“AWAK ni tak payahlah aturkan hidup anak kita tu. Ni bukan zaman dulu main jodoh-jodoh ni. Kita kenal budak tu pun tidak. Lagipun budak sekarang dah ada calon sendiri,” bantah Dato Zamri tidak menyetujui cadangan yang diajukan oleh isterinya tadi.
“Abang ada nampak anak kita tu ada calon ke?” tukas Datin Alia dengan sinis.
Kelu lidah Dato Zamri ingin membalas. Terus dia menyandarkan tubuh yang tegak tadi pada sofa.
“Tak ada, kan? Bukan setakat bayang, angin pun kita tak ada rasa. Zea tu dah nak 30 tahun, abang. Awak tak risau ke dengan anak kita tu? Abang nak orang cakap anak kita tak laku? Harap je muka cantik, bekerjaya tapi, tak laku.”
“Ke situ pula awak ni. Tu semuakan kerja Allah. Dah tertulis Zea belum ada jodohnya, ya belum,” hujah Dato Zamri.
“Abang… memang betul tu kuasa Allah tapi kita sebagai umatnya kena berusaha, kan? Jodoh tu datang tak bergolek. Kena cari. Kalau tuan punya badan tak boleh cari, kita sebagai ibu bapanya kenalah bantu juga. Bukan setakat doa je,” bidas Datin Alia menangkis kata-kata suaminya tadi.
“Tapi… awak kenal ke budak tu?”
“Apa tak kenal, dia tu anak kawan baik saya. BFF saya. Mestilah kenal,” tukas Datin Alia sedikit meninggi nadanya.
“Awak cuma kenal emaknya saja. Tuan punya badan, kenal ke? Emaknya tu pun kawan yang dah berpuluh tahun awak tak jumpa. Awak yakin dengan keputusan awak ni?” soal Dato Zamri, ragu-ragu dengan tindakan isterinya itu.
Datin Alia melepaskan keluhan kecil. Bahu yang tegang tadi dikendurkan.
“Sebab tu kita kena jumpa. Berkenalan dulu. Mana tahu serasi? Zea tu saya tengok kawan pun tak ada. Ni kan lagi kekasih. Lagipun kita buat ni untuk kebaikan Zea juga. Kebaikan kita juga.”
“Awak rasa Zea akan setuju? Zea tu memang anak yang patuh. Dia ikut je apa kata kita tapi… bab jodoh ni, awak sendiri tahu anak kita tu macam mana? Ni bukan pertama kali kita cuba jodohkan dia dengan anak kenalan kita. Tapi semua Zea tolak.”
Mengeluh lagi Datin Alia lalu membalas, “Sebab tu kali ni kita kena paksa dia. Abang tu cubalah keras sikit dengan Zea. Ini untuk masa depan Zea. Saya nak tengok Zea ada keluarga sendiri. Kita ni makin tua bang. Entah esok lusa, Izrail datang beri salam, awak nak tinggalkan Zea tu sorang-sorang?”
Dato Zamri diam. Ada betulnya kata-kata isterinya itu. Tapi tetap hatinya tidak setuju dengan cara isterinya itu. Memang dia ingin melihat anak tunggalnya itu mengecapi kebahagian sendiri bersama keluarga yang akan dibina nanti. Tapi dia ingin anaknya itu melalui fasa itu sama seperti anak muda lain dan dengan kerelaan hati. Bukan dipaksa dan dijodohkan seperti ini.
Dato Zamri memandang wajah Datin Alia yang penuh berharap itu. Mengeluh halus Dato Zamri melihat wajah isterinya itu.
“Assalamualaikum.” Terdengar suara halus memberi salam dengan pintu utama rumah banglo itu terkuak kecil. Membolehkan susuk tubuh seorang bertinggi lampai dan ramping itu masuk.
“Waalaikumsalam,” sahut Datin Alia, teruja mendengar suara itu. Wajahnya turut berubah ceria menyambut kepulangan yang ditunggu-tunggu dari tadi.
“Zea anak mama dah balik.” Sambut Datin Alia mendapatkan anak tunggalnya itu.
