Bab 3

Romance Series 157589

“SAYANG? Betul ke?” tanya Danya dengan air mata yang sudah mengalir laju.

Adam hanya tertunduk pilu. Dia masih sayangkan Danya, tidak mungkin dia mahu ceraikan Danya. “Ma, kesian Danya. Biarlah Adam dengan Danya. Adam nak jaga Danya.” Adam mahu merayu lagi kepada mamanya.

Tergelak sinis Puan Sri Malini. “Pilihan di tangan Adam. Ada dua saja Mama atau Danya?” Terus saja Puan Sri Malini meninggalkan ruang itu dan masuk ke dalam rumah.

Pandangan Danya tertancap pula pada bapa mertuanya yang tertunduk di tepi sudut Tan Sri Mahmud. Dia juga tidak mampu berbuat apa-apa kerana semua harta kekayaan ini datang dari hasil usaha keras isterinya. Budi isterinya kepadanya terlalu banyak. Dia kasihankan menantunya, dia akan cuba menasihati Puan Sri Malini.

“Awak akan ceraikan saya ke?” tanya Danya yang teresak-esak kesedihan. Dalam masa terdekat dia sudah hilang kebahagiaannya.

Diamnya Adam menjawab segala soalan bermain di fikiran. Danya mengangguk faham.

PERLAHAN pintu biliknya dibuka. Seharian dia berada di luar kerana ingin menyiapkan kerja pejabat supaya tidak mengganggu Sabtu dan Ahadnya. Lebih lagi setiausahanya sudah berhenti kerja dan membuatkan perjalanan kerjanya tidak berapa teratur.

Matanya tertancap pada tubuh Balqis yang sedang tidur dengan lena, manakala Elhasiq tidur di baby coatnya. Rindunya dia pada anak lelakinya ini.

Selepas mandi dia mendapatkan anak lelakinya yang sedang tidur lena. Tiba-tiba saja Elhasiq menangis seperti ada yang mengganggu. Terus saja Emir Haidar mendukung anaknya dan memujuknya.

“Sayang?” panggil Emir Haidar mengejutkan Balqis. Namun, Balqis lena dan tidak berkutik. Terus saja dia mendekati Balqis dan mengejutnya.

“Sayang?”

Balqis tersedar dan mendecit. Dia tidak suka kalau tidurnya terganggu. “Kenapa dia nangis?”

“Sebab tu I kejut you. Dia lapar kut nak minum susu,” balas Emir sambil tersenyum memandang anaknya yang comel itu.

“Suruhlah Cik Yam buatkan. Tak pun you bancuhlah, semua ada kat tepi tu.” Balqis baring semula dan pejamkan mata.

“You susukan dialah.” Suara Emir seperti keras bunyinya.

Balqis buka mata. “I penat Emir. I dalam proses penyembuhan. You apa tahu. You dah menyedap lepas tu I yang kena tanggung semua proses ni.”

Bengang pula Balqis dengan suaminya ini. Sebelum kahwin dulu dah bersetuju untuk bertangguh dapat anak, ataupun mengambil anak angkat saja. Tapi, bila sudah berkahwin lain pula ceritanya.

Emir merasakan kepalanya seperti dipijak-pijak. Pantang dia jika ada yang cuba untuk menolak apa yang dia mahukan. Terus saja dia menyelak baju Balqis dan menghulurkan mulut Elhasiq pada dada Balqis yang terdedah.

Terkejut Balqis bila ada bibir kecil di bahagian dada susunya. “Apa ni Emir?”

Tangisan Elhasiq semakin meriah. Kedua-dua ibu bapanya masih bergaduh. “Susukan Elhasiq sekarang!”

Balqis terus bangun dan menekan dada sebelah kanan dan kiri. “You nampak ada susu ke tak sekarang ni?”

Emir Haidar terdiam. Dia merasakan yang dia sudah berlebihan tapi dia mahukan yang terbaik untuk anaknya.

“I tak tahulah kenapa dengan you ni. I tidur bilik tetamu. You jangan kacau I.” Balqis terus keluar dari bilik.

Baru saja balqis keluar dari bilik dia bertembung dengan Cik Yam. “Kenapa tu puan?”

“Cik Yam tolong nasihatkan Emir tu. Elhasiq menangis nak susu. Saya nak tidur, saya perlukan rehat,” kata Balqis dan menuju ke bilik tetamu.

Emir membawa Elhasiq keluar dan Cik Yam menyambut Elhasiq. “Tak apa, Cik Yam dah buatkan Elhasiq susu. Dia lapar ni,” kata Cik Yam dan terus saja membawa Elhasiq ke bilik Elhasiq dan menyusukan.

Pada awalnya Elhasiq menolak namun lama-kelamaan Elhasiq minum juga selepas dipujuk oleh Cik Yam. Emir yang tengok dari jauh hanya berdiam. Kasihan anaknya itu.

DANYA dan Adam masuk bersama-sama ke dalam rumah. Adam hanya mendiamkan dirinya begitu juga dengan Danya mungkin sudah penat melawan emosi. Yang dia mahukan sekarang adalah berehat. Dia perlukan tenaga, badannya harus pulih dahulu.

Baru saja mahu masuk ke dalam biliknya bersama Adam, mereka bertembung semula dengan Puan Sri Malini. “Kenapa kau ada kat sini lagi?”

“Mama, bagilah Danya rehat dulu.” Adam bersuara.

Jelingan maut Puan Sri Malini membuatkan Adam terkedu. “Nak bagi rehat dekat orang yang buat cucu aku terbunuh ni ke?”

“Ma,” kata Danya. Terkejut dengan kenyataan emak mertuanya.

“Cucu aku dah meninggal sebab dia ada mak yang lemah. Melahirkan pun tak kuat sampai pengsan. Orang lain bersalin jugak, taklah macam kau yang tak kuat ni.” Puan Sri Malini sudah dikuasai sifat angkuh dan jahatnya.

Adam tidak senang duduk dengan percakapan mamanya.

“Sampai hati mama. Tu anak saya tau. Saya yang kandungkan dia, jaga dia, sanggup berhenti kerja, semata nak jaga anak saya dan dengar cakap mama. Dan, mama kata saya bunuh anak saya? Saya pun menantikan dia ma. Lagi ralat tak dapat peluk cium dia!!!” jerit Danya yang sudah tidak mampu mengangkat emosinya lagi.

Terus saja Adam memeluk bahu isterinya, cuba menyokong tubuh isterinya.

“Saya sedih, ma. Sedih sangat. Nak pecah jantung saya ni menanggung kesedihan ni. Kalau boleh saya mati sekali pun saya tak kisah,” kata Danya lagi menghamburkan kesedihannya.

Puan Sri Malini tertawa sinis. “Ah, lakonan je ni nak dapatkan perhatian anak aku. Berapa banyak duit anak aku habis disebabkan kau? Program kesuburan pun anak aku yang bayar sedangkan aku dah cakap cari yang subur. Bukan macam ni, lemah! Keturunan mana entah datang!”

“Jangan nak sebarang tuduh! Tanya anak mama ni siapa yang bermasalah…”

Pang!

Wajah Balqis ditampar. Baru saja Balqis mengangkat muka, dia ditampar berulang kali. Adam hanya melihat tidak tahu bagaimana mahu menghentikan. Lalu, Tan Sri Mahmud menarik isterinya dan Adam memegang Balqis.

“Aku benci kau!!! Lepaskan saya!” Puan Sri Malini naik hantu. Dia menjerit ke arah suaminya. Suaminya hanya buat tak tahu.

“Sabar Mal,” ucap Tan Sri Mahmud cuba menenangkan isterinya.

“Kenapa? Abang nak bela dia ke? Abang dah syok dengan perempuan ni ke? Sebab tu tak sanggup tengok dia kena tampar dengan saya?” jerit Puan Sri Malini pada wajah Tan Sri Mahmud.

Terus saja ruang itu menjadi sunyi. Suaminya juga hanya terdiam tidak berani melawan.

Pandangan Puan Sri Malini terus tajam memandang Balqis yang dipegang oleh Adam. Meluat!.

“Esok korang akan pergi pejabat agama untuk bercerai. Sebaiknya kau berambus dari rumah aku!” tegas Puan Sri Malini.

“Apa? Takkan sebab anak kami meninggal dan kami kena bercerai?” Kegilaan apakah ini, Danya tidak dapat menghadam dengan apa yang berlaku.

“Sayang, kita boleh cuba lagi sayang,” rayu Danya kepada Adam. Adam hanya diam dan memandang penuh kasihan terhadap isterinya.

“Tak payah nak cuba lagi. Adam akan kahwin yang lain. Aku dah carikan untuk dia. Lelaki macam Adam ni ramai je yang sudi jadi ibu kepada anak-anak dia. Keturunan aku,” kata Puan Sri Malini.

Danya memandang Adam meminta jawapan. Diam. Itu saja yang Adam berikan sejak tadi.

“Sayang… saya dah tak ada sesiapa lagi. Tolonglah, jangan buang saya macam ni… Saya pun sedih dengan kematian anak kita. Sakit melahirkan ni pun tak habis lagi,” rayu Danya kepada Adam. Tangan Adam digenggam. Di mana Adam yang sering menginginkannya?

“Mama tak nak tengok perempuan ni ada dalam rumah mama lagi. Adam dengar cakap mama. Kalau tak Adam tahu apa yang mama boleh lakukan.” Terus saja Puan Sri Malini berjalan menuju ke biliknya diekori oleh suaminya.

Semua lelaki dalam rumah ini tidak berkuasa langsung. Segala keputusan hanya boleh dibuat oleh Puan Sri Malini.

Balqis masih melutut dan memegang tangan Adam. “Jawablah pertanyaan saya…”

Adam mengalirkan air matanya. Sememangnya dia tidak mahu kehilangan isterinya ini, tapi dia lebih takut jatuh miskin di luar sana. Hidupnya tidak pernah susah, semuanya disediakan oleh mamanya.

“Malam ni awak tidur dekat bilik tetamu ya. Mama tak bagi awak tidur dengan saya.” Adan bersuara.

Pecah terus tangisan Danya ketika ini. Sungguh hina rasanya dirinya tatkala ini. Suaminya tidak pernah sekali pun melindungi dirinya. Dia sudah penat, penat sangat. Emosinya sudah koyak. Danya hanya mengangguk, perlahan dia bangun sendiri tanpa menghiraukan tangan Adam yang mahu membantunya.

Entah dari mana Mak Yati datang terus memapah Danya. “Tak apa tuan. Biar Mak Yati yang bawa puan ke bilik tamu,” kata Mak Yati sesungguhnya dia berasa sungguh kasihan dengan Danya.

Terus saja Danya tersenyum memandang Mak Yati lalu berterima kasih. Sekurangnya ada orang yang baik dalam rumah ini. Adam hanya memandang dan membiarkan Danya pergi menuju ke bilik tamu.

SELEPAS memastikan Elhasiq tidur, Emir meminta Cik Yam untuk menemani Elhasiq sehingga dia datang ke bilik itu semula. Ada panggilan yang harus dibuat. Siapa lagi kalau bukan kepada teman baiknya.

“Helo?” sapa Muiz dengan suara yang lemah.

Tergelak Emir mendengar suara Muiz. “Kat hospital ya?”

“Yalah, mana lagi. Nilah tempat paling banyak masa aku habiskan. Asal call?”

Emir berdeham. “Anak aku nangis. Dia macam entah menangis kuat tau. Aku rasa dia lapar, tapi aku tak tahu apa dia nak.”

Muiz mengangguk faham apa yang dilalui oleh bapa baru ini. “Dah bagi susu belum? Dah check pampers?”

“Dah semua dah. Badan dia semua aku check suhu semua dah. Susu pun lepas Cik Yam pujuk-pujuk barulah dia nak minum. Aku takutlah kalau anak aku ni tak selesa ke, ada masalah ke. Ha, aku dah mulalah ni nak overthinking.” Emir mula serabut. Dia mula untuk merasa marah dengan Balqis yang tidak tahu untuk membantunya.

“Alamak. Dia lapar tu. Mungkin dia tak serasi dan tak suka susu formula tu. Okey macam ni, kau kena faham tak semestinya susu tu mahal, susu tu akan sesuai dengan baby kita. Dia tengok juga pada baby tu, samalah dengan pampers ke apa,” jelas Muiz sambil mengawal kantuknya.

Emir mengangguk. “Okey, benda luaran ni aku faham. Aku boleh try and error. Cuma aku nak anak aku dapat zat yang baik dan berkualiti. Doktor sebelum ni pun ada bagitahu kan anak aku tak sesuai susu tepung juga sebenarnya. Peninglah. Dengan Balqis yang tak bagi kerjasama. Kata susu badan tak ada.”

