Rate

BAB 3

Family Completed 467

Air mata Manis mengalirkan deras tanpa dipaksa. Jiwanya terkesan dengan kata-kata papa.

“Papa tidak percayakan mereka lagi. Cepat, bawa papa jumpa dukun.” Desaknya terbatuk-batuk.

“Baik papa, kalau itu permintaan papa, Manis akan turuti.”
Dalam kesamaran, nyalaan lilin merah menerangkan empat sudut kamar dukun itu. Dukun itu berjampi serapah dengan penuh keanehan. Di hadapannya, tengkorak, limau kasturi, telur ayam dan kain kuning bersusun rapi. Mantera yang dibacakan dukun itu tidak difahami. Sesekali tubuh dukun itu menggelupur bagai dirasuk iblis.

Manis merapati papa. Gerak-geri dukun itu begitu meragukan. Dia tidak percaya akan perubatan dukun. Namun, papa sebaliknya. Papa lebih rela berubat tradisional walaupun bayarannya berlipat ganda mahal berbanding bil hospital.
Papa batuk darah lagi. Manis mengusap-usap belakang papa, matanya merenung dukun itu.

“Biarkan dia batuk darah lagi. Biar habis bisa-bisa keluar dari badannya.” Dukun itu menegur Manis .

Papa semakin parah. Batuknya tidak henti-henti. Papa terbaring, mengerekot kesakitan. Bibir papa merah berlumuran darah. Manis cemas melihatkan keadaan papa.

“Manis , papa tidak akan hidup lama. Ingat pesan terakhir papa. Jaga diri baik-baik. Jaga kehormatan diri kamu. Ketahuilah, dulu kita orang susah. Papa bersusah payah membesarkan kamu. Suiseki itu. Dengan batu-batu yang kamu benci itulah papa mencari nafkah. Papa menyara keluarga. Papa membesarkan kamu.”
“Papa.” Seru Manis pentar.

“Sakit papa ini bukan dari Suiseki itu. Suiseki hanya seketul batu. Tak lebih daripada itu. Sakit, sihat, hidup, mati, semuanya daripada Tuhan, Manis . Papa sayang Manis .”

Darwis terpejam untuk selama-lamanya. Dadanya yang berombak tadi tenang. Tiada lagi hela nafas di rongga hidung papa. Darah merah mengalir dari bibir ke leher.

“Papa! Jangan tinggalkan Manis . Manis sayang papa.” Manis menangis.

Manis menggoncang tubuh papa yang tidak bernyawa itu.

Sudah seminggu papa meninggal dunia. Aku sunyi. Aku keseorangan di rumah mewah ini. Hidupku ditemani Suiseki. Aku tidak lagi membenci Suiseki. Bahkan, setiap kali aku menatap Suiseki, aku terbayang wajah riang papa menggilap Suiseki. Namun itu semua sudah berlalu. Terlalu pantas bagiku. Aku masih memerlukan pendorong untuk terus hidup.

Papa, dukun yang mengubati papa itu palsu. Dia menipu kononnya mampu mengubati apa saja jenis penyakit. Dukun itu sudah ditangkap polis. Dia akan terima pembalasan atas penipuannya itu.

Papa, Manis amat menyayangi papa. Tapi papa terlalu keras dengan pendirian papa. Papa sanggup merana dengan batuk berdarah papa. Manis sedih melihat keputusan prosedur biopsi. Papa bukan terkena penyakit misteri. Penyakit papa ialah kanser paru-paru.

Maafkan Manis , papa. Maafkan Manis kerana sering menentang papa mengumpul Suiseki. Manis masih belum matang menilai sesuatu. Manis terbawa-bawa oleh emosi remaja Manis . Manis cuma mahu melihat papa sihat. Itulah sebenarnya kebahagiaan Manis . Bukan harta kekayaan.

Manis sayang papa ....

Manis mematikan nukilan diarinya di situ. Pen hadiah papa itu dibaringkan. Titis-titis air mata berjejeran di hamparan buku diari itu.

Petang itu Manis ke hospital untuk memaklumkan pemergian papa kepada pihak hospital.

“Cik Manis , kami sebagai doktor juga manusia biasa. Kami tidak lari daripada melakukan kesilapan. Namun, kami harus beri yang terbaik buat pesakit. Apa-apa pun, nyawa itu ketentuan Allah bukan? Kami cuma mampu berikhtiar kepada-Nya.” Ujar Doktor Ibnu.

“Tentang dukun itu ....” Bicara Manis perlahan.

“Ya, saya faham masyarakat kita kadang-kadang lebih suka perubatan alternatif oleh pawang atau dukun. Sebaik-baiknya kita memilih jalan perubatan yang diredai Allah kerana Dialah yang berkuasa menyembuhkan. Bukannya makhluk. Apatah lagi kita manusia, sekadar makhluk yang lemah.” Ulas Doktor Ibnu dengan tenang.

Manis tersenyum. Jiwanya terubat. Nasihat Doktor Ibnu menjadikannya lebih kuat.

Doktor Ibnu terus melontarkan pandangan, “Sejak dulu lagi perubatan moden telah dikuasai oleh orang Islam. Ramai tokoh-tokoh ilmuwan Islam lahir ketika kegemilangan tamadun Islam. Contohnya, Ibnu Sina yang digelar bapa perubatan. Beliau banyak memberi sumbangan dalam dunia perubatan moden sehingga di Barat, beliau dikenali sebagai Avicenna. Malah kitab perubatan karangan beliau masih menjadi rujukan sehingga hari ini. Sesuatu yang mengagumkan bukan?”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience