BAB 4

Romantic Comedy Series 11772

“KENAPA lambat?” soal Puan Salmiah ketika dia melihat anak daranya masuk ke dapur membawa barangan yang dibeli. "Kata tadi tak sampai setengah jam."

"Mak nak tahu tak, habis semua kedai kat pekan tu Shira round sebab cari telur je tau. Sekarang ni musim ayam mogok bertelur agaknya. Mujur ada kat kedai runcit terakhir Shira pergi, tapi bertembung pula dengan Mister Annoying of The Year," jawab Shira sambil meletakkan barangan ke atas meja dapur, lalu dia menyeka peluh di dahinya dengan gaya dramatik seperti baru balik dari medan perang.

Puan Salmiah menjongket kening. “Mister… apa?”

“Mister Annoying, mak,” jawab Shira selamba sambil mengeluarkan sepapan telur dari plastik. “Menyampah je perangai. Rasa macam nak pijak-pijak je! Dahlah tak minta maaf, boleh lagi dia perli orang. Kalau kena tawar sejuta ringgit sekalipun, Shira lebih rela makan nasi kicap seumur hidup daripada kahwin dengan lelaki macam tu, tahu tak! Muka sombong, lepas tu suara macam GPS salah arah. Yang lagi annoying, cara jalan dia tu kan macam kedai tu dia yang punya. Ikutkan hati, nak je baling sepapan telur ni kat muka dia."

Puan Salmiah terkekeh kecil sambil menggeleng mendengar bebelan satu-satunya anak perempuannya itu.

“Ni sayur, ni telur, ni kunyit…” Shira terus mengeluarkan barangan dari bakul plastik sambil berceloteh panjang lebar dengan gaya humorisnya.

"Shira tolong basuh dulu telur 10 biji, lepas tu masukkan dalam periuk tu nak rebus."

"Mak nak buat apalagi dengan telur? Dah ada kan Shira masak telur sambal tu. Lagipun, dah banyak dah lauk yang Shira masak tadi. Tu ha, masih panas lagi dalam bekas kat bawah tudung saji tu," kata Shira sambil menjuihkan bibir ke arah lauk pauk yang sudah siap dimasak di bawah tudung saji. "Bukannya ramai pun dia orang. Kata tiga orang je ahli keluarga tu yang nak datang, kan?"

"Memanglah tiga orang je, tapi biarlah pelbagaikan menu supaya banyak pilihan. Kita kena layan tetamu elok-elok. Keluarga bakal suami Shira tu bukan golongan biasa-biasa. Sekurang-kurangnya, biar Dato' dan Datin tu tahu yang bakal menantu dia orang ni pandai masak."

“Halah, mak ni! Shira ni bakal menantu ke bakal tukang masak? Dia orang tak hairan pun, mak. Keluarga dia orang tu mesti ada orang gaji tukang masak.” Shira menoleh sekilas ke arah ibunya sambil membasuh telur.

“Eh, budak ni! Kita kena jaga air muka keluarga. Jangan sampai orang kata kita tak pandai layan tetamu pula."

“Haah, kan? Nanti tiba-tiba pula keluar kat FYP TikTok dan Thread kata keluarga Tuan Faheem dan Puan Salmiah hidang lauk untuk keluarga Dato' dua jenis je, kedekut! Sepatutnya kena ada semua jenis lauk yang ada kat muka bumi ni dan telur tu paling wajib! At least, sepuluh jenis lauk dan sepuluh jenis sayur," balas Shira dengan nada memerli dan muka selamba.

“Eh, Shira ni kan! Ada ajelah point dia nak cakap.” Puan Salmiah menepuk lengan anaknya sambil ketawa kecil. Separuh geram, separuh lucu.

Shira hanya menjungkit bahu sambil menayang muka selamba. "Selagi benda boleh dihujahkan, Shira akan bersuara, mak. Sepatutnya, Shira ambil course Law je dulu tu, kan?"

"Hei, dah, dah! Cepat siapkan kerja tu. Sekejap lagi dia orang sampai. Fazrul tu pun katanya on the way ke sini dah. On the way dari rumah dia sepatutnya 15 minit je, tapi ni bukan setakat 15 minit, ni dah sejam dah!"

"Mak percayalah sangat dengan on the way Abang tu. Macam tak biasa," balas Shira sambil memasukkan telur yang sudah selesai dibasuh ke dalam periuk.

Sementara itu, di ruang tamu, Tuan Faheem duduk santai di sofa sambil membaca berita online di telefonnya. Suara dehaman dan batuk kecilnya sekali-sekala kedengaran.

Tiba-tiba, kedengaran bunyi enjin kereta berhenti betul-betul di hadapan rumah disusuli dengan bunyi hon pendek.

Puan Salmiah spontan memanjangkan leher memandang ke arah pintu. “Hah! Tu mesti dia orang tu. Jom ke depan!” katanya dengan nada teruja, lalu dia terus meraih lengan Shira dan menarik anak daranya itu keluar dari dapur. Terjerit kecil wanita itu dibuatnya.

“Aduh, mak ni! Tarik orang macam tarik lembu dah kenapa? Relaks dahlah," omel Shira dengan muka terkejut sambil mengayun langkah tergesa-gesa seiring dengan rentak ibunya.

Sebaik sahaja mereka tiba di muka pintu utama, dahi Shira serta-merta berkerut. "Bukan ke kereta tu yang tadi kat..." Belum sempat dia menghabiskan kata-kata, seorang lelaki beriak tenang, tetapi terlihat dingin keluar dari kereta.

Lengannya yang masih dipaut oleh Puan Salmiah serta-merta terkulai. Matanya tidak berkedip langsung memandang lelaki yang sedang berdiri di halaman rumah mereka itu. Bibirnya diketap menahan geram yang tiba-tiba datang mencengkam dada.

Ya Allah… dunia ni kecil sangat ke sampai aku terserempak lagi dengan manusia ni?” kutuk Shira dalam hati. Belum recover lagi trauma sepapan telur tadi, sekarang mamat ni muncul depan pintu rumah pula! Kau jangan nak berlakon cool sangatlah, Mister GPS sesat! Tak... tak! Jangan cakap yang dia ni bakal laki aku pula! Pandangannya lantas beralih kepada Dato' Jasri yang baru keluar dari kereta. Tapi, lagi tak mungkin kalau lelaki tua beruban sebaya ayah ni yang bakal laki aku!

Arrian menutup pintu kereta dengan lagak tenang. Wajahnya langsung tidak menunjukkan sebarang emosi atau reaksi. Riak beku dan dingin itu sudah sebati dengan dirinya. Dia memandang Shira yang sedang berdiri di muka pintu sepintas lalu dengan pandangan angkuh seperti melihat orang asing yang tidak penting langsung.

“Assalamualaikum…” sapa Dato' Jasri dengan begitu mesra sekali.

Serentak Tuan Faheem dan Puan Salmiah menjawab salam sambil mengukir senyuman teruja menyambut kedatangan tetamu yang sangat dinantikan itu. Manakala, Shira yang berdiri kaku hanya menjawab salam dalam hati sahaja. Otaknya mulai ligat berputar memikirkan tentang perkahwinannya yang bakal berlangsung.

Mak, Ayah! Shira ubah fikiran! Shira tak jadi nak kahwin dengan Mister Annoying suara GPS ni! Kalau ada pilihan, aku lagi rela bela 77 ekor kucing jalanan! jerit batinnya.

- - - -

FAZRUL tiba sejurus selepas semua orang mengambil tempat duduk di sofa ruang tamu. Senyuman tenang terukir di wajahnya. Dia tahu, kehadirannya hanyalah pelengkap agar pertemuan dan perbincangan pada hari ini nampak lebih sempurna. Dia menyalami kedua-dua ibu bapanya disusuli Dato' Jasri sebelum dia melabuhkan punggung di sebelah adik perempuannya.

Tanpa membuang masa, Tuan Faheem terus memulakan perbualan. Dia menceritakan masalah yang berlaku tentang ladangnya. Dato’ Jasri mendengar penuh teliti dan kadang-kadang mencelah dengan pandangan bernas. Manakala, Datin Asnah sibuk memerhati ke sekeliling ruang tamu rumah bertingkat bawah batu atas papan itu dengan pandangan tidak selesa. Riak wajahnya kelihatan seperti dia sukar menerima suasana itu.

Arrian yang duduk di sebelah Dato' Jasri kekal tenang menjadi pendengar, namun matanya lebih banyak menikam wajah wanita muda yang duduk bertentang dengannya.

Tak sangka pula perempuan mulut puaka ni bakal isteri aku, getus hatinya. Bayangan Shira yang lantang mengutuknya di kedai runcit tadi berlegar-legar di fikiran. Tetapi, dia sebenarnya tidak peduli, kerana baginya, wanita itu hanyalah alat untuk menebus harta pusaka semata-mata.

Setelah bersembang dan berbincang tentang majlis ringkas yang bakal diadakan pada hujung minggu ini selama hampir satu jam, Puan Salmiah terus mempelawa semua yang ada di situ untuk makan tengah hari.

- - - -

"JAUH ke ladang awak dari sini, Faheem? Saya ingat nak jalan-jalan pergi lawat sekejap, boleh?" soal Dato' Jasri setelah hampir 10 minit mereka duduk bersembang di ruang tamu usai mereka makan.

Tuan Faheem kelihatan sedikit terkejut, namun dia cepat-cepat mengukir senyuman. "Taklah jauh sangat. Kalau naik kenderaan, tak sampai pun 10 minit, tapi parking kat tepi jalan je lah, sebab kereta dah tak boleh masuk jauh ke dalam ladang. Kena jalan kaki. Kalau Dato' takda masalah dengan tu, saya pun takda masalah."

"Takda hal pun kalau kena jalan kaki. Sekali-sekala exercise," balas Dato' Jasri disusuli tawa kecil.

Datin Asnah yang duduk di sebelah suaminya spontan menjeling dengan muka tidak puas hati. Sudahlah dari awal tadi dia sudah rasa tidak selesa, ditambah pula dengan cadangan berjalan kaki masuk ke ladang sawit. Namun, demi menjaga air muka suaminya, dia hanya diam dan tidak berani memprotes.

"Err, Datin. Datin nak ikut dia orang ke? Jalan masuk ke ladang tu tanah merah dan agak curam. Saya cadangkan, baik Datin tunggu kat sini je. Kalau Datin nak, saya boleh bawa Datin pergi tengok kebun bunga saya kat belakang. Macam-macam bunga dan pokok herba saya tanam," kata Puan Salmiah dengan senyuman.

"Awak tunggu sini je. Kami pergi sekejap je." Dato' Jasri bingkas berdiri sambil memberi isyarat kepala kepada Arrian supaya mengikut mereka.

Spontan Datin Asnah melepaskan keluhan lega. Manakala, Fazrul yang turut berdiri dengan pantas menarik lengan Shira supaya ikut sekali.

- - - -

AWAN tebal yang menyelimuti langit pada ketika ini melindungi perjalanan mereka di tempat yang terbuka itu daripada sinaran matahari terik.

Fazrul, Dato' Jasri dan Tuan Faheem kelihatan bersemangat sekali dengan langkah masing-masing menuju ke kawasan tengah ladang yang agak curam akibat kejadian tanah runtuh yang berlaku pada dua bulan lepas.

Manakala, Arrian berjalan santai di belakang dengan kedua-dua tangan di dalam poket seluar dan satu meter jarak di sebelahnya pula Shira yang sejak tadi sesekali menjeling dengan mulut terkumat-kamit mengomel dan merungut.

"Eleh, acah-acah cool konon! Dia ingat dia macho lah dengan gaya jalan dia yang macam model iklan syampu tu? Menyampah!"

Arrian tiba-tiba berhenti, lalu dia menoleh. “Dari tadi aku perasan kau asyik jeling aku, tergoda ke?”

Langkah kaki Shira turut terhenti. "Jambul kaulah tergoda! Perasan! Macamlah dia handsome! Seksi jauh sekali!"

"Muka tak handsome ni juga yang jadi suami kau nanti," balas Arrian selamba, lalu dia meneruskan langkah.

"Weh, tunggu!" panggil Shira beberapa kali dengan muka geram, namun Arrian hanya mengukir senyuman sinis tanpa memberhentikan langkah. "Weh, Mister Annoying suara GPS! Ni aku nak bagitahu terus terang ni. Aku tak jadi kahwin dengan kau! Lepas ni, aku akan cakap dengan ayah dan mak aku pasal ni!"

Kata-kata wanita itu berjaya membuatkan langkah Arrian terhenti semula, lalu dia berpaling sambil menjongket kening. "Kau ingat kau ada pilihan?"

“Mestilah ada! Daripada kahwin dengan lelaki annoying macam kau, aku sanggup lagi tebalkan muka buat pinjaman sana sini untuk bayar hutang ayah aku!"

Arrian memicingkan mata sambil mendekatkan kedudukan wajah mereka. “Kau cubalah cancel perkahwinan ni. Lepas tu kita tengok apa jadi nanti. Aku yakin… kau sendiri yang akan merangkak, merayu dan berlutut depan aku."

"We'll see!" balas Shira dengan nada mencabar sambil berpeluk tubuh. "Kau jangan berangan aku akan merayu dengan kau, Mister Annoying!"

Mendengar kata-kata dan melihat reaksi wanita itu, Arrian ketawa kecil. Tawa yang kedengaran sinis dan mengejek. "Okay, we'll see, Miss Mulut Puaka! Kau kena sedar satu hakikat. Yang desperate tu, family kau, bukan aku." Lantas, dengan lagak bersahaja, dia memasukkan semula kedua-dua tangan ke dalam poket seluarnya sebelum dia berjalan meninggalkan wanita yang sedang menikamnya dengan pandangan tajam itu.

Shira menggenggam penumbuk di sisi tubuhnya menahan rasa geram. Namun, sebenarnya dia berasa sedikit goyah. Kata-kata lelaki itu tadi terasa seperti ancaman. Bukan sekadar gurauan sinis, tetapi ibarat sumpah dan janji mati yang mesti dan pasti akan terpenuhi.

"Jangan harap! Aku takkan kalah dengan kau!"

Langit dan matahari terik yang sesekali dilitupi awan menjadi saksi kepada pertarungan kecil yang baru bermula antara mereka dan Shira tahu, ini bukan sekadar tentang wasiat dan siapa yang terdesak, tetapi tentang siapa yang akan kalah dulu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience