Rate

BAB 1

Romance Completed 881

“Mama dah terima pinangan Encik Mus.” Ujarnya selamba sambil menyudu
nasi goreng yang masih penuh di dalam pinggan porselinnya itu. Shafiqah
Amira yang tadinya enak menjamah makanan yang terhidang, tiba-tiba
tersentak. Puan Nadila memandang anak tunggalnya yang duduk bertentangan
apabila tiada sebarang reaksi yang diterimanya. Shaf yang terbatuk-batuk
kerana tersedak membuat isyarat tangan ke arah ibunya agar menuangkan
air ke dalam gelas yang dihulurkan manakala tangannya masih tidak
berhenti daripada menepuk-nepuk meja.

Dengan rakus Shaf meneguk air yang telah dihulurkan oleh ibunya. Dia
menarik nafas lega seraya meletakkan gelas yang dipegangnya tadi di atas
meja makan semula. Akhirnya pandangan ibunya bersambut jua tatkala Shaf
turut merenung Puan Nadila. Terkebil-kebil Shaf apabila kebisuan mulai
melanda.

“Ma… mama terima?” Terlopong mulut Shaf usai menghabiskan kata-katanya.
Biar betul mama aku ni. Aku rasa aku dah tolak pinangan tu minggu lepas.

“Hmm…” Gumam ibunya seraya menyambung suapan yang tergendala sebentar tadi.

“Shaf dah tolak pinangan tu minggu lepas. Kan?” Anak mata Shaf masih
lagi terarah pada wajah ibunya. Perlahan-lahan Puan Nadila meletakkan
sudu dan garfu yang dipegangnya tadi lantas menarik nafas dalam-dalam
sebelum membuka mulut.

“Dah tujuh kali kamu tolak pinangan, Shaf. Sampai bila nak terus menerus
tolak pinangan orang? Tunggu sampai kamu tak laku dulu ke?” Shafiqah
membetulkan posisi sebelum membalas kata-kata ibunya itu.

“Ma, Shaf masih muda dan masih belajar. Macam mana Shaf nak bahagikan
masa untuk keluarga dan pelajaran? Dahlah Shaf tak kenal anak Encik Mus
tu.” Protesnya dengan nada yang turun naik. Puan Nadila merenung wajah
anaknya dalam-dalam.

“Kamu akan terbiasa dengan semua tu, lagipun anak Encik Mus tua tiga
tahun daripada Shaf. Jangan risaulah, dia mesti dapat bimbing kamu
dengan baik. Tak kenal maka tak cinta bukan?” Shaf memuncungkan bibir
apabila kembali menunduk memandang pinggan dihadapannya.

“Apa-apa ajelah. Tapi kalau dia lari, Shaf tak jamin tau.” Ujar Shaf
tanpa memandang ibunya yang mengerling tajam ke arahnya.

Puan Nadila menggelengkan kepalanya tatkala melihat telatah anaknya yang
persis kebudak-budakkan itu. Keningnya yang tidak gatal digaru-garu
dengan hujung jari, semakin pening dibuatnya. Diharapkan bakal
berubahlah sikap anaknya itu. Bukannya dia tidak kenal anak lelaki Encik
Mus. Sekali dipandang, pasti Shaf bakal terpaut.

6 Bulan kemudian,

“Mama aku ni biar betul. Lelaki yang duduk depan tok kadi tu ke yang
bakal jadi suami aku?” Shaf berbisik di tepi telinga sahabat karibnya
yang duduk bersimpuh disebelahnya itu.

Gadis yang berbusana indah dengan pakaian yang serba putih itu sedikit
tertinjau-tinjau untuk melihat lelaki yang bakal bergelar suaminya yang
sah sekaligus bakal menjadi pasangannya sepanjang hayat. Hanida
merangkap sahabat baik Shaf merenung sahabatnya dengan pandangan yang
pelik. Shaf yang tadinya tertinjau-tinjau akhirnya kembali memandang
Hanida yang diam tidak berkutik.

“Dah terpampang depan mata kau yang mamat tu duduk depan tok kadi kan?
Jadi, mestilah dia yang bakal jadi suami kau. Takkan pak cik berjanggut
yang duduk belakang dia tu? Kau tak pernah jumpa dia ke?” Ujar Hanida
dengan perasaan yang pelik. Shaf mengeluh perlahan.

“Mama aku punya rancanganlah semua ni, aku mana pernah jumpa mamat tu.
Dari awal sampai akhir semuanya orang tua kami yang beria-ria uruskan,
aku pun ikut ajelah. Enam bulan dia pergi luar negara. Ada urusan
katanya, kerja apapun aku sendiri tak tahu.” Balas Shaf sebelum kembali
mencebik.

“Eh! Untungnya kawan aku yang seorang ni, dahlah bakal sang suami tu
tampan. Kahwin muda lagi. Kau patut bersyukur tau. Kebanyakan ibubapa
zaman sekarang, tegah anak-anak daripada kahwin muda. Macam aku ni.
Haishh… Apalah nasib.” Hanida mengeluh mengenangkan nasibnya yang masih
membujang. Shaf memusing-musingkan bola matanya setelah mendengar
bait-bait kata yang meluncur laju daripada bibir mugil Hanida.

Shaf mengetap bibir manakala matanya masih lagi tajam merenung lelaki
yang tidak diketahui namanya itu. Bukankah itu sudah di tahap kronik
bagi pengantin yang tidak tahu nama pasangan masing-masing? Malangnya,
itulah hakikat yang sedang melanda realiti kehidupannya di kala ini.
Tidak sanggup dibayangkan kehidupannya apabila mula melewati hari-hari
seterusnya dengan status sudah berkahwin. Memikirkannya sahaja sudah
membuatkan bulu romanya berdiri tegak.

Tanpa disedari, tangan Puan Nadila lembut sahaja menyulam jari jemari
Shaf yang diletakkan di atas ribanya sebentar tadi. Entah kenapa,
jantungnya tiba-tiba sahaja berdegup laju walhal awal-awal tadi dia
boleh diibaratkan persis patung cendana yang tidak mempunyai secebis pun
perasaan. Dipandang ibunya sekilas sebelum kembali menatap lelaki yang
sudah langsung menjadi suaminya yang sah dengan satu lafaz sahaja.
Bukannya Puan Nadila tidak pernah bercerita tentang anak kawan baiknya,
Encik Mus tetapi dia sahaja yang tidak pernah berkeinginan untuk
mengambil tahu dan itu termasuklah nama suaminya sendiri.

Eh kejap! Aku dah nikah? Semakin cepat detak jantung Shaf apabila lelaki
yang tidak dikenalinya itu datang menghampiri untuk menyarungkan cincin
ke jari manisnya. Tidak keruan jadinya gadis yang berkulit cerah itu.
Dipintal-pintalnya hujung tudung bagi menangkis debaran yang tiba-tiba
datang bertamu.

“Mama, Sh… Shaf dah nikah?” Tergagap-gagap bicaranya namun masih dikawal
agar tiada orang sekeliling yang mencuri dengar. Puan Nadila mengangguk
mengiakan dengan senyuman yang mekar menghiasi wajah tuanya itu tetapi
semuanya sesaat cuma apabila riak ibunya tiba-tiba sedikit berubah
persis dapat menangkap sesuatu yang bermain di benak anak gadisnya itu.

“Shaf berangan waktu akad nikah tadi?” Puan Nadila membeliakkan matanya
kerana tidak percaya dengan hakikat yang terjadi di hadapan matanya di
saat itu. Belum pernah terjadi di dalam sejarah hidupnya melihat
pengantin mengelamun pada saat-saat bersejarah seperti itu. Ringan
sahaja tangannya mahu mencubit-cubit pipi anaknya yang gebu itu mujur
pihak pengantin lelaki sudah duduk dihadapan anak perempuannya untuk
menyarungkan cincin. Tangan anaknya ditepuk perlahan.

Shaf yang tersentak dengan perlakuan ibunya itu cepat-cepat mengangkat
kepala yang masih tersarung dengan tudung arini yang berwarna putih
lembut itu dan untuk pertama kalinya pandangan mereka mula bertaut. Ada
kata yang ingin dilafazkan, namun tidak terluah di bibir. Hanya mata
mereka yang saling berbicara. Dalam suasana yang hening, tangan Shaf
yang berinai merah itu ditarik lembut oleh lelaki yang sudah sah
bergelar suaminya untuk disarungkan cincin lantas dikucupnya dahi gadis
itu dengan penuh rasa kasih setelah Shaf akur untuk mencium tangan
lelaki itu. Shaf terkedu sebentar, perasaan sebak mulai menyentuh
tangkai hatinya tanpa sedar.

“Welcome to my life, my dear wife. Andai sudah tersurat dikau
takdirku. Bakalku paterikan nama Shafiqah Amira Binti Khairin di hati
ini. Semoga dirimu menerima diri ini dengan hati yang ikhlas.” Terkesima
Shaf mendengar suara halus yang berbisik di tepi telinganya di saat itu.
Dunianya ibarat beku sebentar, dia menjadi kaku tanpa sebab. Pipinya
sedikit demi sedikit mulai berona kemerah-merahan. Debaran di dada
semakin menjadi-jadi.

Hanida yang asyik tersenyum sumbing dari tadi menyiku sedikit kawannya
yang jelita dengan busana pengantin yang dipakai tatkala melihat reaksi
Shaf yang masih kaku. Faham-fahamlah Syaf dengan aturcara majlis yang
akan berlangsung selepas itu.

Semuanya berjalan lancar seperti yang telah dirancangkan oleh kedua buah
keluarga bagi pihak lelaki dan juga perempuan. Biarpun pada awalnya dia
bersetuju dengan semua itu atas alasan bagi menghormati keputusan
ibunya, tetapi kini hatinya sudah sedikit terpaut dengan lelaki itu.
Namun, keputusannya masih bulat untuk tidak membenarkan lelaki itu
daripada terus mengganggu hidupnya di hari-hari yang mendatang.

Penat melayan tetamu yang hadir menyebabkan Shaf terus memanjat tangga
menuju ke biliknya. suaminya yang perasan akan tindak-tanduk Shaf
langsung meminta diri seraya mengejar Shaf yang sudah naik beberapa anak
tangga. Dipegangnya erat tangan gadis itu menyebabkan Shaf sedikit
tersentak apabila ditarik bagi turut melangkah mengikuti jejak lelaki
itu. Shaf berusaha untuk melarikan diri daripada genggaman tangan itu
tetapi gagal. Semakin erat sulaman tangan mereka di kala itu. Dirasakan
ibarat renjatan elektrik genggaman lelaki itu. Itulah kali pertama
lelaki yang bukan muhrimnya memegang tangannya.

Pintu bilik dikatup rapat sebelum dikunci dari dalam. Shaf memandang
pelik melihat tingkah lelaki itu, katil yang dihias indah langsung tidak
menarik perhatiannya. Apabila lelaki itu berpusing menghadapnya barulah
dadanya mulai berombak kencang. Semakin dekat lelaki itu melangkah
semakin cepat Shaf mengundur ke belakang dan akhirnya pergerakan Shaf
terhenti sendiri apabila belakang badannya mula bersentuhan dengan
dinding. Namun lelaki itu masih lagi mara ke arah Shaf sehingga hanya
tinggal beberapa inci sahaja jarak di antara mereka. Shaf mulai cuak,
dikatupnya kelopak matanya serapat yang mungkin.

“Aku bukan nak buat apa-apa dekat kaulah. Sini, aku tolong bukakkan
selendang atas kepala kau tu. Nanti kau rasa ralat pula nak buka.”
Ujarnya dengan tangan yang baru sahaja disuakan untuk membuka pin dan
juga jarum yang tersemat di atas kepala gadis itu. Tergelak kecil Fayhan
dibuatnya tatkala melihat reaksi gadis itu.

“Sa… saya boleh buka sendiri, tak perlulah risau…” Shaf menjadi buntu.
Macam mana nak bahasakan diri dengan lelaki itu? Kalau panggil kau,
nampak sangat tidak hormat. Jika memanggil lelaki itu dengan panggilan
awak atau abang memang boleh dapat serangan jantung jawabnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience