Rate

Bab 1

Romance Series 1641

HAN ketawa kecil bila melihat gelagat teman-temannya yang teruja bercerita tentang istimewanya hari ini, iaitu 29 februari. Seperti yang mereka tahu hari ini pintu dimensi antara dua dunia iaitu Aislinn dan bumi akan dibuka. Dan akan ada manusia dari bumi datang ke Aislinn dan manusia dari Aislinn pula pergi ke bumi.

“Kau tak teringin nak pergi ke bumi?”tanya Rizal kepada Han yang lebih selesa membelek telefon bimbitnya.

“Buat masa ni belum teringin lagi,”jawab Han lantas meletakkan telefon bimbit di atas meja kafeteria. Air hot latte yang masih berasap itu dikacau dengan sudu kecil.

“Aku ni kalau tak terikat dekat kontrak nak juga aku ke sana. Dengarnya sana lebih happening berbanding dekat sini,”celah Aafi.

Sama seperti Han, Aafi juga tengah terikat dengan kontrak sebagai pelatih di Melody Entertainment. Jika tidak ada aral melintang, mereka akan debut dalam masa terdekat.

“Tapi kalau dah ke sana, kau akan lupa dengan dunia kau dekat sini.”Joe mengingatkan.

Yang lain mula menganggukkan kepala. Sesiapa saja yang masuk ke bumi akan lupa yang mereka berasal daripada Aislinn. Begitu juga manusia daripada bumi, mereka akan lupa segala-galanya tentang dunia mereka bila sudah masuk ke Aislinn.

“Kecuali kau daripada keturunan keluarga yang bertanggungjawab dengan pintu dimensi tu barulah kau tak akan lupa siapa diri kau,”sambung Joe lagi.

Pintu dimensi dijaga oleh dua buah keluarga. Satu keluarga daripada Aislinn dan satu keluarga daripada bumi. Pintu dimensi itu terletak di bilik bawah tanah di rumah keluarga tersebut. Kiranya jika dibuka pintu dimensi di sini, akan terus menuju ke bilik bawah tanah penjaga pintu dimensi di bumi sana.

“Biasalah tu, nak dapatkan sesuatu kadang-kadang kita kena korbankan sesuatu,”balas Aafi dengan mudah.

“Tapi boss kita tak ada pulak nak balik ke bumi sejak dia datang sini..”ujar Rizal dengan perlahan. Sempat dia menoleh ke belakang, takut meja berdekatan mereka ada diduduki orang lain dan sekaligus memasang telinga.

“Kenapa dia nak balik ke sana kalau kat sini dia dah punya segalanya?”Joe mempersoalkan.

“Betul, tapi..”kata-kata Rizal mati bila matanya terpandang seorang gadis cantik berjalan masuk ke dalam kafeteria. Di belakang gadis itu ada Laura iaitu setiausaha boss mereka mengekori. Di belakang Laura pula ada dua orang lelaki yang sekali pandang sudah tahu mereka itu bodyguard.

“Wow..”Han terpersona.

“Beautiful,”Aafi memuji.

Rizal dan Joe hilang kata-kata. Rasanya bukan mereka saja, setiap pasang mata yang ada di dalam kafeteria itu tak kira lelaki mahupun perempuan semua seakan-akan terpaku dengan kecantikkan gadis itu. Kafeteria yang agak riuh tadi kini menjadi sunyi sepi.

“Berapa lama dah Melody Entertainment ni beroperasi?”tanya gadis itu kepada Luara.

Mata gadis itu melilau memandang persekitaran kafeteria yang mampu memuatkan pengunjung seramai 100 orang itu.

“Enam tahun, Cik Mecca..”

Mecca namanya, bisik Han di dalam hati. Daripada gaya penampilan Mecca, Han mula dapat mengagak yang gadis itu bukan berasal dari Aislinn tapi dari bumi. Jarang gadis di Aislinn memakai t-shirt di luar rumah. Bukan jarang cuma tak pernah dilihat selama ini. Tapi Mecca kelihatan santai sekali dengan baju t-shirt kosong berwarna putih dan ripped jeans berwarna biru cair. Sneaker berwarna putih dikakinya menambahkan lagi gaya casualnya.

“Pukul berapa Mikael habis meeting?”

Tak semena-mena pengunjung yang memasang telinga di situ berpandangan sesama sendiri bila Mecca dengan selambanya menyebut nama boss mereka begitu saja.

“Dalam sejam lagi,”jawab Laura setelah melihat jam di pergelangan tangan.

“Rasanya dia ni keluarga boss kut?”Aafi mula meneka.

“Mungkin,”serentak Joe dan Han menyahut.
Walaupun perbualan antara Mecca dan Laura taklah sekuat mana tapi bila dah semua ambil peluang memasang telinga dan mematikan suara pastinya perbualan dua gadis itu mudah sampai di telinga mereka.

“Kalau macam tu I tunggu dia dekat sini. You boleh balik office you..”putus Mecca lalu mencari meja yang kosong.

“Tapi Cik Mecca, boss minta saya teman Cik Mecca sampailah dia habis meeting,”laju Laura menyuarakan pesanan bossnya.

“Tak apa. Sekejap lagi Bella datang temankan I. Kalau boss you marah you, nanti I marah dia balik,”seloroh Mecca sambil menolak lembut tubuh Luara agar keluar meninggalkan kafeteria.

“Tapi cik..”

“Bawa bodyguard you sekali.”

“Eh, dorang ni bodyguard Cik Mecca. Bukan bodyguard saya..”

“I tak nak. Rimas! Dah. Dah. Pergi sana..”

Han, Aafi, Joe dan Rizal menahan tawa bila Mecca bersahaja saja menghalau Laura bersama dua orang bodyguard. Riak serba-salah jelas terpamer di wajah Laura. Di Melody Entertainment, Lauralah antara staff paling lama. Laura juga terkenal dengan sikap mesranya dengan para artis, staff mahupun pelatih.

Han menoleh semula ke arah Mecca. Gadis itu dilihat mengambil tempat selang semeja saja dengan mereka. Memandangkan kafeteria ini berada di tingkat 13, jadi meja yang diduduki oleh Mecca betul-betul sebelah dengan dinding kaca yang menampakkan seluruh bandar Aislinn.

PANDANGAN mata dibuang ke luar sana. Ada senyuman sinis terukir di bibir bila dia terpandang Menara Kuala Lumpur berdiri gah di tengah bandar itu. Kepala digeleng dua tiga kali. Pengsan, bangun, pengsan dan bangun balik sekalipun dia masih seakan-akan tak percaya yang dirinya kini berada di dunia lain yang bernama Aislinn. Walaupun dia tahu segalanya tentang Aislinn,tapi untuk masuk ke dunia ni tak pernah terfikir dek akal fikirannya.

“Hi babe!”sapa Bella sebelum melabuhkan punggung di depan Mecca.

“Kenapa ada Menara Kuala Lumpur dekat sini?”Mecca terus menyuarakan soalan yang ada dalam kepala.

“Kan aku dah cakap dekat kau, dunia kau dengan aku lebih kurang sama je. Cuma bezanya sini tak ada Shawn Mendes..”sengih Bella sambil mengikat rambut panjang mengurainya.

“Kau tu tak ingat lain.”

“Eh, aku ingat yang lain juga macam BTS, Siti Nurhaliza..”

Kali ini Mecca meletuskan tawanya. Sejak dulu lagi Bella lebih gemarkan penyanyi berasal dari bumi. Berasal dari bumi? Apa macam pelik sangat bunyinya, kompelen Mecca di dalam hati. Kalau dia cerita dengan teman-temannya di bumi tentang dunia bernama Aislinn ni, silap hari bulan dia akan dilabelkan sebagai perempuan gila!

“Kau dah jumpa Mika?”

Mecca menggeleng.

“Medina?”

“Jangan sebut nama perempuan tu buat masa ni.”

“Okay!”Bella terus buat-buat zipkan mulut sendiri.

Kedatangan Mecca ke Aislinn bukanlah sekadar suka-suka. Tapi temannya itu ada tujuan tersendiri. Lagipun bukan Bella tidak tahu yang Mecca sebenarnya tidak berminat mahu datang ke sini.

“Takkan kita nak duduk free macam ni je? Tak nak order makan?”Bella bangkit daripada kerusi.

Mecca terus mengekori langkah Bella. Di sudut kafeteria sana sudah terhidang pelbagai jenis makanan tengah hari. Bella dan Mecca ikut sama berbaris. Kalau tadi Mecca sudah jadi perhatian, tapi bila adanya Bella di sebelah makin berganda-gandalah perhatian diterima. Ini kerana Bella merupakan anak ahli perniagaan terkenal iaitu Tuan Bahrin. Papa Bella itu antara lima orang terkaya di Aislinn.

