Rate

KES 2

Detective Series 2607

SUDAH lebih kurang seminggu berlalu sejak kematian Marshila apabila pelakon wanita popular itu dibunuh dengan kejam. Ariana giat menjalankan siasatan berkenaan kes tersebut untuk mencari maklumat dan menjejaki penjenayah yang bertanggungjawab ke atas semua ini.

Orang awam juga turut dimaklumkan oleh pihak polis melalui media massa yang bertindak sebagai perantara dan penyalur maklumat. Kes pembunuhan ini menjadi buah mulut semua orang, tidak kira usia.

Pihak penyiaran televisyen juga ada menerbitkan sebuah rancangan yang diberi nama 'MS Dalam Kenangan' yang bertujuan memperingati perjalanan hidup arwah dalam dunia seni semasa hayatnya.

Syarikat penerbitan drama dan filem terpaksa menghentikan semua perjalanan projek mereka yang memerlukan Marshila apabila tunggak utama dalam drama dan filem mereka itu telah kembali ke rahmatullah.

Kebanyakan syarikat produksi terpaksa mencari pengganti bagi watak yang dahulunya disandang oleh Marshila. Mereka juga terpaksa mengeluarkan kos yang lebih apabila terpaksa mengulangi semula babak dalam drama dan filem mereka yang dipegang oleh Marshila sebelum ini.

Pada pagi itu, Ariana yang baru sahaja sampai ke Ibu Pejabat Polis Bukit Damai terus masuk ke dalam pejabatnya untuk meneruskan siasatannya ke atas kes pembunuhan tersebut. Apabila Ariana masuk ke dalam biliknya, dia terus menekan butang pada telefon pejabatnya bagi menyambungkan talian interkom.

"Ya Puan, ada apa-apa yang boleh saya bantu?" tanya orang yang menjawab panggilan interkom tersebut.

"Tolong panggilkan Koperal Hashim masuk ke dalam bilik saya sekarang, dan minta dia bawa sekali semua fail yang berhubung kait dengan kes pembunuhan Marshila," pinta Ariana.

"Baiklah, puan. Saya akan panggil dia sekarang. Ada apa-apa lagi yang puan nak pesan?" tanya orang yang berada di hujung talian.

"Hmm... tak ada. Itu aje. Terima kasih," ucap Ariana.

"Sama-sama," balas orang tersebut.

Talian interkom terus diputuskan.

Sementara menunggu Koperal Hashim datang ke biliknya, Ariana duduk menyandar pada kerusi pejabat sambil memikirkan langkah seterusnya yang perlu diambil bagi menyelesaikan kes terbarunya itu.

Tuk! Tuk! Tuk!

Pintu bilik diketuk dari luar.

"Masuk!"

Daun pintu bilik tersebut terkuak perlahan-lahan. Kelihatan Koperal Hashim menunjukkan dirinya di sebalik pintu dan terdapat beberapa fail yang dipegang dalam tangannya.

"Puan panggil saya?" tanya Koperal Hashim selepas memberikan tabik hormat.

"Ya, saya panggil awak.Siapa lagi? Awak boleh duduk," jawab Ariana sambil menunjukkan ke arah dua buah kerusi yang berada di hadapan mejanya.

"Terima kasih,Puan," balas Koperal Hashim.

Koperal Hashim terus melangkah menuju ke meja Ariana dan meletakkan fail yang dipegang di atas meja tersebut. Kemudian, dia menarik kerusi yang ada dan terus duduk bertentangan dengan kedudukan Ariana.

"Kita nak bincang apa hari ni, Puan?" tanya Koperal Hashim.

"Koperal, saya nak awak beritahu saya semua maklumat terkini yang kita dapat untuk kes pembunuhan Marshila," kata Ariana.

Koperal Hashim menganggukkan kepala dan terus membuka fail yang telah dibawa bersamanya sebentar tadi. Dia menyelak helaian kertas yang berada di dalam fail tersebut untuk mencari laporan yang mempunyai maklumat terkini mengenai kes pembunuhan ke atas pelakon wanita popular, Marshila.

"Puan, sebelum ni puan telah arahkan saya untuk mencari maklumat yang mungkin berkaitan dengan nombor '118' yang terukir pada tangan mangsa," kata Koperal Hashim sambil membaca laporan yang sedang dipegangnya.

"Jadi, awak ada dapat apa-apa maklumat mengenai nombor tu?" tanya Ariana ingin tahu.

"Puan, menurut laporan yang dihantar oleh unit daripada jabatan IT, mereka telah berjaya mendapat beberapa senarai yang mungkin berkaitan dengan nombor tersebut. Tetapi, dalam banyak-banyak senarai yang ada di sini, hanya tiga senarai yang berada dalam prioriti tertinggi. Antaranya adalah senarai alamat rumah, senarai nombor pendaftaran kenderaan, dan senarai nombor kad pengenalan," jelas Koperal Hashim sambil merujuk laporan yang sudah tersedia.

