap pasal benda ni.”

“Tak boleh, kak. Ini soal maruah dan masa depan akak!”

“Biarlah... Akak sendiri tak rasa nak fikir pasal masa depan akak lagi dah. Cukup banyak dah apa yang akak ada sekarang. Tak perlulah nak meminta benda yang belum tentu mampu.”

“Akak cakap dengan Aathif sekarang. Cakap yang akak tak percaya dengan benda karut tu!”

Cempaka sekadar tersenyum tawar. Tak mampu nak bersungguh menolak.

“Kak?”

“Pergilah balik, Thif. Nanti bising pulak mak tu.”

Aathif bangun dengan perasaan serba-salah. Pandangan tajam memanah ke dalam mata Cempaka. Memang betul Cempaka tu bekas kak ipar dia, tapi tak salah kalau dia mula jujur dengan niat dan perasaan sendiri.

“Jom kita kahwin, kak!” ujarnya penuh yakin.

Terpaku Cempaka seketika sebelum tawa pula terbit di bibir. “Nak bergurau apa kamu ni, Thif? Pergi balik cepat!”

“Tak! Aathif serius ni, kak! Kita kahwin, dan kita tengok sendiri mati atau tak Aathif ni nanti.”

Kesat sahaja liur yang cuba ditelan Cempaka. Anak mata tunak membalas pandangan yakin Aathif kepadanya. Oh Tuhan... apa lagi takdir yang kau hamparkan untuk aku?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience