Rate

KES 3

Detective Series 2607

SELEPAS ahli keluarga Marshila dihubungi oleh Koperal Hashim bagi menetapkan satu tarikh untuk menjalankan soal siasat, Ariana telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut secepat yang mungkin agar proses siasatan dapat terus berjalan.

Pada pagi itu, Ariana dan Koperal Hashim telah bersarapan bersama-sama di sebuah restoran mamak sebelum mereka bertolak pergi ke rumah ahli keluarga Marshila. Pada masa yang sama juga, Koperal Hashim menunjukkan kepada Ariana mengenai soalan-soalan yang akan ditanya nanti.

Ariana membaca setiap satu soalan yang tertulis di situ untuk memastikan ke semua maklumat yang ingin diperoleh daripada keluarga Marshila dapat membantu siasatan mereka berdua ke atas kes tersebut.

"Koperal, jam pukul berapa sekarang?" tanya Ariana sambil tangannya bermain dengan pencungkil gigi.

"Hmm... sekarang dah pukul 8.30 pagi. Kenapa, puan?" jawab Koperal Hashim selepas melihat jam tangannya.

"Kalau macam tu, jomlah kita pergi ke rumah ahli keluarga Marshila," ajak Ariana.

Koperal Hashim hanya mengangguk.

Ariana mengeluarkan beg duitnya daripada poket belakang untuk mengeluarkan wang pembayaran bagi makanan yang telah dipesan. Ariana menghulurkan sekeping wang kertas bernilai RM20 kepada Koperal Hashim yang sedang berdiri untuk pergi ke kaunter pembayaran.

"Hari ni saya belanja awak makan," kata Ariana.

"Eh, tak apalah, puan. Saya boleh bayar sendiri," balas Koperal Hashim untuk menolak pemberian Ariana secara berhemah.

"Awak jangan risaulah. Bukan selalu saya belanja awak," kata Ariana sambil tangannya masih lagi menghulurkan duit.

Koperal Hashim yang masih berasa serba salah terus mengambil duit tersebut sambil tersenyum. Kemudian, dia melangkah pergi ke kaunter untuk membuat pembayaran. Ariana hanya memerhati dari jauh akan tindak-tanduk Koperal Hashim.

Setelah semuanya selesai, mereka berdua melangkah pergi ke kereta dan terus menuju ke rumah ahli keluarga Marshila berpandukan alamat yang mereka peroleh daripada maklumat peribadi mangsa. Berdasarkan alamat tersebut, rumah ahli keluarga mangsa terletak di luar Kuala Lumpur.

Selepas lebih kurang satu jam perjalanan, Koperal Hashim menghentikan kereta yang dipandu di hadapan sebuah rumah. Mereka berdua keluar dari kereta dan berdiri di hadapan pagar luar sambil terjenguk-jenguk ke dalam kawasan dan laman rumah tersebut yang kelihatannya sunyi.

"Koperal, betul ke ini rumahnya?" tanya Ariana.

Koperal Hashim pun mengeluarkan sekeping kertas yang tertulis alamat rumah untuk memeriksa semula dan memastikan mereka tidak salah tempat.

Nombor rumah yang tertulis pada kertas dibandingkan dengan nombor rumah yang terpampang pada peti surat merah yang tergantung pada pagar rumah tersebut. Ternyata, kedua-duanya sama.

"Betullah ni, puan. Memang inilah rumahnya," jawab Koperal Hashim.

Ariana menganggukkan kepala tanpa bersuara apabila mendengar jawapan daripada Koperal Hashim.

"Assalamualaikum," ucap Ariana.

Memandangkan Ariana merupakan seorang anggota polis, suaranya yang lantang digunakan untuk memberi salam agar puan rumah dapat mendengarnya. Koperal Hashim pula hanya mendiamkan diri di sebelah Ariana.

"Assalamualaikum," ucap Ariana lagi apabila salamnya yang pertama tidak berjawab.

"Waalaikumussalam," jawab seseorang dari dalam rumah.

Kelihatan dari jauh akan kelibat seorang wanita yang umurnya dalam lingkungan 50 tahun muncul di muka pintu.

Wanita tersebut tidak berasa pelik sekiranya dua orang anggota polis datang ke rumahnya pada ketika itu. Ini kerana dia telah dimaklumkan melalui panggilan telefon mengenai kehadiran kedua-dua orang anggota polis tersebut.

"Maaf kerana mengganggu, puan," kata Ariana sambil tersenyum.

"Hmm... ada apa ya Puan & Encik berdua datang ke rumah saya?" Wanita tersebut berpura bertanya bagi memastikan sangkaannya sebentar tadi.

"Puan, kami berdua adalah anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Bukit Damai. Nama saya Inspektor Ariana Nazira, dan di sebelah saya ni adalah pembantu saya,Koperal Hashim. Sebenarnya, kami yang bertanggungjawab dalam  siasatan bagi kes pembunuhan  Marshila," kata Ariana memperkenalkan dirinya.

Pada masa yang sama, Ariana mengeluarkan lencana polis bersama-sama dengan kad kuasa dan ditunjukkan kepada wanita tersebut bagi membuktikan bahawa mereka berdua merupakan anggota polis yang bertauliah.

"Kalau macam tu, puan berdua jemputlah masuk," pelawa wanita tersebut sambil membuka pagar rumahnya.

Ariana dan Koperal Hashim hanya membalas dengan senyuman. Koperal Hashim terus mengunci pintu kereta polis yang dipandunya sebentar tadi dan terus masuk ke dalam rumah tersebut.

"Jemputlah duduk, puan," pelawa wanita tersebut.

"Terima kasih," ucap Ariana sambil melabuhkan punggung montoknya di atas sofa yang berada di situ.

Koperal Hashim pula duduk di sebelah Ariana sambil membuka fail yang telah dibawa bersama. Dia mengeluarkan sehelai kertas yang tertulis soalan-soalan yang ingin ditanya dan dihulurkan kepada Ariana. Sebuah buku kecil juga dikeluarkan bagi menulis segala maklumat yang akan diperoleh daripada soal siasat tersebut.

Tidak jauh dari situ, muncul seorang lelaki dari sebuah bilik yang berada berdekatan situ. Daripada fizikalnya, dapat dianggarkan bahawa umurnya sudah menjangkau lewat 50 tahun. Lelaki itu menyambut kedatangan Ariana dan Koperal Hashim sambil tersenyum. Dia melangkah mendekati ruang tamu tersebut dan terus duduk di situ.

Selepas semuanya bersedia, Ariana pun memulakan soal siasatnya terhadap ahli keluarga mangsa. Soalan yang ditanya adalah berpandukan senarai soalan yang telah dibuat, dan kadangkala beberapa soalan tambahan diajukan sekiranya kenyataan yang diberikan kurang jelas atau tergantung maklumatnya.

Pada masa yang sama, Koperal Hashim menulis setiap patah perkataan yang keluar daripada mulut kedua-dua lelaki dan wanita tersebut yang merupakan ibu dan ayah si mangsa, Marshila. Hanya maklumat penting sahaja akan ditulis yang dirasakan dapat membantu proses penyiasatan mereka berdua.

"Semasa hayat Marshila, pernah tak arwah mempunyai musuh dalam hidupnya? Ataupun, pernah tak arwah menceritakan pada mak cik atau pak cik mengenai sesiapa sahaja yang mungkin bermusuhan dengan dia?" tanya Ariana.

"Hmm... kalau tak silap mak cik, Marshila tak pernah pun cerita pada kami berdua mengenai sesiapa yang pernah berdendam atau bergaduh dengan dia. Kalau dia bercerita pada kami, selalunya lebih kepada drama atau filem terbarunya. Ada juga dia bercerita mengenai kawan-kawan artis yang dia kenal sepanjang kariernya sebagai seorang pelakon. Tapi, tak pernah pulak dia beritahu kami mengenai musuh atau sesiapa yang mungkin berdendam dengan dia," jawab ibu Marshila.

Ariana mengangguk faham.

"Pak cik pulak, ada Marshila ceritakan pada pak cik mengenai orang-orang yang mungkin bermusuh atau berdendam dengan dia?" Ariana mengubah fokus soalannya pada ayah Marshila.

"Apa yang Marshila ceritakan pada mak cik, yang itu jugak dia ceritakan pada pak cik. Jadi, apa yang mak cik dah katakan tadi, setakat itu jugalah apa yang pak cik tahu," jawab ayah Marshila bersahaja.

Ariana dan Koperal Hashim mengangguk faham tetapi bingung dengan kenyataan yang dibuat oleh ibu dan ayah Alissa. Kenyataan yang mengatakan bahawa Marshila tidak mempunyai musuh atau orang yang berdendam dengannya menyulitkan lagi proses siasatan mereka berdua.

Ariana telah menemui jalan buntu apabila tiada sebarang tanda yang menunjukkan kepada klu seterusnya dalam menyelesaikan kes tersebut. Motif pembunuhan yang telah dikenal pasti adalah mangsa dibunuh bermotifkan dendam, tetapi sepanjang siasatannya tiada sesiapa pun yang pernah mengatakan bahawa Marshila sebenarnya mempunyai musuh dalam hidupnya.

Sebaliknya, ramai yang mengatakan Marshila merupakan seorang yang baik hati dan juga peramah. Keadaan sekeliling Marshila betul-betul berlawanan dengan motif pembunuhan yang berlaku ke atas dirinya. Walau bagaimanapun, siasatan perlu dijalankan dan kes tersebut mesti diselesaikan.

Sedang kepala Ariana ligat berfikir mengenai kes pembunuhan tersebut, tiba-tiba dia teringat pada nombor '118' yang terukir pada tangan mangsa ketika mayat mangsa ditemui mati di rumahnya sendiri.

"Pak cik, mak cik, saya ada soalan terakhir yang perlu saya tanyakan kepada pak cik dan mak cik. Saya harap pak cik dan mak cik boleh membantu saya dalam menjalankan siasatan saya ni," kata Ariana sambil membuka fail laporan yang telah dibawa oleh Koperal Hashim.

"Puan nak tanya apa?" tanya ayah Marshila.

Ariana sibuk mencari gambar tangan Marshila yang terukir nombor 'Mr.T' di dalam fail tersebut. Diselaknya satu per satu helaian yang ada untuk mencari dan menunjukkan gambar itu kepada ibu dan ayah Marshila. Setelah berjumpa, Ariana menghulurkan fail berkenaan kepada ibu dan ayah Marshila.

"Pak cik, mak cik, boleh tak terangkan pada kami kaitan perkataan 'Mr.T'' dengan si arwah? Pihak kami telah menganalisis nombor tersebut, tapi tiada satu pun maklumat yang berkaitan dengan arwah. Mungkin pak cik atau mak cik ada maklumat yang kami terlepas pandang. Boleh pak cik atau mak cik jelaskan?" pinta Ariana.

Ibu dan ayah Marshila melihat gambar tersebut dengan teliti. Kemudian, mereka berpandangan sesama sendiri dan terus memandang Ariana dan Koperal Hashim silih berganti antara keduanya.

"Maaflah, puan. Kami pun tak tahu maksud di sebalik nombor ni," kata ibu Marshila sambil menghulur semula fail tersebut kepada Ariana.

"Takkanlah pak cik dan mak cik tak tahu apa-apa mengenai perkataan ni?" tanya Ariana lagi yang ingin memastikan kenyataan ibu dan ayah Marshila.

"Sewaktu kami nak tuntut jenazah arwah di hospital, pak cik dan mak cik ada dimaklumkan mengenai kesan itu pada tangan arwah. Lepas aje kami berdua berfikir lebih kurang tiga hingga empat hari, kami memang tak tahu apa maksud nombor tersebut, dan apa kaitannya nombor tersebut dengan anak kami," jelas ibu Alissa.

"Betul tu, puan," ayah Marshila menyokong kenyataan isterinya.

Ariana dan Koperal Hashim berpandangan sesama sendiri apabila sekali lagi mereka menemui jalan buntu untuk mencari maksud di sebalik perkataan 'Mr.T''. Keadaan ini membantutkan lagi proses siasatan mereka terhadap kes pembunuhan tersebut.

"Hmm... kalau macam tu tak apalah. Cuma itu aje yang kami berdua nak tanya pada pak cik dan mak cik mengenai kes pembunuhan ni. Saya nak ucapkan terima kasih kerana memberi kerjasama kepada kami, dan maaf sekiranya kami berdua mengganggu," ucap Ariana.

"Tak apalah, puan. Sepatutnya kami yang ucapkan terima kasih pada puan kerana bersusah payah datang ke rumah kami untuk menjalankan siasatan mengenai kes pembunuhan yang berlaku ke atas anak kami. Saya harap sangat pembunuh tersebut dapat ditangkap dengan segera dan diberi hukuman yang setimpal," balas ayah Marshila.

Ariana bingkas bangun daripada sofa untuk meminta diri kerana sesi soal siasatnya bersama ibu dan ayah Marshila pada hari tersebut telah pun selesai.

Pada masa yang sama, Koperal Hashim sibuk mengemas fail dan kertas laporan yang sedikit berselerak di atas meja.

Kemudian mereka berempat terus melangkah menuju ke luar rumah dan berdiri di pintu pagar rumah tersebut. Selepas Ariana dan Koperal Hashim bersalaman dengan ayah Marshila, mereka berdua terus masuk ke dalam kereta dan berlalu dari situ untuk pulang ke Kuala Lumpur.