Ariana mengangguk faham dengan penjelasan yang dilakukan oleh Koperal Hashim. Baginya, senarai yang telah disebutkan oleh Koperal Hashim sebentar tadi mungkin dapat membantunya dalam menyelesaikan kes terbarunya itu. Sekarang ini, Ariana perlu tahu kaitan senarai-senarai tersebut dengan si mangsa, Marshila.

"Koperal, boleh beritahu pada saya apakah kaitan antara semua senarai tersebut dengan si mangsa?" pinta Ariana.

Koperal Hashim menyelak lagi helaian kertas di dalam fail berkenaan untuk mencari maklumat yang dipinta oleh Ariana. Koperal Hashim membaca setiap satu tajuk laporan yang tertulis sehingga dia terbaca sehelai kertas yang bertajuk 'Maklumat Terperinci: 118'. Selepas memastikan itulah maklumat yang dipinta oleh Ariana, dia pun terus membaca laporan tersebut.

"Puan, berdasarkan laporan yang berada dalam tangan saya sekarang ni, data-data daripada setiap senarai yang mempunyai nombor '118', semuanya tidak ada kena mengena langsung dengan mangsa." jelas Koperal Hashim

"Ini kerana, berdasarkan maklumat peribadi mangsa, saya difahamkan bahawa mangsa tidak pernah tinggal di alamat yang tersenarai dalam laporan ni, mangsa juga tidak pernah membeli kenderaan yang mempunyai nombor '118' pada nombor pendaftaran atau nombor sirinya, dan nombor kad pengenalan mangsa, ahli keluarga, dan saudara-mara terdekat juga tidak ada yang mempunyai nombor '118'," jelas Koperal Hashim kepada Ariana berdasarkan laporan rasmi yang sedang dipegangnya.

Ariana mengangguk faham dengan penjelasan yang telah dibuat oleh Koperal Hashim dan dia sendiri mengakui bahawa keadaan ini merumitkan lagi proses siasatan yang sedang dijalankannya ke atas kes pembunuhan Marshila.

Ariana mendiamkan diri buat seketika untuk memikirkan langkah seterusnya yang perlu diambil bagi menyelesaikan kes terbarunya itu. Ariana terus bersandar pada kerusinya dan memandang ke arah siling sambil kepalanya ligat memikirkan sesuatu yang memerlukannya untuk berfikir di luar kotak.

Koperal Hashim turut mendiamkan diri apabila ternampak akan reaksi wajah dan gerak tubuh yang ditunjukkan oleh Ariana. Dia memahami bahawa pada ketika ini, Ariana sedang menemui jalan buntu dalam mencari klu seterusnya bagi menyelesaikan kes pembunuhan Marshila. Koperal Hashim hanya membisu di situ dan membiarkan Ariana dengan kepalanya yang sedang ligat berfikir.

"Nampaknya, maklumat yang melibatkan nombor '118' tu tak banyak membantu dalam siasatan saya ni," kata Ariana.

"Hmm... okey. Habis tu, tuan nak buat apa sekarang?" tanya Koperal Hashim sambil menutup fail yang dipegang dan diletakkan di atas meja.

Ariana terdiam lagi apabila ditanya mengenai langkah seterusnya dalam menjalankan siasatan bagi kes pembunuhan itu. Dia sendiri tidak tahu tindakan khusus yang perlu diambil pada ketika itu yang mungkin boleh membantunya dalam menyelesaikan masalah ini. Cuma satu jalan sahaja yang berada dalam kepalanya. Satu jalan yang dia merasakan tidak banyak membantu, tetapi perlu juga dilakukan.

"Ahli keluarga mangsa," kata Ariana.

"Hah, apa dia?" tanya Koperal Hashim apabila dia tidak dapat mendengar dengan jelas akan kata-kata Ariana sebentar tadi.

"Ahli keluarga mangsa," Ariana mengulangi kata-katanya.

"Ahli keluarga mangsa? Kenapa dengan ahli keluarga mangsa?" tanya Koperal Hashim lagi yang tidak faham akan maksud Ariana.

Ariana mendiamkan diri buat seketika. Lantas tangannya mengambil fail laporan yang mengandungi maklumat peribadi Marshila, dan dibelek setiap satu muka surat yang ada. Dia membaca setiap patah perkataan yang tertulis dalam laporan tersebut. Daripada nama penuh mangsa, sehinggalah kepada maklumat terbaru mengenai mangsa sebelum dibunuh dengan kejam.

Koperal Hashim pula setia menunggu di dalam bilik berkenaan sambil melihat Ariana yang kelihatan seperti mencari sesuatu dalam laporan tersebut. Dia hanya memerhati tingkah laku Ariana yang bersungguh-sungguh dalam bacaannya. Tidak lama kemudian, Koperal Hashim mengambil sebuah lagi fail yang berada di atas meja dan membaca laporan yang ada.

Setelah menemui maklumat yang dicari, Ariana meletakkan fail yang dipegang di atas meja sambil matanya kekal tertumpu pada maklumat tersebut. Dia menyelak kertas laporan itu ke depan dan ke belakang untuk memastikan tiada maklumat tambahan yang mungkin boleh diperoleh.

"Koperal," panggil Ariana.

"Ya, Puan?" jawab Koperal Hashim sambil menutup fail laporan yang sedang dibaca dan diletakkan semula di atas meja.

Ariana memusingkan fail laporan yang sedang dipegangnya ke arah Koperal Hashim sambil jari telunjuknya menunjuk pada maklumat yang telah ditemuinya sebentar tadi. Koperal Hashim pun membaca laporan bertulis tersebut.

"Ini alamat rumah ibu dan ayah mangsa. Kenapa dengan alamat ni?" tanya Koperal Hashim yang masih bingung.

Ariana tersenyum.

"Hari tu kan awak ada cadangkan pada saya supaya kita buat soal siasat terhadap keluarga mangsa. Awak ingat lagi?" kata Ariana.

"Ya, saya ingat lagi," balas Koperal Hashim.

"Saya rasa sekarang adalah masa yang sesuai untuk kita soal siasat keluarga mangsa memandangkan hari ni dah genap seminggu mangsa dibunuh. Saya rasa segala urusan yang melibatkan pengebumian jenazah dan kenduri tahlil dah selesai dibuat," Ariana menerangkan andaiannya.

Koperal Hashim mula faham akan kata-kata Ariana yang sebentar tadi tidak dapat dia fahami kerana tidak terfikir olehnya akan idea yang sedang bermain dalam kepala Ariana.

"Jadi, puan nak pergi ke rumah keluarga mangsa untuk bertanyakan maklumat yang mungkin boleh membantu kita dalam menjalankan siasatan memandangkan keadaan ibu dan ayah mangsa yang telah sedikit tenang pada ketika ini. Macam tu?" kata Koperal Hashim menjelaskan perkara yang berada dalam kepalanya.

"Tepat sekali," jawab Ariana sambil tersenyum.

Koperal Hashim mengangguk faham.

"Bila kita nak pergi ke rumah ibu dan ayah mangsa, Puan?" tanya Koperal Hashim.

"Hmm... kalau ikutkan hati saya ni, sekarang jugak saya nak pergi ke rumah ahli keluarga mangsa untuk jalankan soal siasat kita. Tapi, rasanya lebih elok kalau kita hubungi keluarga mangsa terlebih dahulu sebelum pergi ke sana," kata Ariana sambil memandang ke arah Koperal Hashim.

"Betul jugak tu," balas Koperal Hashim sambil menganggukkan kepala tanda bersetuju dengan kata-kata Ariana.

Ariana kembali bersandar pada kerusinya sambil menyambung semula bacaannya pada laporan tersebut. Dia membelek beberapa kali setiap helaian daripada awal laporan hingga ke penghujungnya. Memang menjadi kebiasaan bagi dirinya untuk berbuat demikian ketika menjalankan siasatan terhadap sesuatu kes. Tujuan beliau adalah untuk memastikan agar beliau tidak terlepas pandang pada mana-mana maklumat yang kelihatan kecil pada zahirnya, tetapi besar maknanya.

Koperal Hashim pula hanya mendiamkan dirinya di dalam bilik tersebut sambil matanya silih berganti antara membaca laporan yang berada di atas meja dan melihat wajah Ariana yang sedang khusyuk dengan siasatan untuk kes pembunuhan Marshila. Dia sungguh kagum dengan pemikiran tajam yang dimiliki oleh Ariana yang mampu memikirkan sesuatu yang tidak terfikir olehnya mahupun anggota polis yang lain.

Koperal Hashim juga bercita-cita untuk menjadi seperti Ariana yang bijak dalam dunia siasatan polis namun disebabkan faktor usia yang menghampiri persaraan,dia lebih rela memerah segala kudrat dan pengalamannya yang ada padanya ke dalam unit ini. Bagi mencapai cita-citanya itu, Koperal Hashim secara sukarela telah menawarkan dirinya untuk menjadi pembantu Ariana dalam menjalankan siasatan terhadap sebarang kes pembunuhan. Ini kerana, dia ingin menimba pengalaman dan mempelajari cara-cara Ariana berfikir untuk mencari bukti atau klu dalam menyelesaikan sesuatu kes.

Memandangkan Ariana cuma dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan kes pembunuhan, ini menyemarakkan lagi semangat Koperal Hashim untuk terus menghabiskan sisa kariernya dalam dunia siasatan polis yang telah menjadi minatnya sejak kecil. 

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience