“Sah ke dik?”
“InshaAllah sah kak. Nanti saya ambilkan air wudhu untuk akak wudhu’kan mak cik.”
Aku terus mengambil besen biru di troli bed bath dan mengisikannya dengan air suam. Lalu aku berikannya kepada kakak tadi.
Aku keluar dari unit tersebut selepas menjelaskan kaedah solat dengan isyarat mata. Aku pun keluar dan menarik langsir pembahagi.
Alhamdulillah, seorang pesakit telah terselamat dari dosa meninggalkan solat. Aku segera berjumpa kakak penyelia meminta izin untuk pergi solat di surau wad.
Dalam perjalanan ke surau, aku berselisih dengan madam. Mungkin dia telah selesai urusan dengan rakanku di wad sebelah.
“Nak ke mana Hafiz?”tanyanya.
“Surau, saya solat sekejap ya.”
“Okay. Siapa jaga pesakit kamu?”
“Tadi dia tengah solat. Anak dia jaga. Saya dah bagitahu kakak nurse yang saya keluar sekejap untuk solat. Dia akan tengokkan mak cik tu sekejap.”Jawab saya panjang lebar.
“Okay, baik. Pergilah solat. Doakan untuk saya juga.” Kata Madam dengan senyuman.
Madam bukan Islam. Tetapi dia sangat menghormati orang Islam. Aku bergegas ke surau dan menunaikan solatku.
Di hujung solat, aku sempat berdoa semoga mak cik tadi sembuh dan diberikan kesihatan yang baik. Aku terbayangkan mak cik itu ialah ibuku. Kedut-kedut di mukanya seolah-olah kedut di muka ibuku. Tak jauh beza umurnya mungkin.
Share this novel