“Err..Cik Bella dengan kawan Cik Bella ambillah dulu makanan,”pelawa seorang gadis belasan tahun yang ada di barisan hadapan. Yang ada dalam barisan itu menganggukkan kepala.

“It’s o..”

“Thanks!”Mecca memotong kata-kata Bella.

Laju saja Mecca mencapai pinggan. Orang dah bagi ‘jalan’ kenapa nak tolak bagai? Rezeki tu.

“Kau ni..”

“What?”Mecca jeling Bella.

“Adab mana? Adab?”

“Nasi mana? Nasi?”soal Mecca kembali bila melihat yang terhidang bukanlah seperti juadah makan tengah hari yang biasa dia temui di dunianya.

“Makanan ruji dekat sini, pizza. Kau lupa?”

Dia tak lupa tapi sengaja bertanya. Mana tahu ada keajaiban berlaku dengan tiba-tiba yang boleh membuatkan nasi ada di depan mata.

“Kata orang Melayu tapi makan pizza..”gumam Mecca dengar tak dengar saja di telinga Bella.

Inilah punca utama Mecca tak pernah terfikir mahu ke Aislinn. Makanan mereka lebih kebaratan kata orang Malaysia di dunianya di sana. Padahal manusia di Aislinn ni semuanya Melayu!

“Makan jelah, syukur!”tembak Bella.

Mahu tak mahu Mecca ambil salad dan sekeping pizza. Dalam hati dah mula merangka perancangan untuk meminta Mikael sediakan nasi pakej lauk kampung dengannya.

“Eh, mimpi apa Cik Bella kita mencemar duli datang ke sini?”

Tiba-tiba ada suara sinis menyindir daripada belakang. Bella merengus kasar. Tak perlu berpaling dia sudah dapat meneka tuan empunya suara. Mecca yang baru saja menuang air oren segar itu segera menghantar pandangan padu pada dua orang gadis yang bukan main bergaya lagi. Kalah artis red carpet!

“Apa pandang-pandang?”salah seorang daripada gadis itu menegur pandangan Mecca yang masih tak lepas itu.

“Siapa ni?”tanya Mecca kepada Bella.

“Dahlah, jangan layan!”Bella ajak Mecca berlalu daripada situ.

“You tak kenal siapa kita orang?”Ada nada sombong berselirat dengan soalan itu. Siap main kuku dan tolak rambut ke belakang lagi. Sikit je lagi Mecca nak hamburkan tawa menyampahnya.

“Tak,”jawab Mecca tanpa mahu mengikut ajakan Bella.

“Mestilah dia tak kenal sebab dia bukan orang sini.”

Sahut satu suara pula. Kali ini muncul dua orang lagi gadis yang sama juga bergayanya. Mungkin dorang ni artis dekat sini, duga Mecca. Tapi kalau perangai kurang ajar macam ni, tak jadi artis pun tak apa!

“Yalah kan, daripada pakaian pun tahu sangat dah orang dari bumi. Itu pun ada hati nak berlagak. Padahal bukan dia ingat siapa diri dia..”

“Uh huh..”Mecca bergumam sambil menghantar senyuman penuh makna pada Bella.

“Sayang!”

Tegak terus tubuh Mecca bila ada tangan yang melingkar di atas bahu. Bila dia mengangkat muka, Mikael sudah tersenyum manis kepadanya.

“Sayang?”ulang Mecca siap berkerut seribu dahinya.

“Boss!”Serentak empat orang gadis tadi menyapa Mikael. Begitu juga beberapa pelatih mahupun staff yang ada di kafeteria itu.

Ketika itu juga riak di wajah empat orang gadis tadi mula bertukar daripada berlagak menjadi cuak. Bella yang tadinya telah mengambil tempat segera mendapatkan Mecca.

“Thanks Bella sebab temankan girlfriend I..”ucap Mikael lembut.

“Sorry?”Bella segera pandang Mecca. Mecca pula pandang wajah Mikael.

“Jom ikut I. I belanja you dengan Bella makan dekat tempat lain.”Mikael terus memaut bahu Mecca tanpa ada rasa mahu dilepaskan.

“Tempat tu ada nasi tak?”

“Tak habis lagi kisah nasi tu rupanya,”sahut Bella yang sempat menghantar jelingan maut pada empat orang gadis tadi.

“Ada. Jangan risau..”jawab Mikael dengan senyuman tak lekang di bibir.

Bahagia sungguh rasanya bila melihat Mecca ada di sini. Ada di Aislinn.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience