Dania melangkah perlahan menuju ke arah butik Nayla. Matanya memandang 'Naylah Collection' dari jauh. Berat hati sebenarnya untuk masuk. Telefon di dalam poketnya berbunyi. Tertera mesej yang baru masuk
[Thanks, Dania. Aku harap sangat kau boleh tolong]
Dari luar, dia kelihatan keras, kasar, jenis tak kisah. Tapi dalam kepalanya sekarang, terlalu sarat dengan rasa. Rasa berbelah bagi antara sahabat baik dan perasaannya sendiri.
"Arghhh. Lama-lama boleh gila aku!"
jeritnya perlahan.
"Kenapa aku boleh setuju dengan benda gila ni lagi. Tak cukup lagi ke kau jadi bodoh dulu Dania. Sekarang nak jadi bodoh lagi," dia bercakap dengan dirinya sendiri.
Dania menarik nafas dalam- dalam. Cuba meredakan apa yang dia rasakan sekarang. Dia membuka pintu butik Nayla.
"Hai Sya. Cik Nayla ada?"
"Cik Nayla ada kat dalam ofis. Kalau cik Dania nak jumpa, masuk jumpa dia kat dalam lah,"
“Dania?” Nayla berkerut dahi melihat Dania di hadapannya. Biasanya Dania akan mesej dia dulu sebelum datang.
“Aku lalu kat sini, jadi singgah kejap,"
"Kenapa? Nak cari baju ke?," tanya Nayla.
"Kau dah makan? Jom lunch sekali dengan aku. Aku belum makan ni. Aku belanja," kata Dania sambil senyum tak sudah.
"Sekejap. Aku ambil handbag aku,"
Mereka menuju ke restoran berdekatan.
Nayla duduk bersetentang dengan Dania. Nayla memandang dania,cuba membaca sesuatu dari riak wajah Dania.
“Kenapa jumpa aku tiba-tiba ni? Kau jangan cakap kebetulan lalu. Aku tak percaya kebetulan kau tu,"
Dania angkat bahu sambil menghirup airnya yang baru sampai.
Mereka sama-sama tergelak kecil. Suasana jadi sedikit selesa. Tapi benda sebenar yang Dania nak sampaikan masih tersekat di hujung lidah.
“Eidan...” Dania akhirnya bersuara.
Nayla memandang Dania.
“Aku tahu dia ada balik. Kenapa? Dia ada jumpa kau ke?
“Kau tahu?”
Nayla angguk. “Dia ada mesej. Tapi aku tak balas.”
Dania diam. Ini bahagian yang dia paling tak suka, bila dia perlu jadi orang tengah untuk kisah yang dia sendiri tak ada tempat di dalamnya.
“Dia nak jumpa kau,"
"Entahlah. Aku tak tahu aku patut jumpa dia atau tak. Dulu aku pernah cakap dengan dia, datang jumpa aku bila perasaan dia pada aku dah tak ada,"
Dania tak jawab. Sebab dia tahu dalam cerita ni, dia bukan watak utama, bukan juga antagonis. Dia hanya penonton yang duduk di bangku paling belakang, sambil harap ada tempat untuk dia walaupun sekadar satu babak.
“Kau masih tak boleh terima Eidan?” Dania tanya perlahan.
Nayla senyap seketika.
“Aku tak tahu Dania.. aku sayangkan dia tapi sekadar kawan. Aku dah kehilangan kawan semasa aku tolak dia dulu. Kalau kali ni aku still tak terima dia lagi. Aku akan hilang dia kali ke dua,"
"Tapi hakikatnya kita memang dah lama hilang kawan kita yang sorang tu. Merajuk bawa diri jauh-jauh. Cuba kalau merajuk, bawa diri ke Kedah, Perak ke.. terjangkau jugak kita nak mencarinya,"
Nayla ketawa mendengar kata-kata Dania. Dalam diam dia bersetuju dengan apa yang Dania cakap itu.
"Apa patut aku buat Dania?"
“Kalau kau rasa okay… jumpa je dia. Dengar apa dia nak cakap. Lagi pun kita semua dah makin matang. Dulu ya lah,budak lagi,"
Nayla pandang Dania pelik.
“Kenapa kau tolong dia, Dania?"
Dania senyum nipis.
“Sebab dia kawan baik aku. Kau kawan baik aku. Yang sorang tak nak, yang sorang lagi memaksa. Last-last aku yang tersepit tengah-tengah,"
Nayla mengeluh perlahan.
"Nanti aku fikirkan," jawabnya perlahan.
Dania hanya memandang. Nak berkata lebih, dia sendiri pun tak mampu.
Share this novel