Tergelak Muiz mendengar bebelan Emir. Sesungguhnya sahabatnya itu sukar untuk bercakap banyak tapi malam ini lain sungguh. “Susu badan ni lebih mudah untuk baby nak hadam berbanding dengan susu formula. Lepas tu ni antara yang paling popular kerisauan mak bapak adalah tersedak. So, kalau minum direct dari susu badan ni kurang risikonya,” jelas Muiz.

Keluhan dilepaskan oleh Emir setelah mendengar penerangan Muiz. “Okeylah Muiz. Thanks, bro. Apa-apa hal aku cari kau lagi.”

“Cari ibu susuan jelah senang,” kata Muiz sebelum meletakkan panggilan.

Emir terdiam lama. Siapa?

MAK YATI menatang dulang yang penuh dengan makanan berkhasiat. Dia meletakkan di tepi meja berhampiran dengan katil Danya. Perlahan dia memanggil Danya untuk duduk bersandar. Ibu yang baru lepas bersalin ini perlu dijaga dengan rapi bagi mengembalikan tenaga mereka.

Danya tersenyum memandang Mak Yati yang membantunya untuk duduk. “Terima kasih Mak Yati sebab masih baik dengan saya.”

Tergeleng Mak Yati mendengar ucapan begitu. “Kenapa nak berbuat jahat dengan manusia yang lain? Kita manusia ni sama je. Ada dua je orang dalam dunia ni. Orang baik dan orang jahat. Kita tinggal nak pilih yang mana je.”

Terangguk Danya sambil mengalirkan air mata.

“Jadi, kalau nak jadi orang lebih baik lagi. Danya makan apa yang Mak Yati masak ni. Ni semua elok untuk percepatkan proses penyembuhan Danya.” Mak Yati menghulurkan nasi dan ikan yang dipanggang bersama sayur. Nampak sangat menyelerakan.

Air mata Danya mengalir laju. Begitu juga air mata Mak Yati.

“Danya kena kuat. Kena lawan semua ni. Jangan beralah. Jangan kalah. Jangan pernah tunjuk lemah dengan orang yang hina kita. Sebelum nak melawan semula, kita kena kuat. Danya kena sembuh. Sedih memang sedih tapi kuat je pilihan yang Danya ada sekarang ni. Jadilah kuat ya nak,” ucap Mak Yati sambil mengesat air matanya.

Teresak-esak mereka berdua di dalam bilik itu.

Danya mengunyah dalam keterpaksaan dan benar apa yang dikatakan oleh Mak Yati. Dia perlu kuat untuk bangkit.

“Orang baik dugaan dia memang berat. Bukan sebab Allah nak susahkan hamba-Nya tapi ujian ni nak bawa kita lebih dekat dengan-Nya. Ingat syurga tu penuh dengan orang yang sabar. Biarkan orang yang buat Danya ni dapat balasan nanti. Jangan main-main dengan balasan kalau kita buat anak yatim piatu macam ni.” Mak Yati memasangkan stoking di kaki Danya selepas meletakkan minyak panas di kakinya.

Layanan Mak Yati membuatkan Danya rasa masih ada kebaikan di dunia ini. Ya, dia perlu kuat. Nasi dikunyah dengan oenuh berselera, dia nekad untuk cepat sembuh dan mula semula hidupnya.

Tiba-tiba Danya merasa tidak selesa pada dada kanannya. Mak Yati juga perasan. “Alah, Danya bengkak susu ke nak?”

Danya cuak. Bengkak susu?

“Nanti Danya perah kasi keluar ya susu tu. Kalau tak nanti Danya akan rasa sakit,” kata Mak Yati.

Air mata Danya terus berderai lagi laju. Bila teringatkan susu pastinya dia teringat akan pemilik susu badan ini. Anaknya.

Anak ibu…

Terus saja Mak Yati memeluk erat Danya.

“Tak tahulah macam mana nanti hidup Danya tak ada Mak Yati. Masih ada orang baik ke kat luar tu Mak Yati? Mungkin bahagia di dunia ini bukan milik Danya…” kata Danya dengan penuh emosi. Esak tangisannya bagaikan tiada henti.

Di sebalik pintu itu, Adam juga mengalirkan air matanya. Namun, dia tidak dapat berbuat apa-apa.

Share this novel

Eepah Sharif
2024-09-06 21:10:07 

tolong la pastikan nama character tu betul...sekejap Danya skjp Balqis


NovelPlus Premium

The best ads free experience