#09 Intan

Short Story Completed 498

Di kota yang dihiasi lampu-lampu neon yang berkilauan, tinggal seorang pemuda bernama Hafiz. Dia adalah seorang penulis muda yang sering terperangkap dalam dunia khayalannya sendiri. Pada suatu malam, di sebuah kafe kecil yang dipenuhi suasana tenang dan irama jazz yang lembut, Hafiz bertemu dengan seorang gadis yang mengubah segalanya. Namanya Intan. Dengan mata yang bersinar bagaikan permata dan senyuman yang menawan, Intan muncul dalam hidup Hafiz tanpa sebarang amaran, menggetarkan hatinya yang selama ini sepi.

Hafiz tidak dapat mengalihkan pandangannya daripada Intan. Setiap kali dia memandang gadis itu, hatinya berdebar-debar seperti detik jam yang terlalu cepat. Namun, Intan seperti bayangan—sentiasa hadir tetapi sukar disentuh. Mereka sering bertemu di kafe yang sama, bertukar pandang tetapi tiada sepatah kata pun diucapkan. Hafiz merasa seperti seorang pelukis yang obses dengan karya agungnya sendiri, tetapi tidak berani menyentuh lukisannya.

"Jangan pandang aku dengan mata yang cantik itu," bisik hati Hafiz setiap kali Intan tertawa kecil sambil mengacau secawan kopi di atas mejanya. Setiap tawa Intan membuat hatinya berdetak lebih pantas, menghantar rasa manis yang aneh namun pahit. Dia tahu dia sudah jatuh cinta, tetapi ketakutannya menjadi penghalang. Dia tidak mahu Intan melihat kelemahannya—dirinya yang sebenar yang bersembunyi di sebalik senyuman lembutnya.

Hafiz mula menulis tentang Intan. Setiap bait-bait puisinya, setiap halaman novel-novelnya, dipenuhi dengan gambaran gadis itu—dari mata bercahaya hingga tawa yang menggetarkan jiwa. Dia memahat kebahagiaan dan kesakitan hidup dalam setiap perkataan, berharap Intan suatu hari nanti akan memahaminya. Namun, keindahan itu semakin menghantui Hafiz, menyebabkan cintanya mekar liar seperti bunga yang tidak peduli dunia ini akan musnah.

Pada suatu malam yang dingin, Intan menghampiri meja Hafiz buat kali pertama. "Adakah saya mengganggu?" tanyanya dengan suara yang lembut. Hafiz hanya menggeleng sambil tersenyum, namun jauh di sudut hati, dia merasakan dunia sedang terhenti. Intan duduk dihadapannya, senyumnya seperti bintang yang memecah kegelapan.

"Saya selalu lihat awak menulis," Intan memulakan bicara. "Boleh kongsikan dengan saya apa yang awak tulis?"

Hafiz teragak-agak, tetapi akhirnya menjawab sambil tersenyum, "Tentang perasaan yang saya sembunyikan, tentang cinta yang tak terucap."

Intan tersenyum, seolah-olah memahami segala-gala yang Hafiz sembunyikan. Tanpa sedar, mereka berbual tentang banyak perkara—kehidupan, impian, ketakutan, dan segala-galanya yang tidak pernah Hafiz luahkan kepada sesiapa. Semakin lama mereka berbual, semakin Hafiz merasakan bahawa cinta bukanlah sesuatu yang boleh dikawal atau ditahan. Ia seperti air sungai yang deras, yang tidak mungkin berhenti walaupun dihentikan dengan kekuatan yang luar biasa.

Namun, perasaan Hafiz semakin berat. Dia tidak lagi mahu berpura-pura baik atau menyembunyikan keinginannya untuk bersama Intan. Pada malam yang penuh dengan percikan hujan di luar jendela kafe, Hafiz memberanikan diri untuk menyentuh tangan Intan. Sentuhan itu, walaupun singkat ianyanseperti ribuan kilauan permata yang menyinari hatinya. Tapi Intan menarik tangannya perlahan dan perbuatannya itu membuatkan Hafiz tersentak.

"Jangan dekati saya..." bisik Intan, suaranya lemah. "Saya bukanlah seperti yang awak fikirkan."

Hafiz melihat kesedihan dalam mata Intan, tetapi dia tidak peduli. Dia tidak lagi mahu berbohong atau bersembunyi. "Saya tidak peduli," katanya. "Saya hanya mahu jujur dengan perasaan saya."

Intan mengangguk perlahan, tetapi di matanya ada kepedihan yang Hafiz tidak mampu tafsirkan. Dalam sekelip mata, Intan berdiri dan mengucapkan selamat tinggal lalu meninggalkan Hafiz yang terpaku ditempat duduknya. Hafiz hanya mampu melihat Intan berlalu begitu sahaja. Rasa kehilangan kian mencengkam di dalam hatinya. Kini dia sedar walaupun cintanya mekar seperti bunga di bawah sinar matahari, ia juga akan layu dengan cepat apabila terluka.

"Saya bukanlah seperti yang awak fikirkan."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience