PERSEDIAAN? 

Other Completed 1462

Persoalannya, apakah itu PERSEDIAAN? Sebelum saya cerita apa itu persediaan, mari abang “payung[1]” analogi sikit. Aduh, rosak bahasa Melayu. Waktu bulan Ramadhan, masa nak berbuka puasa kita selalu akan sebut apa? Biasanya kita akan sebut,

"Dah siap-siap nak berbuka belum?"

"Ish, lagi berapa minit nak buka ni. Dah buat persediaan berbuka belum?"

Ataupun waktu nak sambut hari Raya, kita biasa akan sebut,

"Dah buat persediaan nak raya Cik Kiah Jongang?"

"Dengar cerita persediaan raya tahun ni meriah kau Jah?"

Jadi apakah maksud "persediaan" itu? Adakah kita akan duduk di dapur sambil tadah tangan dan menunggu makanan turun dari langit untuk kita berbuka? Atau adakah kita akan duduk di dalam bilik sambil menunggu pakaian raya turun dari langit untuk kita? Mestilah tidak.

Persediaan yang saya maksudkan adalahIKHTIAR dan USAHA. Ikhtiar sebelum dapat jodoh yang saya maksudkan adalah kau fikir dan PILIH jodoh macam mana yang kau nak. Tetapi janganlah fikir tu sampai hari-hari update status tentang,

“Saya menanti tulang rusuk kiri untuk memasakkan sup tulang untuk saya.”

            “Kepada bakal imamku, aku sedia menunggumu hingga ke pintu kubur.”

            Menyampah tahu. Jodoh ini dah ditakdirkan, jadi apa PILIHAN yang kita ada adalah dengan PILIH bagaimana jodoh yang kita mahu. Kita nak jodoh yang membawa ke Syurga, atau jodoh yang mengheret ke Neraka. Sebab itu Nabi ajar dalam satu hadis,

“Seorang wanita itu dinikahi kerana empat; kerana harta, kerana keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka hendaklah diutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ramai orang anggap bahkan saya pernah terdengar orang kata,

“Kalau nak berkahwin, jangan tengok harta, keturunan dan kecantikan. Tengok agama saja, walaupun dia miskin, tak cantik atau tak hensem, dan keturunan yang teruk.”

Bila saya studi dan mengikuti beberapa perbahasan tentang hadis ini, baru saya faham bahawa Rasulullah ajar bukan tak perlu pedulikan kecantikan, keturunan dan harta. Tetapi apa Rasulullah anjurkan pada kita adalah, kalau kita nak pilih pasangan, pilihlah yang hartanya, keturunannya dan kecantikannya bersandarkan pada agama iaitu Islam. Bukan bersandarkan kepada perkara yang langgar syarak.

Pertama kita tengok harta dia dapat dari mana dan digunakan untuk apa? Adakah dia dapat harta dari sumber yang patuh syarak? Atau dia dapat hasil dari merompak, judi, jual perkara haram dan sebagainya? Kemudian tengok ke mana pula harta dia selalu laburkan. Adakah dia bayar zakat? Adakah dia selalu sedekah? Ataupun kedekut tahi hidung masin? Atau selalu guna harta membazir shopping sampai tak ingat dunia?

Kemudian tengok pada keturunannya. Dia ini keturunan yang baik-baik, ataupun keturunan yang selalu langgar syarak? Studi tentang latar belakang keluarganya, saudara mara yang terdekat, makcik pakcik dan sebagainya.

Adakah dari keluarga yang ikut syarak, atau langgar syarak? Siapa mak ayah dia? Siapa adik beradik dia? Siapa pakcik makciknya? Siapa saudara mara terdekatnya? Dan adakah mereka semua ini ikut perintah Islam? Dan juga tengok pada “kesuburan” keluarga, maksudnya adik beradik dia ada berapa, mak ayah dia punya adik beradik ada berapa. Dan tengok juga ada saka atau tidak dan sebagainya. Semua ini penting, bukan main-main.

Kemudian tengok pada kecantikannya. Dia ini gunakan kecantikannya untuk apa? Guna kecantikan untuk jadi playboy lalu jadilah “suamiku Playboy”? Atau gunakan kecantikannya untuk jadi “pisau cukur” kepada lelaki lalu jadilah “isteriku curang”? Atau kecantikannya dijaga sesuai dengan perintah Islam?

Maksudnya, adakah kecantikannya disimpan dengan cara tutup aurat sempurna, tunduk pandangan, tahu malu, dan sebagainya. Atau adakah kecantikannya ditunjukkan kepada umum dengan cara buka aurat, kaki selfie, tak tahu malu, mata asyik jeling pada lelaki yang kacak, dan sebagainya.

Dengan kata mudah, “pilihlah yang BERAGAMA” itu adalah kita pilih seorang lelaki atau perempuan yang bukan hanya Islam pada nama dan IC, tetapi Islam juga pada harta, keturunan dan kecantikannya atau perbuatannya. Hadis ini juga terpakai untuk melihat belah lelaki, bukan sekadar perempuan.

Ok, selepas kau fikir dan pilih jodoh yang kau nak, kemudian kau USAHA untuk dapatkan apa yang kau fikir dan PILIH. Usaha adalah kau usaha  sebaik mungkin MENGIKUT SYARAK untuk dapatkan jodoh yang kau fikir dan pilih. Maksudnya, kau boleh pilih dan usaha untuk dapatkan jodoh yang baik atau buruk.

Kalau nak dapat jodoh yang baik macam mana? Antaranya adalah ;

·      Ucap kalimah syahadah dan masuk Islam.

·      Taat perintah Allah dan jauhi larangan Allah untuk peroleh taqwa.

·      Ikut sunnah Rasulullah sebanyak mana yang boleh.

·      Ikut dan buat dakwah tarbiah.

·      Selalu bertaubat dan jaga amal.

·      Cari ilmu antaranya belajar hukum hakam munakat atau perkahwinan termasuk juga buku psikologi antara lelaki dan perempuan.

·      Selalu minta nasihat dengan orang yang dah lama kahwin seperti mak ayah, ustaz ustazah, pakcik makcik dan sebagainya.

·      Ada keyakinan tinggi untuk kahwin, bukan sekadar sembang kencang.

·      Belajar berdikari sama ada cari duit sendiri, tolong di rumah dan sebagainya.

·      Kalau nak kahwin, guna orang tengah seperti mak ayah, ustaz ustazah yang dah kahwin, pakcik makcik, kawan baik yang dah kahwin, atau sebagainya yang dirasakan yakin untuk jadi orang tengah. Jangan sampai dia “pangkah” kau, dia yang kahwin dengan pasangan tu. Tu bukan orang tengah lagi.

·      Bertunang. Masa fasa tunang ini, belajar mengenal pasangan SEADANYA. Tunang bukan halalkan apa-apa termasuk ikhtilat, sekadar fasa untuk kita buat pilihan sama ada kita setuju atau tolak. Sebaiknya kurang dari tempoh 1 tahun (ini bukan nas, tetapi bersandarkan pengalaman).

·      Bernikah.

Dan banyak lagi perkara boleh buat untuk dapatkan jodoh yang baik. Kalau jodoh yang buruk atau jahat pula macam mana? Antaranya adalah ;

·      Menolak untuk terima Islam dan jadi kafir.

·      Langgar perintah Allah, selalu buat larangan Allah.

·      Tinggalkan semua sunnah Rasulullah.

·      Hina orang buat dakwah, perli orang yang nak berubah dan lain-lain.

·      Malas dan tangguh taubat. Amal soleh lintang pukang.

·      Malas baca buku ilmiah. Rajin baca novel cinta, tengok movie cinta, berangan pasal cinta dan sebagainya.

·      Malas dengar nasihat terutama mak ayah. Rasa panas je telinga bila dengar nasihat. Bahkan sampai tahap derhaka pada mak ayah. Bila mak kata,

“Tangguh la niat nak kahwin tu dulu. Kahwin lagi 2 tahun boleh?"

Kau pun jawab,

"Arghh, mak tak faham saya mak. Mak kena faham agama. Mak tak baik halang anak muda nak bernikah. Patutnya mak nikahkan saya je. Tak payah tunggu habis belajar, ada kereta kerja bagai. Saya boleh jaga isteri saya."

Padahal mak kau belum puas lagi lepas rindu dan bermanja dengan kau. Dah la balik kampung 5 bulan sekali je. Telefon mak ayah pun seminggu sekali, Itupun sebab mak ayah telefon dulu.

·      Jangan ada keyakinan diri. Sembang mesti kencang, baru boleh terbang. Bila cakap bab kahwin, terus kata,

“Emm, aku nanti dulu la kot.. Tahun depan muda lagi.."

·      Cari crush dan couple. Kemudian ajak dating, keluar pergi sana sini, tengok wayang, pegang tangan dan sebagainya.

·      Bertunang. Bertunang pun macam dah kahwin, siap pandai peluk-peluk lagi. Malah buat majlis pun sampai kos RM106,000 (termasuk GST). Padahal gaji sebulan RM906.00 je.

·      Bernikah. Kemudian selepas nikah pun malas dan tak nak bertaubat, dan masih tak nak jaga amal.

Dan banyak lagi cara nak dapatkan jodoh yang buruk dan jahat. Pendek kata, jodoh ini dah ditetapkan, tetapi wajib adakah persediaan untuk dapatkan jodoh. Jodoh pula ada dua jenis, jodoh yang macam malaikat walaupun bukan malaikat, dan jodoh yang macam syaitonirrojim, walaupun lebih dahsyat dari syaitonirrojim.

            Formulanya adalah :

            Ikhtiar dan usaha atau persediaan dapatkan jodoh = wajib

            Keyakinan yang Allah dah tetapkan jodoh = wajib.

Diruang yang kita boleh buat pilihan, kita boleh pilih jodoh yang ikut syarak, dan langgar syarak. Boleh pilih yang jalan pahala, atau jalan dosa. Boleh pilih yang jalan nikah, atau jalan zina.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience