LEBAR senyumannya memandang bungkusan yang berada dalam genggaman. Tidak sabar dia ingin berikan kejutan kepada insan yang dicintainya selama ini. Siapa sangka hubungan yang pernah dia tolak sebelum ini telah memberikannya satu perasaan yang tidak terungkap. Perasaan yang selama ini dia nafikan, sekarang tidak boleh ditepis lagi. Perasaan yang dulu pernah pudar, muncul semula. Muncul bersama pengikat yang akan mengikat hubungan mereka lebih erat.
Perlahan-lahan tangan kiri mengusap kecil perut yang leper itu. Berbunga hatinya setelah dia menerima perkhabaran yang menggembirakan tadi. Dengan perkhabaran ini, dia berharap si suami membalas perasaan dan lebih menghargai dirinya.
“Mesti papa gembira bila tahu ada permata berharga yang mula bercambah dalam ni,” gumamnya, tersenyum bahagia tanpa menghiraukan orang yang lalu lalang di situ.
“Permata ni yang akan menyinari kehidupan mama dan papa. Permata ni yang akan ubah hubungan mama dan papa.” Itu harapannya.
Dia meneruskan langkah sambil mencuci mata pada deretan kedai yang ada. Keadaan pusat membeli-belah pada waktu itu lengang kerana waktu ini masih lagi jam bekerja. Sedang asyik mencuci mata, langkahnya mati saat bebola matanya menangkap susuk tubuh yang amat dikenali di seberang sana.
Tersentak dia melihat gerangan itu. Wajah yang tadi ceria, terus berubah muram dan makin suram. Kaki yang tadi ringan melangkah, terus kaku. Jantung terus berdegup kencang menghentam dada. Nafas makin berat, terasa sesak. Ingin dia meraung sekuat hati melihat adegan yang menyakitkan dan memusnahkan angan-angannya tadi. Tapi tidak mampu diluahkan.
Berkecai hatinya melihat si suami bersama wanita lain. Wanita yang pernah merampas segala-galanya daripadanya dulu dan sekarang, adakah perihal itu akan berulang lagi? Wanita yang sedang mengandung itu tersenyum bahagia tanpa memikirkan ada hati yang sedang remuk. Turut bersama mereka, seorang kanak-kanak perempuan dalam dakapan si suami. Ya, suaminya kelihatan bahagia di samping mereka berbanding di sampingnya.
Seperti ditusuk sembilu, dia memandang saja dari kejauhan adegan itu. Dia tidak punya tenaga untuk menerjah kebahagian yang sedang ditayangkan itu. Kakinya cukup longlai untuk melangkah ke depan. Tangannya terasa berat untuk mengganyang mereka. Apa yang dia mampu hanya memandang saja dan menghamburkan air mata yang jatuh berjurai menimpa pipi. Pedih hatinya tidak dapat diungkap. Hanya esakan saja yang kedengaran.
“Selama ini I menagih cinta you walaupun I tahu you benci dekat I. Tak pernah sesaat I putus asa untuk terus menagih cinta daripada you. Tapi… you tak pernah bagi sikit ruang untuk I.”
Jeda.
“Tak ada ke sekelumit perasaan tu untuk I? Sampai bila you nak benci dekat I? I… dah buat apa yang you nak. I… berubah sebab you. Tapi… you langsung tak pandang I. Langsung… tak beri I peluang...” Perit hatinya meluahkan perasaannya walaupun orang di sebelah sana tidak mendengari luahannya itu.
“I tahu I tak seelok dia. I tahu dalam hati you cuma ada dia tapi… kenapa you setuju dengan perkahwinan ni? Kenapa I… yang you jadikan isteri?”
Hai semua. Nukilan terbaru saya. Harap semua orang enjoy. Ps : saya tak janji sy boleh tulis dgn cepat. Mybe sy tengok pada sambutan. Jika memberangsangkan, semangat saya utk menghabiskan cerita ini pun akan jadi berkobar-kobar.
Share this novel
tahniah author