Bab 1 : Permulaan

Romance Series 15429

PAGI yang indah adalah subuh pagi yang hujan lalu mentari keluar dan memanaskan bumi. Udaranya cukup segar, cahayanya cukup sinar lalu melengkapi dengan bauan tanah selepas hujan. Nyaman.

Lisa menyiapkan makanan sarapan untuk Syah. Kebab daging adalah pilihannya. Tapi, Lisa sengaja menambah satu lagi menu iaitu sandwic tuna.

“Sayang?” panggil Syah perlahan dan masuk ke dapur.

Lisa tersenyum memandang Syah dan memeluk Syah. Beginilah Lisa suka akan pelukan. Baginya pelukan adalah terapi dan pelukan adalah seakan-akan mengecas tenaga mereka berdua. Syah memeluknya dengan kuat dan Lisa tergelak manja.

“Makanan hari ni kebab kan? I memang nak makan tu,” kata Syah sambil melihat balutan kemas seperti kebab itu. Lisa mengangguk dan melepaskan pelukan.

“Ada tambahan sandwic tuna. I takut you lapar sayang. Nanti jangan lupa makan,” pesan Lisa.

Syah mengangguk bagai mencari seseorang. “Kejap lagi you hantar Ali kan?”

“Tak sayang. Hari ni I mintak kerja dari rumah sebab I nak suap Ali makanan pertama dia. Kan hari ni Ali dah 6 bulan.” Lisa tersenyum manis.

Syah tepuk dahi. “Nak I cuti sekali tak hari ni?”

“Hmm, tak payah. You nak kena pergi site kan sayang?”

Syah angguk perlahan dan memeluk Lisa kembali. “Sorry, nanti jangan lupa record dan hantar kat saya dulu baru nak post kat mana-mana tau.”

Lisa balas pelukan dengan lagi kuat. “Ya, sayang. Bawak motor hati-hati.”

Syah melepaskan pelukan. Lisa dan Syah memandang Ali yang sedang tertidur di ruang depan. Syah mencapai helmet dan memandang Lisa dengan penuh dan kasih sayang.

“I love you.”

Lisa pegang kedua-dua pipi Syah. “I cinta you lebih.”

Pintu rumah ditutup dan Syah hilang daripada pandangan. Lisa melepaskan nafasnya perlahan bila dia masih teringat jam tangan yang dipakai oleh Syah tadi.

MOTOSIKAL diparkir. Syah membuka helmetnya dan membetulkan rambutnya yang halus. Rambut yang sering dibelai oleh Lisa. Perlahan langkah Syah diatur menuju ke bangunan berwarna kelabu itu. Dia perlu ke situ untuk membuat lawatan kerja.

Seperti hari biasa Syah lebih suka meminum kopi kerana baginya kopi adalah penambah rasa dalam kehidupannya. Malah kopi adalah satu falsafah dalam hidupnya.

“Hot latte, please.”

Perempuan pelayan di hadapannya itu terpaku dengan Syah. Syah memandang pelik dan beri senyuman sambil mengulang lagi permintaannya.

“I need one hot latte, please.”

Perempuan pelayan itu masih di situ berdiri tegak. Lalu, staf kafe lain yang berada di situ menepuk bahu pelayan itu.

“Abang Syah, kan?” Terus saja dia terkejut dan terpantul ayat itu.

Syah berkerut wajahnya. Dia tidak mengenali perempuan di hadapannya ini tapi kenapa perempuan ini mengenalinya. Bagai memahami terus saja pelayan itu mengenalkan diri.

“Shuhada! Ada adik Malik. Kenal tak?” Dengan penuh keterujaan dia kenalkan diri.

Raut wajah yang tadi bagaikan tiada idea siapakah wanita di hadapannya ini kini bertukar menjadi wajah teruja.

“Adaaaaaa!!!”

“Ya, abang!”

“Rindunya…”

Shuhada tergelak manja. “Mestilah.”

“SEDAP tak air yang Ada buat?” tanya Shuhada dengan senyuman yang manis dan manja. Tidak dia sangka dia akan bertemu dengan lelaki ini. Lelaki yang sering memanjakannya selain abangnya Malik atau lebih tepat arwah Malik.

Syah tersenyum dan mengangguk. “Sedap. Pandainya buat. Bila start kerja sini sebelum ni tak ada pun.”

“Ada kerja kat cawangan lain sebenarnya. Ni pun isi waktu cuti semester je ni. Abang kerja kat sini ke?” Teruja sungguh Shuhada ketika ini. Ya, dia kini sudah jadi dewasa. Tidak salah jika dia masih boleh memuja lelaki di hadapannya ini.

Syah meneguk air lattenya itu. “Tak. Abang ada kerja kat sini. Abang kerja kat Damansara. Ada tinggal kat mana sekarang ni?”

“Ada menyewa bilik kat sini. Baru je pindah. Penat abang. Penat tau nak cari rumah bilik sewa yang sesuai. Nasib baik Ada ambil lesen motor hari tu. Senang nak pergi kerja,” luah Shuhada.

“Tinggal kat mana sekarang ni?” tanya Syah.

“Kat Sentul.” Jawapan Shuhada membuatkan Syah tersenyum tanpa sengaja.

“Tu area rumah abang tu. Abang tinggal kat situ jugak,” balas Syah.

Shuhada terus teruja. “Jadi… kita berjiran? Abang… akhirnya Ada tak rasa keseorangan kat sini. Terima kasih abang.”

“Kalau ada apa-apa cari abang, okey?”

Shuhada mengangguk laju. “Nak nombor phone?”

Dan, tersenyumlah Shuhada bila Syah mengambil telefon Shuhada dan menaip nombor telefonnya. Dia tahu kali ini dia akan bahagia.

LISA membetulkan kedudukan kamera telefon pintarnya. Dia tersenyum melihat Ali yang teruja apabila melihat ada makanan di hadapannya itu.

“Haisy, dia yang teruja nampaknya. Ibu pun samalah sayang. Jom kita rekod dulu. Bismillah, semoga anak ibu ni sihat dan sentiasa kuat badannya.” Lisa menyuapkan satu sudu kecil ke dalam mulut Ali. Ali menelannya dengan agak sukar pada pertama kali, namun suapan seterusnya membuatkan Ali teruja dan suka akan makanan itu.

“Okey, dah habis dah. Alhamdulillah. Pandainya anak ibu ni. Sayang sikit.” Lisa mencium pipi bulat Ali dan tidak henti-henti mencium sehingga Ali mula rimas.

Telefon pintar Lisa berbunyi dan Lisa melihat siapakah pemanggilnya. Lisa jadi takut mahu menjawab, dia teringat akan nombor yang pernah menghubunginya beberapa bulan yang lepas. Masa dia sedang menunggu hari untuk melahirkan Ali.

Lisa abaikan panggilan itu dan fokus kepada Ali. Lisa mengangkat Ali daripada kerusi khas untuk Ali makan dan membawanya ke singki dapur.

Telefon pintar Lisa berbunyi menandakan ada mesej masuk.

+
Lisa, awak apa khabar?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience