JANGAN BACA: Novel Tu Berhantu!

Horror & Thriller Completed 771

Hi Stori Seram!

Nama aku Sheila. Aku nak kongsikan kisah aku dan kawan aku, yang diganggu selepas membaca sebuah novel dari negara seberang. Selain dari kami berdua, yang turut menjadi mangsanya adalah kawan-kawan aku kat hostel.

Dikesempatan ini juga aku sekali lagi memohon maaf kat budak-budak Dorm Dahlia tahun 2001/2002. Aku tak tahu sebab novel tu boleh jadi seteruk itu. Kepada pembaca Stori Seram ni, aku akan kongsikan kat kau orang, rangkap puaka di dalam Novel tu. Tapi bukan ayat yang betul, cuma lebih kurang berbunyi begitu. Sebab kisah ni dah lama. Aku ingat-ingat lupa.

Kira-kira 15 tahun yang lalu. Semasa company trip kakak aku, dia ada membeli sebuah novel dari kedai buku terpakai di Jakarta. Novel tu dibeli hanya suka-suka. Sebagai kenangan untuk kakak aku. Lagipun aku dengan kakak aku hantu novel-novel seram. Pantang nampak novel-novel seram dijual. Terus nak beli. Apalagi kalau tajuk dan covernya menarik. Actually, dia tak sempat lagi nak baca novel tu. Aku dah grab dan bawa ke hostel. Kau orang tahu kan? Kalau duduk hostel ni masa yang ada tu selain daripada prep dan makan meggi, nak buat apa lagi?

Sebelum tu, aku ceritakan sedikit pasal novel angker tu, ianya mengisahkan tentang sepasang suami isteri yang tidak dapat menerima takdir kematian anak perempuan mereka, yang matinya disebabkan langgar lari. Pakcik dan makcik yang diceritakan di dalam novel tu tak percaya yang anak tunggal mereka tu dah mati.

***

Dijadikan cerita malam tu lepas prep, aku tak boleh nak tidur. Nasib baiklah esok hari Sabtu. So, untuk mendapatkan mood nak tidur.  Aku terus ambil novel tu dari dalam bag aku. Dengan betemankan lampu dari handphone nokia cikai, aku pun mulakan pembacaan. Masa bab pertama dan kedua cerita dalam novel tu okay lagi. Taklah seram mana. Hanya mengisahkan kehidupan anak beranak tu kat kampung. Masuk bab anak perempuanya kemalangan dan mati. Cerita dah rasa sedih.

Part seram pula, bilamana pakcik dan makcik tu buat ritual pelik. Macam letakkan baju si mati bersama bunga dan lilin kat kuburnya. Mereka juga bakarkan kemenyan dalam bilik si mati. macam-macam ritual lagi la pakcik dan makcik tu buat, supaya anak mereka yang mati tu dapat hidup semula. Oleh sebab aku ni suka akan perasaan seram, aku teruskan juga baca. Makin seram makin best dibaca. Hilang pula mengantuk aku masa tu.

Tiba pada bahagian yang menceritakan ritual lagi pelik. Dimana Pakcik, Makcik ditemani seorang dukun pergi ke tempat anak perempuanya mati dilanggar, pada waktu malam. Diceritakan didalam novel tu juga, mereka letakkan sehelai kain batik dan perahkan limau di lokasi kemalangan. Sambil membaca mantera yang pelik dan seram bunyinya. Anaknya mula bangkit lepas tu.

Masuk part mantera dan anaknya bangkit. Tiba-tiba, keadaan sekeliling dorm aku rasa macam lain. Mula-mula aku ingat just perasaan aku jer.  Aku teruskan juga baca novel tu. Walhal dah makin seram aku rasa.

Beberapa ketika, pandangan aku teralih kat satu susuk tengah berjalan di area beranda dorm kami. Langsir kat dorm aku ni jarang. So, kau boleh jer nampak bayang orang yang lalu lalang kat situ.  Aku perhatikan jer susuk tu. Mundar-mandir. Dalam hati, kalau Pak guard atau warden gaya jalan dan bentuk badanya aku memang kenal. Beberapa ketika lepastu bayang misteri tu pun hilang.

Oleh kerana aku dah rasa takut yang amat sangat. Maka aku berhenti membaca novel tu dan terus tutupkan muka dengan selimut. Aku punya perasaan takut, sampai aku tertidur bila pun dah tak ingat. Malam tu boleh pula aku mimpikan anak pakcik dan makcik tu minta tolong kat aku. Seriau.

***

Keesokan petangnya, masa kita orang tengah melepak kat dorm. Aku ceritakan kat dua orang kawan rapat aku. Ayu dan Siti. Aku kata kat mereka yang novel aku baca tu menyeramkan dan aku ceritakan juga aku ada nampak something kat beranda dorm time tengah baca novel tu. Mereka terus kata nak pinjam. Aku kata kat mereka aku tak habis baca lagi. Ayu ni jenis degil sikit, terus dia amik dari atas tilam aku dan pergi baca. Aku mampu geleng kepala jer masa tu.

Masa nak masuk Maghrib, aku perhatikan Ayu. Dia masih lagi baca novel tu. Aku panggil dia soh mandi sebab nak besiap pergi solat Maghrib lepastu makan kat kantin. Dia buat tak layan. Khusyuk betul dia membaca.

Masa dah bersiap, aku nampak Ayu tengah membaca lagi. Aku pun jerit kat dia suruh stop dulu sebab aku dengan Siti dah nak ke Surau. Dia just cakap kau orang pergi dulu. Tak fikir banyak kita orang terus gerak. Peliknya selesai solat Maghrib pun aku tak nampak lagi bayang budak Ayu ni. Siti pun kata macam tu. Aku rasa mungkin Ayu kat dorm lagi. So aku ajak Siti cari Ayu dulu sebelum pergi makan.

***

Masa aku buka pintu dorm. Punyalah terkejut kami berdua.  Si budak Ayu tu boleh pula berdiri kat tepi tingkap yang dekat dengan pintu tu. Menjerit kami berdua.  Aku apa lagi, marah la kat dia sebab tak mandi dan buat kami terkejut. Tapi yang peliknya si Ayu ni boleh diam jer. Kita orang dah rasa lain. Lepas beberapa ketika, Ayu cakap dia tak sihat dia malas nak turun. Aku dengan Siti terus gerak pergi kantin. Dalam perjalanan tu kami tertanya juga sesama kami. Kenapa Ayu macam tu.

Aku pendekan cerita, Malam tu lepas balik dari makan. Kita orang tengok Ayu dah baring. Nak tanya kat dia okay ke tak, takut dia bad mood. So, kita orang biarkan ajer la.

Masa lampu dah tutup, tiba-tiba ada tedengar suara orang menjerit. Terkejut dan terjaga semua student kat dalam dorm. Semua pergi tengok apa yang jadi. Rupa-rupanya member kitaorang terkejut lihat si Ayu ni tengah duduk diatas kain yang diletakkan lilin diatasnya. Mulutnya tak berhenti membaca-baca mantera puaka yang aku kata tu. Aku apa lagi terus pergi bukakan semua suis lampu dan terus padamkan lilin kat depan Ayu. Semua orang kat dalam dorm tu dah takut gila masa tu. Aku tanya Ayu dia buat apa ni? Dengan suara yang bukan suara Ayu. Dia jawab “Jangan kacau aku?” Sah! Ayu dah kena rasuk. Aku cakap kat ketua dorm kami soh panggilkan warden. Masa menunggu Warden dan Cikgu nak sampai. Beberapa orang student lain pun kena sampok sekali. Menakutkan gila masa tu. Kecoh satu dorm.

Masa Warden dan Cikgu dah sampai barulah keadaan lebih terkawal. Tak sangka aku berisi juga warden kami ni. Seorang-seorang dia settle kan. Malam tu semua berjaga sampai ke Subuh. Masa dah pagi kita orang dan Cikgu tanya apa yang mengacau mereka sebenarnya. Terutama sekali kat Ayu. Ayu kata masa Maghrib malam tu, dia nak pergi mandi. Lepastu ada suara memanggil dia dari tingkap. Ayu pun pergi la jenguk. Apa yang dia nampak adalah seorang perempuan tua yang mukanya buruk tengah berdiri di sebelah tingkap. Lepastu dia tak ingat apa-apa yang jadi katanya. Atas permintaan Cikgu Normala aku serahkan novel tu kat dia. Entah dia dah buang agaknya. Dan seperti janji aku kat kau orang ayat puaka tu lebih kurang macam kat bawah ni. Wallahu a’lam.

“Kepala pemilik matahari, Kepala pemilik laut, Kepala pemilik bumi.

Yang menghidupkan Yang mematikan. Bangkitkan jasad anak kami wahai pemilik sekalian.

Kau hidupkanlah anak kami, Kau hidupkanlah anak kami”.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience