Completed
108188
DI DALAM restoran yang beransur kurang pelanggan pada malam itu, dua orang lelaki yang tetap kacak dan segak walau hanya memakai pakaian kasual itu duduk di sudut paling hujung. Di atas meja segi empat di depan mereka ada dua cawan besar berisi kopi dan sebuah mangkuk sederhana berisi kacang panggang.
Hanif, lelaki kacak berkulit sawo matang, rakan karib Arrian, menyandarkan belakangnya sambil berpeluk tubuh sebelum dia memulakan bicara.
“Ni kau nak kahwin hujung minggu ni, bermakna tutup teruslah kes?” soal Hanif sambil mencapai segenggam kacang dari mangkuk.
Arrian menjongket kening dengan riak tenang seperti selalu. “Kes? Kes apa pula ni?”
Hanif mendecit, pura-pura geram. “Kau ni, bro! Buat-buat lupa pula. Kes perempuan misteri kau yang kau cari selama empat tahun ni lah! Tapi, okey jugalah rancangan nak kahwin kau ni. Boleh kau lupakan terus perempuan yang tak mungkin kau akan jumpa tu. Serius, bazir masa je!"
Dengan mata yang merenung tajam wajah Hanif, Arrian meletakkan cawan kopinya selepas dihirup. "No!"
Terjongket sepasang kening tebal lelaki itu selepas mendengar kata-kata Arrian. Cara pandangannya kelihatan seperti meminta penjelasan.
“Suatu hari nanti, aku akan jumpa juga perempuan tu, aku yakin!” lanjut Arrian dengan nada tegas dan muka nekad. “Perempuan yang aku kahwin tu nanti, business matter je. Dah dapat apa yang aku nak, aku ceraikan lah terus.”
Hanif ketawa sinis sambil mencebik kecil. “Yakin konon! Dah empat tahun kau cakap benda yang sama. Lupakan je lah pasal perempuan tu, Rian. Clueless, tahu tak? Macam mana kau nak cari kalau takda maklumat? Berbekalkan sapu tangan perempuan tu je kau yakin boleh cari dia? Kau ingat kau sedang berlakon dalam drama TV ke? Fikir logiklah, Bro! Ada beribu perempuan kat Malaysia ni yang guna sapu tangan sama macam tu, tahu tak!”
Kata-kata lelaki itu membuatkan Arrian terdiam. Dia akui apa yang dikatakan oleh rakannya itu benar, tetapi dia tidak akan berputus asa. Memandangkan pada waktu itu, kerajaan menguatkuasakan penggunaan topeng muka kerana wabak Covid19, dia tidak dapat melihat wajah wanita penyelamatnya itu. Tetapi, entah mengapa dia masih kekal berpegang teguh dengan keyakinannya bahawa dia akan jumpa wanita itu suatu hari nanti.
Keluhan panjang terpacul daripada mulutnya, lalu tangannya bergerak perlahan ke dalam poket jaketnya, kemudian dia menarik keluar sehelai sapu tangan nipis yang sudah lusuh di tepinya. Sambil memegang erat sapu tangan itu, dia merenungnya dengan pandangan kosong. Fikirannya melayang ke peristiwa yang berlaku pada empat tahun lepas, peristiwa yang mengikat hatinya sehingga ke saat ini.
Pada suatu malam, di sebuah lorong sunyi di belakang bangunan. Arrian sedang menuju ke keretanya ketika dia diserang oleh dua orang lelaki menggunakan kayu besbol. Dia dibelasah tanpa belas kasihan. Dia cuba melawan, tetapi tubuhnya terlalu lemah menahan setiap hayunan kayu yang mendarat. Degupan jantungnya semakin perlahan dan pandangannya semakin kabur. Dia fikir, ajalnya sudah tiba.
Tiba-tiba, ada seorang wanita muncul. Gerakannya pantas dan lincah seperti ninja. Dalam masa yang singkat, kedua-dua penyerang itu terbaring sambil mengerang memegang perut masing-masing buat seketika sebelum melarikan diri.
"Awak boleh bergerak tak ni?" soal wanita itu sambil mencampak kayu besbol yang berjaya dirampasnya daripada penyerang tadi ke jalan sebelum dia berlutut di sisi Arrian. Lantas, dia menarik keluar sehelai sapu tangan dari poket jaket jeansnya, lalu dia mengelap darah di mata Arrian yang mengalir dari luka di dahi.
Arrian tidak menjawab. Dia benar-benar lemah sehinggakan dia tidak mampu mengangguk, mahupun menggeleng. Matanya yang separuh tertutup hanya mampu menatap sekilas wajah wanita yang terlindung di sebalik pelitup muka itu. Pandangan sepasang mata cantik itu terlihat tenang, tetapi memancarkan rasa simpati dan juga pandangan seolah-olah sedang menyalurkan kekuatan kepadanya.
“Bertahan, okey? Sorry, saya tak dapat lama, sebab saya ada hal penting nak kena settle. Tapi, jangan risau... saya akan pergi cari bantuan."
Arrian cuba bersuara, tetapi suaranya tersekat di tenggorokan. Belum sempat dia memegang tangan wanita itu, sosok penyelamatnya itu sudah berdiri seraya berlari menuju ke hujung lorong di kawasan terbuka.
Dalam keadaan yang sangat lemah, Arrian hanya mampu memerhati wanita itu. Dia melihat wanita itu sedang bercakap-cakap dengan beberapa orang lelaki sambil menuding ke arahnya sebelum dia berlalu pergi dari situ.
Sambil menahan kesakitan yang teramat, Arrian mengeluh. Aku tak sempat cakap terima kasih kat kau sebab dah selamatkan aku, tapi aku yakin kita akan jumpa semula. Aku akan cari kau, aku janji! tekadnya dalam hati sambil menggenggam kuat sapu tangan yang berlumuran darah itu dan itulah tekad dan janjinya yang terus hidup di hatinya sehingga ke saat ini.
Plak! Plak!
Lamunan Arrian serta-merta terhenti ketika Hanif memetik jari di depan mukanya.
"Jauh sangat termenung sampai aku bercakap kat depan ni pun kau tak dengar. Sapu tangan tu bisik apa kat kau?" perli Hanif.
Arrian menarik nafas dalam-dalam, cuba menyembunyikan gejolak emosinya. Pandangan matanya yang dingin kembali menghala kepada lelaki di depannya. “Aku pasti akan jumpa dia, Nif."
“Rian, aku bukan nak patahkan semangat kau. Tapi, kau kena tahu bila nak lepaskan sesuatu. Kadang-kadang apa yang kita kejar, tak semestinya akan jadi milik kita. So, nasihat aku... kau berhentilah buat sesuatu yang buang masa. Mungkin takda rezeki kau nak jumpa balik perempuan tu."
“I don't think so, Nif. Instinct aku cakap, aku akan jumpa dia!"
"Hmm, okey! Kalau macam tu... antara takdir dan instinct kau, kita tengok siapa yang menang nanti," balas Hanif sambil menyandarkan semula belakangnya. Dia hanya mampu menggeleng sambil mengeluh, sedar bahawa dia tidak akan mampu mengubah fikiran lelaki berwajah dingin itu.
- - - -
WAKTU semakin menginjak tengah hari. Arrian dan kedua-dua orang tuanya berkumpul di ruang tamu, bersiap-siap hendak berangkat ke destinasi yang telah dirancang kelmarin.
Tiba-tiba, pintu utama terkuak. Seorang gadis tinggi lampai menerjah masuk dengan beg silang tersandang di bahu serta bagasi besar di sisinya. Ekspresi wajahnya kelihatan ceria dan teruja, tetapi matanya yang sedikit sembap jelas menunjukkan keletihan akibat perjalanan jauh.
"Surprise!!!"
Serentak tiga beranak di ruang tamu itu menoleh.
"Eh, kenapa tiba-tiba balik?" soal Datin Asnah dengan nada bersahaja.
"Halaaa, Mama ni! Macam tak alu-alukan je orang balik. Hisy, merajuklah kalau macam ni?" Elana membentak manja sambil memuncungkan bibir, kononnya merajuk.
"Lah! Mama tanya je, kan? Bila masa pula Mama tak alu-alukan kepulangan anak sendiri? Tiba-tiba je muncul, tu yang Mama tanya," balas Datin Asnah, cuba membela diri. "Cuti sem ke?"
Laju Elana mengangguk. "Dua bulan."
"Tak bagitahu pun nak balik. Kalau tak, boleh Papa suruh driver pergi jemput kat airport."
Elana ketawa kecil sambil melangkah menghampiri lelaki segak beruban itu, lalu dia memaut lengannya. "Kalau Lana bagitahu nak balik, dah tak surprise lagilah."
"Siapa hantar balik sini tadi?"
"Kawan," jawab Elana sepatah.
Arrian yang berdiri tegak di situ sejak tadi hanya jadi pemerhati. Riak wajahnya terlihat tenang, tidak menampakkan keterujaan langsung melihat kepulangan adiknya dari United Kingdom itu. Dia mengerling jam di pergelangan tangannya sekilas, lalu dia memandang Dato' Jasri.
"Pa, let's go."
"Ha, jomlah!" sahut Dato' Jasri.
"Eh! korang nak pergi mana ni?" soal Elana dengan kerutan di dahi.
“Nak ke rumah bakal besan, nak bincang pasal majlis nikah Abang Rian dengan orang kampung tu,” jawab Datin Asnah dengan nada dan riak wajah sinis sambil melirik suami dan anak lelakinya bersilih ganti.
Elana terkedu. Matanya terjegil. “What! Abang nak kahwin dengan orang kampung? Lana tak salah dengar ke ni? Ewww!" Pandangannya kemudian beralih kepada Arrian. "Abang, abang biar betul? Come on lah! Ni mesti cadangan Papa, kan?"
“Lana.” Nada suara Dato’ Jasri langsung bertukar dingin. “Jangan masuk campur, ini urusan orang tua. Budak-budak duduk diam.”
Wajah Elana serta-merta merona merah, bibirnya diketap kuat sebelum dia menghentakkan kaki. “I’m not a kid anymore lah, Papa! This is ridiculous!” Langkah kakinya segera diayun pantas menuju ke tangga.
“Tak nak ikut sekali ke?” soal Datin Asnah sambil memerhati anak perempuannya yang semakin menjauh.
Tanpa menoleh, Elana berhenti seketika di anak tangga. “No, Ma. I don’t think I’ll ever fit in. I don’t even feel it’s right to step my foot into a rumah kampung, ewww!" Suaranya dingin dan penuh penghinaan. Langkahnya yang terhenti diayun semula dan beberapa saat setelah itu, kedengaran bunyi pintu dihempas kuat.
Dato’ Jasri mendengus sambil menggeleng-geleng kecil, manakala Arrian hanya memandang kosong ke arah tangga.
- - - -
PEMANDU keluarga Dato' Jasri memberhentikan kereta sejurus selepas Arrian memberi arahan untuk berhenti di depan sebuah kedai runcit. Niatnya hendak membeli air mineral untuk membasahkan tekaknya yang terasa kering.
Bau kopi segera bercampur bau plastik serta-merta menusuk rongga hidung sebaik sahaja Arrian menapak masuk. Selepas mengambil sebotol air mineral dari peti sejuk kaca, dia terus berpaling, namun tanpa sengaja dia bertembung dengan seorang wanita yang kebetulan sedang berjalan di belakangnya.
Tangan kiri wanita itu spontan mengeratkan pelukan beberapa ikat sayur sawi di sisi tubuhnya sambil berusaha menyeimbangkan sepapan telur yang berada di atas tapak tangan kanannya. Beberapa biji telur hampir terjungkit keluar, tetapi sempat dia selamatkan dengan teknik imbangan tubuh. Arrian hanya berdiri tegak di situ dengan muka tanpa riak, tiada sedikit pun cubaan atau usaha untuk membantu.
“Ya Allah! Mata tu letak kat mana!” Shira membentak dengan muka sebal.
Arrian menjongket kening. "Kau tak nampak ke ada orang sebelum kau menyelit lalu kat sini? Sepatutnya aku yang tanya soalan tadi."
Shira menjeling tajam sambil mendengus. “Excuse me?
Kau tak boleh tengok kiri kanan dulu ke sebelum pusing? Ni main redah je macam bulldozer hilang kawalan! Kalau telur ni jatuh tadi, confirm aku tuntut ganti rugi dua kali ganda!”
"Setakat sepapan telur, tak payahlah acah macam hilang sekilo emas," balas Arrian dengan nada sinis sambil melirik sekilas sepapan telur di tangan wanita itu.
Pada saat itu juga Shira memandang lelaki itu dari atas sampai ke bawah beberapa kali dengan pandangan jengkel. “Of course lah! Orang macam aku ni, secubit garam pun aku hargai, apalagi sepapan telur! Kau apa tahu?"
"Pathetic!" gumam Arrian dengan suara separuh berbisik. Malas untuk terus melayan wanita menjengkelkan itu, dia segera melangkah tenang menuju ke kaunter seperti tiada apa-apa berlaku.
Terkebil-kebil mata Shira memerhati lelaki itu dari belakang. Mulutnya terkumat-kamit mengomel dan mengutuk, namun suaranya cukup jelas untuk didengar oleh mangsa kutukannya itu.
“Minta maaf pun tak! Kalau ada anugerah manusia paling menjengkelkan, confirm dia menang. Dahlah muka angkuh, suara macam google voice... cara jalan tu pula macam gaya nak beli kedai ni, padahal beli sebotol air mineral je pun! Harap muka je handsome, tapi perangai macam lipas kepanasan. Baik duduk diam-diam je kat lubang jamban!"
Arrian yang sedang menghulur duit kepada juruwang menoleh sedikit, memandang Shira dengan ekor matanya sambil mengukir senyuman nipis yang terlihat sinis. Setelah selesai membayar, dia terus berpaling.
“Sebelum nak cakap orang, pastikan cermin kat rumah kau tu bersih supaya boleh tengok jelas diri sendiri. Perangai sendiri macam parasit jamban, ada hati nak cakap orang," ujar Arrian tenang dan selamba ketika dia melepasi Shira sambil memasukkan sebelah tangan ke dalam poket seluarnya.
Shira langsung terkedu. Giginya spontan diketap kuat. Wajahnya merah padam seperti udang bakar. Belum sempat dia membalas, Arrian sudah melangkah keluar dari kedai itu dengan langkah seperti model peragaan lelaki antarabangsa.
“Hish, annoying! Mujur aku bukan jenis membazir makanan. Kalau tak, aku dah baling 30 biji telur ni kat muka kau!" gumam Shira sambil memerhati lelaki yang semakin menghampiri sebuah kereta MPV mewah berwarna hitam berkilat yang berparkir di depan kedai runcit itu.
Share this novel