"Macam mana dengan soal siasat kita hari ni, puan?" tanya Koperal Hashim yang sedang memandu kereta.

"Entahlah, koperal. Saya betul-betul bingung sekarang ni," jawab Ariana dengan kepalanya ligat berfikir mengenai kes pembunuhan kejam Marshila.

"Bingung? Bingung kenapa, puan?" tanya Koperal Hashim lagi.

"Yalah, cuba awak fikir. Kita dah soal siasat pembantu mangsa, Cik Anita, kita dah soal siasat syarikat produser yang pernah mengambil mangsa sebagai pelakon, kita dah soal siasat rakan-rakan artis mangsa, dan kita jugak dah soal siasat ibu dan ayah mangsa. Semuanya kata yang mangsa tak pernah bermusuhan dengan sesiapa sedangkan pembunuhan tu jelas bermotifkan dendam. Maknanya, keadaan sekeliling mangsa memang bertentangan dengan motif pembunuhan tersebut. Itu yang saya bingung sekarang ni," kata Ariana menyatakan kebuntuan akal fikirannya pada ketika itu.

Koperal Hashim mengangguk tanda bersetuju dengan kata-kata Ariana. Dia juga berfikir mengenai perkara yang sama sebentar tadi. Selama dia menjadi pembantu Ariana, tidak pernah lagi dia berhadapan dengan situasi seperti itu yang mana siasatan yang sedang berjalan menemui jalan buntu dan seolah-olah tiada jalan penyelesaiannya.

"Aku musafir hina"
"Kini terluka di taman cinta"
"Engkau yang aku sayang"
"Bunga larangan"
"Sudah suratan takdir Tuhan"
"Mekarmu sayang di jambangan orang"

Telefon bimbit Ariana berbunyi menandakan ada panggilan yang sedang menunggu untuk dijawab.

'Siapa pulak yang telefon aku ni? Nombor tak kenal pulak tu,' desis Ariana di dalam hati apabila melihat skrin telefon bimbitnya.

Butang berwarna hijau ditekan dan talian pun disambungkan.

"Helo..." kata Ariana.

"Helo... assalamualaikum," balas si pemanggil.

"Waalaikumussalam, siapa ni?" Ariana bertanya.

"Maaf, puan. Saya dari unit siasatan jenayah di Bukit Damai. Sebenarnya, saya ada terima sepucuk surat yang dialamatkan kepada puan," jelas pemanggil tersebut.

"Surat? Surat apa?" soal Ariana keliru.

"Saya pun tak tahulah, puan. Tapi, surat ni tak ada nama pengirim dan kami pun tak tahu siapa yang menghantar surat ni." jawab suara itu.

Ariana berasa bingung dan dahinya berkerut sedikit kerana dia tidak pernah lagi menerima sebarang surat tanpa nama pengirim sepanjang kariernya sebagai seorang anggota polis. Lebih-lebih lagi ia dihantar ke pejabatnya, dan bukan di rumah. Ini yang membingungkan beliau.

Pada kebiasaannya, surat yang diterima pasti ada cop rasmi tidak kira dari organisasi kerajaan ataupun swasta. Pada kali ini, keadaannya berbeza sedikit.

"Hmm... tak apalah. Kamu letak aje surat tu di atas meja saya. Nanti saya akan baca," pinta Ariana.

"Baiklah, puan," jawab si pemanggil tersebut.

"Ada apa-apa lagi?" soal Ariana lagi.

"Tak ada, puan. Itu aje yang saya nak sampaikan pada puan."

Talian telefon diputuskan.

Kemudian, Ariana menyimpan semula telefon bimbit tersebut di dalam poket seluarnya.

"Siapa yang telefon, puan?" Koperal Hashim bertanya.

"Orang pejabat yang telefon saya tadi. Dia kata ada surat untuk saya," jawab Ariana sambil matanya memandang ke arah hadapan.

Koperal Hashim menganggukkan kepala sambil meneruskan pemanduannya.

Ariana hanya mendiamkan diri di sebelah Koperal Hashim sambil kepalanya ligat memikirkan perkara yang perlu dilakukan bagi meneruskan siasatannya ke atas kes pembunuhan Marshila yang pada gayanya sudah menemui jalan buntu.

Kes yang diterimanya pada kali ini memang betul-betul berbeza kerana si pembunuh melakukan jenayah tersebut dengan teliti dan tidak meninggalkan sebarang kesan di tempat kejadian atau di kawasan sekitarnya.

Kes berkenaan bertambah rumit dengan keadaan sekeliling mangsa yang bertentangan dengan motif pembunuhan. Keadaan ini menyebabkan tiada sesiapa pun yang dapat dijadikan sebagai suspek utama dalam kes tersebut.

Walaupun begitu, Ariana tetap percaya dengan petunjuk baru yang selalu ditemui olehnya ketika beliau menemui jalan buntu dalam menjalankan siasatan terhadap sesebuah kes pembunuhan sebelum ini.

Selepas lebih kurang satu jam perjalanan, Ariana dan Koperal Hashim telah sampai di Ibu Pejabat Polis Bukit Damai. Kereta diparkir di tempat yang disediakan dan mereka berdua terus masuk ke dalam pejabat tersebut.

Koperal Hashim terus menuju ke mejanya, sementara Ariana pula masuk ke dalam biliknya untuk melihat isi surat yang telah dihantar kepadanya sebentar tadi. Ariana mengambil sampul surat tersebut dan dia dapat merasakan hanya beberapa helai kertas sahaja yang terkandung di dalam.

Apabila isi surat tersebut dikeluarkan, Ariana sedikit terkejut kerana dia menyedari bahawa surat itu dihantar oleh pembunuh Marshila.

Ketiadaan stem pada surat berkenaan menunjukkan ketelitian si pembunuh untuk mengelakkan dirinya daripada dikesan oleh pihak polis. Ini kerana si pembunuh menyedari bahawa pihak polis pasti akan dapat menjejaki kedudukannya melalui pejabat pos sekiranya surat itu bertampal dengan stem.

Terdapat sehelai kertas yang dihantar melalui sampul surat tersebut.. Perlahan dikeluarkan dari sampul dan Ariana mengerut mata mambaca kata-kata si pembunuh yang ditujukan kepada Ariana.

Assalamualaikum, Puan Inspektor Yang Cantik & Menawan Bagaikan Bidadari.

Saya tahu, surat yang saya hantar kepada puan ni mungkin akan membuatkan puan terperanjat.

Puan mesti terfikir mengapa seorang penjenayah seperti saya berani menghantar surat kepada seorang anggota polis yang berkaliber seperti puan.Untuk makluman Puan,tatu pada tangan Marshila itu hanyalah kod nama saya..

Puan,dont rush to find me..I will come to you..MY Precious..MUAHHH

Ariana menghentakkan surat tersebut pada mejanya kerana berasa marah dan tercabar dengan kata-kata si pembunuh. Dia juga berasa seolah-olah si pembunuh itu sengaja mahu mencabar kewibawaan dan keberanian anggota polis dalam menjalankan tugas.

Pada masa yang sama, Ariana tidak menyangka dan berasa sangat marah apabila si pembunuh tergamak menggunakan nyawa manusia sebagai bahan dalam permainannya. Walaupun begitu, Ariana berasa bingung apabila diberitahu bahawa dia hanya akan dapat menangkap si pembunuh atas kerelaan si pembunuh itu sendiri.

Ariana memegang kertas-kertas tersebut dengan kedua-dua belah tangannya. Sebelah kanan memegang kertas tertulis perkataan'Mr.T', dan sebelah kiri memegang kertas yang tertulis kata-kata si pembunuh. Ariana merenung keduanya silih berganti.

'Kau jangan ingat yang aku akan biarkan kau buat apa yang kau suka. Kau nak bermain api dengan aku, kita tengok siapa yang akan terbakar dulu,' desis Ariana dalam hatinya.

Koperal Hashim terkejut dengan reaksi Ariana namun dapat mengagak isi kandungan surat itu.

"Koperal, jangan hebahkan pasal surat ini.Rahsiakan ..Ini surat cabaran penjenayah kepada saya,nampaknya dia semakin berani mencabar.. saya sahut cabarannya..Saya sendiri akan menangkap si bedebah ini.." dengus Ariana kegeraman kerana egonya telah tercabar.Tiada lagi sepanjang keriernya seorang penjenayah begitu berani menyatakan keberanian bersemuka dengannya.

"Baik Puan,saya faham.." angguk Koperal Hashim mengerti ego ketuanya telah tercabar kerana pembunuh itu terang-terangan mengemukan cabaran kepada Ariana.Koperal Hashim hanya memerhatikan sahaja Ariana yang masih beremosi ketika itu.

"Saya sentiasa ada jika Puan perlukan khidmat saya.Jika tiada apa-apa,saya minta diri dulu Puan.." sambung Koperal Hashim lagi.

Ariana merenung seketika Koperal Hashim

"Baiklah..Thanks Koperal.." ringkas balas Ariana.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience