Completed
44258
PERTAMA kali Yasmin menjejakkan kakinya ke rumah banglo milik Iskandar. Dia sedikit kagum apabila melihat suasana banglo lelaki itu. Halamannya luas dan cantik.
“Mama Min, ni lah rumah Alia dengan papa. Cantik tak?” soal Alia. Dia mendongak melihat pada wajah Yasmin sambil tersenyum ceria.
Yasmin mengangguk tanda setuju. “Cantik sangat. Mama tak pernah duduk rumah besar macam ni tau,” balas Yasmin. Perasaannya sedikit teruja.
Iskandar yang melihat akan gelagat kedua-duanya hanya tersenyum segaris. “So, my princess. Pergi tunjuk bilik Alia pada mama,” arah Iskandar dengan kedua-dua belah tangannya dimasukkan ke dalam poket seluar.
Yasmin dan Alia memandang serentak pada Iskandar. Kedua-duanya tersenyum pada lelaki itu.
“Jom, mama. Tengok bilik Alia pula.” Alia menarik tangan Yasmin agar mengikutnya naik ke bilik.
“Wait, baby. I think I need to talk to mama for a while. Alia naik bilik dulu boleh?” kata Iskandar tiba-tiba teringat tentang syarat yang mahu diberikan pada Yasmin sepanjang dia tinggal di situ.
Terus terhenti langkah Yasmin. Dia menoleh pada suaminya dengan dahi yang berkerut nipis. Wajah Alia sudah masam mencuka.
“Ala, papa.. Can you talk with mama later? Now, I want to show mama my room,” rungut Alia dengan bibir yang memuncung.
Yasmin tersenyum melihat gelagat Alia lantas dia cuba memujuk si kecil. “Alia tunggu mama dekat atas dulu. Kejap lagi mama naik. Sekejap je mama cakap dengan papa. Okay?” lembut sahaja tutur bicara Yasmin terhadap anak tirinya itu. Namun, Alia tetap memasamkan wajahnya tanda protes.
“Please, Alia. Listen my word…,” nada Iskandar sedikit keras. Geram apabila Alia tidak mahu mendengar katanya. Riak muka lelaki itu juga kelihatan serius.
“Min tengok bilik Alia dulu lah. Sekejap je. Lepas tu Min turun jumpa abang semula,” kata Yasmin setelah melihat kedua-dua beranak itu tidak mahu mengalah. Dia tidak mahu Alia dimarahi oleh lelaki itu.
Iskandar ketap bibir geram dengan matanya dibulatkan ke arah Alia. Jari telunjuk di halakan pada anak perempuannya itu. Kemudian, dia terus berlalu pergi dari situ.
Yasmin menggeleng melihat sikap Iskandar. Macam budak-budak! Bisik hati kecilnya.
“Papa mad. Tadi, papa yang suruh Alia bawa mama tengok bilik Alia. Papa tak ikut turn!” bentak Alia. Wajahnya juga masih masam mencuka.
Yasmin tertawa geli hati. “Takpa. Nanti mama pujuk papa. Sekarang, kita tengok bilik Alia dulu. Mama tak sabar nak tengok. Mesti cantik sangatkan?” Yasmin cuba mengalih perhatian si kecil daripada terus dikuasai amarah.
Terus terbit senyuman dari bibir Alia saat mendengar kata-kata Yasmin. “Jom!” Tangan Yasmin ditarik dengan cepat. Mereka berdua berlari anak menuju ke anak tangga bilik.
Terdengar gelak tawa Yasmin dan Alia saat mereka menaiki anak tangga.
PERLAHAN Yasmin menghampiri Iskandar yang menantinya di ruang tamu. Dia berdiri tegak di belakang lelaki itu sambil berdehem kecil agar Iskandar sedar kehadirannya di situ.
Serta merta Iskandar menoleh ke belakang. “Dah settle?” soalnya, bersahaja.
Yasmin tersenyum seraya mengangguk lembut.
“Okay. Duduk,” arah Iskandar. Dia turut melabuhkan punggungnya ke sofa ruang tamu.
Yasmin menurut. Dengan penuh sopan, dia duduk menghadap Iskandar. Bibirnya mengukir senyum manis sambil memerhatikan gelagat lelaki di depannya itu. “Abang nak cakap tentang syarat ke?” soal Yasmin. Nadanya begitu lunak dipendengaran Iskandar. Membuatkan hati lelaki itu sedikit bergetar.
“Ya. Syarat,” jawab Iskandar, ringkas.
Yasmin tersenyum lagi. Dia diam sambil menanti kata-kata seterusnya daripada Iskandar.
“I tak letakkan syarat yang terlalu ketat. Cuma, I tak mahu you tinggal sebilik dengan I sebab bilik tu ada kenangan yang paling berharga antara I dengan arwah isteri I,” tenang sahaja nada Iskandar saat ini. Namun, cukup untuk mengguris perasaan Yasmin tanpa sedar.
Berubah riak wajah Yasmin. Dia tidak sangka syarat itu yang diletakkan untuknya. Patutlah lelaki itu tidak pernah menyentuhnya sehingga ke hari ini. Senyuman Yasmin hilang. Dia menatap tepat pada mata Iskandar seakan meminta penjelasan.
“I dah sediakan bilik you sebelah bilik Alia. Cuma I harap you kunci pintu bilik tu supaya Alia tak perasan. I tak mahu dia bercerita pada sesiapa tentang hal ni,” sambung Iskandar lagi.
Yasmin masih diam. Dia hanya melihat Iskandar meletakkan kunci bilik di atas meja ruang tamu yang ada di hadapan mereka. “Ini kuncinya. Untuk memudahkan you, I dah buat satu penyangkut kunci pada pintu bilik. So, you boleh sangkut kunci di situ setiap kali you keluar dari bilik.”
Yasmin masih membisu. Sedikit pun dia tidak berganjak untuk mengambil kunci itu. Dia hanya memandang kosong pada lantai ruang tamu.
Iskandar tarik nafas dalam. Dia tahu Yasmin terasa. Tetapi, inilah harga yang perlu wanita itu bayar selepas berkahwin dengannya. Sampai bila, dia juga tidak pasti.
“Setiap malam, sebelum you masuk tidur, tolong teman Alia tidur.”
“Tugas you hanya jaga Alia sahaja. Tak perlu masak sebab I akan beli sarapan pagi dan makan tengah hari serta makan malam. Tapi, kalau you rajin nak masak, takda masalah. Just let me know supaya I tak beli atau makan di luar.”
“I akan bayar you setiap bulan.”
Saat ayat itu keluar daripada mulut Iskandar, Yasmin terus angkat muka menatap dengan pandangan tajam. “Bayar?” Berkerut dahi Yasmin tika ini.
Iskandar terkebil-kebil. Baru tersedar ayatnya tidak sesuai. “I mean, nafkah. I akan bagi nafkah pada you tiap-tiap bulan.” Cepat-cepat dia menjelaskan maksud dari kata-katanya sebentar tadi.
Takut juga melihat muka garang Yasmin. Seakan mahu menelannya.
Riak muka Yasmin mengendur. Wajahnya kelihatan sedikit suram.
“Kalau tak cukup apa-apa atau nak apa-apa, bagi tahu I, I akan belikan,” sambung Iskandar lagi. Matanya masih menatap pada susuk tubuh Yasmin.
“Kenapa abang setuju nak kahwin, kalau abang tak bersedia untuk kahwin?” soal Yasmin setelah berdiam diri sejak tadi.
Iskandar tersenyum sinis saat mendengar soalan Yasmin itu. Dia sudah dapat mengagak. Pasti wanita itu akan bertanya soalan sebegitu.
“Macam I pernah cakap sebelum ni. I berkahwin sebab Alia. Dia perlukan kasih sayang seorang ibu,” selamba sahaja Iskandar menjawab.
Yasmin tersenyum pahit. “Takda peluang ke untuk Min dapatkan hati papa Alia?” soal Yasmin tanpa rasa segan lagi.
Iskandar terpempan. Tak sangka soalan itu akan keluar dari mulut Yasmin. Wanita itu tampak polos. Tetapi, berani.
Sebelum Iskandar menjawab soalan itu, dia ketawa kecil. “You boleh cuba. Cuma I takut you kecewa sebab arwah isteri I adalah cinta pertama dan terakhir I,” tutur Iskandar dengan tenang. Dia melipat kedua belah tangannya rapat ke dada.
Yasmin tersenyum nipis. “Min akan cuba,” lembut sahaja nada itu ditutur Yasmin. Dia nekad mahu memenangi hati suaminya. Jika itu adalah cabaran yang harus dia hadapi, dia akan menyahutnya tanpa rasa bimbang.
“Good luck!” Iskandar bangun dari duduknya dan berdiri tegak di hadapan Yasmin.
“Dari semasa ke semasa, I akan beritahu syarat-syarat yang lain. Setakat ini, itu sahaja syarat yang I tetapkan,” sambung Iskandar lagi. Kemudian, dia terus melangkah pergi meninggalkan Yasmin di situ seorang diri.
Yasmin melepaskan keluhan berat. Fikirannya bercelaru. Bermacam-macam yang bermain di benak fikirannya tika ini. Dia berharap tiada lagi syarat yang pelik-pelik dari lelaki itu.
Dalam masa yang sama, dia mengatur strategi untuk memikat hati lelaki itu. “Min akan buat abang cintakan Min,” gumam Yasmin, perlahan.
Share this novel