Zea memberikan wajah manisnya kepada ibu bapa kesayangannya walaupun tubuhnya saat ini sangat letih. Dia menyalami Datin Alia dan memberikan kucupan pada kedua belah pipi ibu tercinta. Perkara yang sama dia lakukan kepada bapanya.
Tanpa buang masa, Datin Alia menarik lengan Zea lalu dia melabuhkan punggung mereka pada sofa. Tangan Zea digenggam erat bersama usapan kecil pada kekura tangan anaknya itu. Zea terpinga-pinga dan dapat merasakan sesuatu yang tidak senang yang akan didengarinya sekejap nanti.
“Hurm… ada apa ni, ma? Rasa macam lain macam je mama dengan papa hari ni. Kenapa?” Tanpa berlengah, Zea terus bertanyakan apa yang bermain di fikirannya itu.
Tersengih lebar Datin Alia sambil tidak lepas mengusap tangan anaknya itu. Makin berdebar Zea dibuatnya.
“Hari jumaat lepas, mama jumpa semula BFF mama yang dah berpuluh tahun mama lost contact dekat tempat mengaji. Mama tak sangka mama boleh jumpa kawan mama tu balik. Yalah, lepas atok kamu bawa mama pindah dari Pasir Gudang dulu sampai sekarang, mana ada mama jejakkan kaki ke situ. Jadi kawan-kawan mama yang kat situ semua, mama tak dapat hubungi semula. Kamu pun tahu zaman tu mana ada telefon, fac macam sekarang.” Datin Alia memulakan cerita.
Terangkat sebelah kening Zea mendengar mukadimah ibunya itu. Sepertinya dia dapat menangkap apa yang akan disampaikan ibunya sebentar lagi. Zea melirikkan mata ke arah bapanya untuk melihat reaksi bapanya itu. Melihat reaksi si bapa, nampaknya telahan Zea tepat.
“Mama happy sangat dapat jumpa BFF mama tu semula. Berpuluh tahun kami tak jumpa. Kawan mama tu langsung tak berubah orangnya. Tak tahu pula rupanya kawan mama tu dah duduk sini. Dah tu dia tu sepupu dengan ustazah yang mengajar ngaji tu,” cerita Datin Alia lagi, teruja.
“Lepas tu kami berbual-bual. Lama tak jumpa macam-macam cerita kami bualkan. Seronok mama. Datang situ bukan setakat timba ilmu, dapat juga jumpa kawan lama.”
Tersenyum kelat Zea mendengar cerita ibunya.
“Cerita punya cerita, anak kawan mama ni ada anak lelaki. Bujang lagi tu.” Sudah tiba pada tujuan utama Datin Alia.
Tertunduk Zea. Tekaan dia memang tepat. Keluhan kecil dilepaskan.
“Mama pun ceritalah mama ada anak perempuan pun masih bujang dan tak ada calon lagi.” Suara Datin Alia makin perlahan sambil menjengah wajah anaknya itu untuk melihat reaksinya.
“Jadi… mama ingat nak kenalkan kamu dengan anak kawan mama tu.” Perlahan-lahan Datin Alia memberitahu hasratnya.
Wajah yang tertunduk tadi, perlahan-lahan dinaikkan seraya memandang ibunya.
“Ma… Zea… tak sedia lagi. Zea nak fokus pada syarikat dulu,” ujar Zea memberikan alasan.
Terus kendur wajah Datin Alia. Dia boleh mengagak jawapan yang akan diberikan anaknya itu. Jawapan yang sama juga setiap kali dia mengajukan perihal itu.
“Zea, tak boleh macam ni. Kita ni hidup kena seimbang. Bukan asyik fikir pasal kerja je,” pujuk Datin Alia. Sempat Datin Alia melirik mata pada Dato Zamri, memberikan isyarat untuk membantunya.
Dato Zamri tiada pilihan. Walaupun dia tidak menyukai cara isterinya itu, tapi mungkin ini saja cara untuk melihat anaknya itu mempunyai pasangan hidup.
“Betul kata mama kamu tu. Lagipun kami bukan suruh kamu kahwin terus. Kamu bertaaruf dulu.”
Tertunduk lagi wajah Zea bila bapanya pula bersuara.
“Papa bukan apa… papa tengok kamu ni dah macam katak di bawah tempurung. Kehidupan sosial kamu langsung tak ada. Yang kamu tahu pergi kerja dan balik kerja. Lepas tu kamu terperap je dekat rumah. Kalau kamu nak shopping ke apa, dengan mama dan papa. Tak pun dengan Maria. Tulah je kawan yang kamu ada.”
Jeda.
“Zea… kita ni dalam business kena hidup berkawan. Barulah orang yakin dengan kita. Bukan macam kamu sekarang ni. Introvert.” Dato Zamri menyambung semula kata-katanya, menegur personaliti anaknya itu.
“Papa hairan dengan kamu ni. Apa yang menyebabkan kamu berubah jadi macam sekarang ni?” aju Dato Zamri, runsing memikirkan perihal anaknya itu.
“Mana ada berubah, pa. Zea sama je macam dulu,” tukas Zea seraya memandang ibu bapanya.
“Zea yang dulu bukan yang sekarang. Zea yang papa dengan mama kenal bukan pendiam macam ni. Tak pandai berkawan. Zea yang dulu sangat ceria. Kalau bercakap tu tak reti berhenti. Kawan pula jangan cakaplah. Tu sampai ke Kutub Utara sana pun kamu ada kawan. Dulu bila papa kata jangan keluar lepak dengan kawan eh, kamu tak dengar. Kamu tetap keluar juga. Tapi sekarang ni, papa dengan mama kena paksa kamu keluar,” leter Dato Zamri.
“Zea, kamu tak nak cerita dengan mama dan papa apa yang dah berlaku sampai kamu jadi macam ni? Mama rindukan Zea yang dulu. Sampai bila Zea nak rahsiakan daripada kami. Dah 10 tahun Zea jadi macam ni, takkan Zea tak nak cerita penyebab Zea jadi macam ni?” lirih suara Datin Alia mengenangkan keadaan anaknya itu.
Sedih hatinya bila mengingati anaknya yang dulu selalu ceria dan ramai kawan berubah menjadi seorang pendiam dan tidak mempunyai rakan. Datin Alia dan Dato Zamri tidak tahu apa masalah dan di mana silapnya perihal anaknya itu. Bukan tidak ditanya, malah sudah banyak kali ditanya tapi tiada jawapan daripada tuan punya badan. Ingat lagi pertama kali Zea jadi begitu, Zea mengurungkan diri dalam bilik selama berhari-hari. Semangat anaknya itu tiba-tiba hilang dibawa pergi.
“Tak ada apa-apa yang berlaku pun ma, pa. Zea sendiri yang nak ubah diri Zea jadi macam sekarang. Lagipun sampai bila Zea nak menggedik macam dulu. Dah sampai masanya Zea berubah jadi orang lebih matang, bukan tergedik dan manja,” balas Zea.
“Tapi perubahan kamu tu keterlaluan sampai kamu tak nak berkawan dengan sesiapa. Papa tidak menafikan komunikasi kamu sangat bagus. Dalam business pun kamu bijak berkata-kata untuk tackle client. Pergaulan dalam business pun kamu bagus, tapi tulah. Habis di situ je.”
Zea bungkam. Wajahnya makin menunduk.
“Zea, apa pun masalahnya mesti ada jalan penyelesaian. Mana tahu dengan perkenalan kamu dengan anak kawan mama ni, kamu dapat balik keyakinan kamu dulu. Dapat kembalikan diri kamu yang dulu.” Pantas Datin Alia masuk jarum dengan peluang yang ada.
Tangan Zea digenggam erat oleh Datin Alia sambil matanya terus merenung Zea.
“Ma…”
“Please sayang. Sekali ni je. Kita jumpa dulu anak kawan mama tu. Tak rugi pun kamu jumpa dia. Ya, kita jumpa dia?” Datin Alia seboleh-boleh memujuk Zea.
Zea tidak berikan jawapan. Hanya tatapan saja yang diberikan.
Share this novel