Prolog

Romance Series 586

"Sampai mati kita takkan bersama, Nadira" ucap remaja lelaki itu, suaranya tenang namun penuh keyakinan. Dia memandang budak perempuan yang sudah dianggap sebagai adiknya sendiri berdiri di hadapannya.

Melihat budak perempuan itu menarik muncungnya, Rayyan hanya mampu tersenyum kecil. Merajuklah tu.

"Kenapa! Nadi nak kahwin dengan abang!" bentak Nadira, gadis kecil berusia tujuh tahun itu. Kakinya dihentak ke lantai dengan geram, seolah-olah tidak dapat menerima kenyataan.

Rayyan menghela nafas panjang. "Eh, budak! Umur kita ni jauh tau. Entah-entah masa kau habis sekolah menengah, aku dah kahwin dah" ujarnya sambil mengusap kasar rambut Nadira yang sedikit kusut.

Macam manalah budak ni boleh tahu pasal kawin-kawin ni? Itulah banyak sangat tengok drama dekat Televisyen.

"Abang janganlah kahwin. Abang kena tunggu Nadi" suara Nadira merayu, nadanya hampir mendayu-dayu.

Rayyan menggaru kepalanya. Takkanlah dia nak kena tunggu budak ni? Umur mereka dah lah jarak 10 tahun, jika mereka bersamapun satu hari nanti dia tahu hubungan mereka mungkin takkan kekal kerana jarak umur yang sangat jauh itu.

"Tak nak" jawab Rayyan pendek sebelum mencapai beg bagasi di sebelahnya.

Nadira menggigit bibir, matanya mula berkaca. "Abang janganlah pergi..."

Rayyan mengeluh kecil. Nak kena pujuk ke ni? Dia kenal sangat perangai Nadira. Kalau sudah menangis, dia takkan berhenti sampailah ada orang memujuknya.

"Abang kena pergi. Abang kena pindah. Nadira duduk sini, belajar baik-baik, okay?" Rayyan cuba memujuk, tetapi Nadira menggeleng laju. Air mata mula bergenang di tubir matanya.

Rayyan mula mati akal. Biasanya, kalau Nadira merajuk, dia takkan layan. Yang selalu memujuk Nadira ialah abangnya, Raziq. Dia hanya tahu membuli Nadira sahaja.

"Abang kena janji dengan Nadi dulu!" suara Nadira tegas, tidak mahu mengalah.

Rayyan memandang gadis kecil itu dengan kening berkerut. "Janji apa?"

"Abang kena tunggu Nadi" ujar Nadira sambil menghulurkan jari kelingkingnya.

Rayyan tergamam seketika. Dia memandang jari kelingking kecil itu. Kalau ini satu-satunya cara untuk buat gadis itu berhenti menangis, terpaksalah dia layankan sahaja. Lagipun, dia pasti apabila Nadira sudah besar, gadis itu akan melupakannya. Tidak semestinya mereka akan bertemu lagi kan?

Akhirnya, dia menyambut huluran jari kelingking itu. "Kalau ada jodoh... kita jumpalah" katanya perlahan sebelum melepaskan jari Nadira.

Dia memandang gadis kecil itu sekilas sebelum berpaling dan melangkah ke arah keretanya. Di dalam kereta terdapat ibu, ayah, dan abangnya sudah lama menunggu. Kalau tidak kerana dihentikan oleh Nadira tadi, dia pasti sudah berada dalam perjalanan sekarang. Malah, kalau dia terus mengelak, mesti Puan Nafizah pula yang akan bersusah payah memujuk Nadira.

Sebelum masuk ke dalam kereta, Rayyan sempat menoleh sekali lagi. Nadira masih berdiri di tempat yang sama, memandangnya dengan mata yang berkaca, seolah-olah sedang menahan tangis.

"Jangan lupa aku" kata Rayyan perlahan.

Dia melambai kecil sebelum melangkah masuk ke dalam kereta, meninggalkan Nadira yang masih memandangnya dengan harapan yang belum padam.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience