Rate

BAB 2

Family Completed 467

Malam likat dengan kehitaman. Bulan tidak memunculkan rupa. Bintang malap tenggelam dalam kelikatan malam itu. Malam sayu. Sehiba esak tangis Manis di ranjangnya.

Sepanjang malam, Darwis batuk lelah berdarah. Matanya tidak boleh terlelap walaupun sepicing. Tekaknya perit. Sesekali lidahnya berlendir, air liur mengalir di seputar bibir. Darah merah pekat tersembur bersama-sama batuknya. Dia menahan derita itu keseorangan di dalam kamar dengan pintu bertutup. Kedap bunyi atau suara.

Pagi bersiulan nada sendu. Burung-burung membisu.

“Papa!”

Manis menggoncang tubuh papa. Namun, mata papa tetap terpejam. Tiada sebarang reaksi daripada papa. Dia mengesat darah merah di bibir papa dengan lengan bajunya. Lantas, dibawanya papa ke hospital.

“Nampaknya, bapa Cik Manis perlu melalui prosedur Pleural biopsy.”
“Pleural biopsy?”Manis mengerutkan dahi.

“Ya. Prosedur ini perlu dilakukan untuk mendapatkan sampel tisu pleura iaitu lapisan yang meliputi bahagian paru-paru Encik Darwis. Sampel ini sangat penting untuk diagnosis. Setelah bapa Cik Manis sedar nanti, saya harap Cik Manis boleh berikan kerjasama dengan meminta persetujuannya untuk menjalani prosedur ini.” Ujar Doktor Ibnu.

Manis menggenggam erat tangan papa. Dia telah menanti di tepi katil itu sejak dua jam yang lalu. Namun, papa masih belum sedar. Hatinya hiba melihatkan salur dan wayar yang berselirat di tubuh papa.

“Papa sudah sedar? Alhamdulillah ....”

“Yu ... Manis . Papa di mana sekarang?” Matanya terkebil-kebil kesilauan.
“Papa. Manis minta maaf, Manis bawa papa ke hospital. Manis tahu bahawa papa tidak menyukai tindakan Manis ini. Doktor kata, papa kena lalui prosedur Pleural biopsy. Papa setuju?”

Darwis menggeleng-gelengkan kepala. Bibirnya masih berat untuk berbicara. Dia mengiringkan badan ke arah lain.

“Papa, ini untuk kebaikan papa juga. Manis sayang papa.”

Darwis terdiam. Kata-kata Manis itu menusuk dalam perasaannya.

“Papa setujukan?”

Darwis mengangguk perlahan dalam keterpaksaan. Pujukan itu berhasil.
“Nurse, sediakan set Pleural biopsy, Bed 11.”

Setelah 20 minit operasi dijalankan, Darwis dibawa masuk ke bilik x-ray pula. Kemudian, dia berehat ditemani Manis di sisinya. Doktor Ibnu turut berdiri di situ, mencatat sesuatu.

“Doktor, saya mahu pulang sekarang.”

“Encik Darwis, saya nasihatkan encik tinggal dulu di sini selama beberapa hari lagi. Lagipun keadaan encik masih belum stabil.”

“Tidak. Aku mahu pulang sekarang.”

Manis memandang Doktor Ibnu. Doktor Ibnu mengetap bibir, memahami bahasa mata Manis itu. Darwis bukanlah seorang yang mudah dipujuk lebih-lebih lagi untuk mendapatkan rawatan moden.

Kereta mewah itu meluncur laju. Manis memandu manakala papa tersandar sambil termenung.

“Manis tahu kenapa papa tak mahu ke hospital? Manis tahu kenapa papa benci perubatan moden?” Soalan diutarakan berbondong-bondong.

Manis mengangkat bahu, tanda tidak mengerti.

“Manis tahu kenapa mama mati?”

Spontan itu juga Manis menekan brek. Kereta itu kaku di bahu jalan. Soalan papa itu menusuk jiwanya. Ya, dia tahu, mama pergi kerana serangan jantung tiga tahun lepas. Sejak papa mengumpul Suiseki itu. Mulai dari saat itu, petaka menimpa keluarganya. Mama kerap jatuh sakit. Jantung mama mengepam dengan lemah sekali. Mama selalu pengsan. Kini, papa pula menderita dengan batuk berdarah.
“Semuanya angkara Suiseki. Manis benci Suiseki!”

“Bukan, bukan Suiseki. Semuanya salah doktor. Mereka cuai. Jantung mama berlubang kerana kecuaian itu.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience