Rate

BAB 2

Drama Completed 444

Al Jamil berjalan pantas sambil kepalanya menunduk ke tanah. Melihat kakinya melangkah deras, bergilir kanan dan kiri. Menyepak debu melekat ke celah jari yang beralas selipar lusuh. Kotak fikirannya melayang. Jauh ke dalam destinasi masa sewaktu kecilnya. Masih terakam segar dalam mindanya bagaimana pada suatu pagi yang dingin itu, Umminya teresak-esak. Esakan Umminya mengejutkannya daripada tidur yang lena. Kelihatan Ummi mengesat-ngesat air mata dengan hujung lengan baju merahnya.

“Usahlah engkau pergi wahai Ali. Bahaya,” bujuk Ummi sambil memandang sayu kepada abangnya. Abangnya hanya mendiamkan diri seribu bahasa memerhatikan lantai rumah yang kosong tanpa lapik permaidani. Entah menerawang ke mana.
“Dengar tak Ali? Ummi cakap ni,” Ummi bersuara lagi. Berselang sendu.

“Ummi. Ummi lebih mengetahui akan tujuan Ali. Ummi kenal Ali kan,” Ali seboleh-boleh enggan menyakitkan hati ibunya. Dia mengerti perasaan ibunya tetapi dia merasakan dia bertanggungjawab untuk turut serta dalam gerakan menentang rejim zionis itu. Manusia-manusia keparat lagi durjana itulah yang telah meragut nyawa bapanya dua tahun yang lampau. Masih dia tidak dapat lupakan peristiwa berdarah yang meragut nyawa 13 orang awam termasuk bapanya yang berlaku di pasar sewaktu dia dan bapanya menjaja buah-buahan.

“Mengapa Ali? Tidak semua orang pergi kan. Lihat si Kamil anak mak cik Saadi. Dia duduk elok di rumah sahaja,” ujar Ummi lagi. Dia juga enggan melihat anaknya membahayakan diri untuk suatu penghujung yang pasti.

“Kamil itu pengecut, Ummi. Saya tidak. Saya tidak takut. Saya berani, Ummi. Saya anak Ibrahim yang tidak takut dengan musuh agama. Saya tidak takut. Ini Ali, anak Ummi takkan duduk berdiam diri sahaja. Berpeluk tubuh. Ummi patut bangga dengan saya. Saya sanggup pertaruhkan nyawa demi kebebasan, keselamatan kita. Demi agama, Ummi. Walau saya terkorban, insya-Allah syahid ganjaran saya, Ummi. Ummi, Ummi lebih mengetahui semua ini kan.”

Ali memandang ke luar tingkap. Dia tidak sanggup melihat air muka ibunya yang mulia itu bersedih, ibu yang telah membesarkannya selama 17 tahun ini.

Al Jamil hanya mampu melihat di sebalik muka pintu biliknya. Digosok-gosok matanya sambil menggigit jari telunjuk kanannya. Senyap. Dia tidak mampu untu menafsir kejadian yang dia lihat di hadapan matanya itu. Dia masih kecil. Baru seusia tiga tahun yang serba mentah.

Selepas peristiwa umminya teresak-esak pada pagi itu, Al Jamil melihat pula abangnya bersolat di dalam bilik sambil diintai sekali-sekala oleh Ummi. Ummi masih bergenang air mata dan matanya semakin merah dan membengkak. Ummi datang merapati Al Jamil lantas memautnya ke dada. Diusap-usap rambut Al Jamil. Al Jamil hanya mendiamkan diri, mengikut rentak Ummi. Tapi Al Jamil juga dapat rasakan getaran sendu dan syahdu dari ibunya menusuk ke jiwanya.

Seusai memberi salam terakhir dalam solatnya, Al Jamil melihat abangnya sujud semula untuk satu jangka masa yang lama. Sujud yang betul-betul lama. Suasana bening kosong tanpa pergerakan kecuali kumat-kamit kecil sesekali daripada bibirnya abangnya yang merah. Dapat dilihat setitis dua air mata yang suci itu menitik di atas sejadah pusaka keluarganya. Pandangan yang menikam ketenangan Ummi, lantas meluahkan esakan kembali yang tidak tertahan. Al Jamil yang pada ketika itu tidak mengetahui butir bicara bagai disuruh turut menangis bersama lalu merangkul erat pinggang Ummi.

Abang Al Jamil bingkas bangun dari sujudnya. Segera berlari anak menuju Ummi. Segera digapai kaki Ummi. Segera dicium dan dikucupnya kaki mulia itu.
“Ampunkan saya Ummi. Maafkan segala kesalahan Ali selama ini. Doakan kejayaan kita bersama, demi negara, maruah dan agama kita Ummi. Ali tidak pernah berniat nak melukakan hati Ummi. Tidak pernah terlintas pun walau sedetik Ummiku tercinta, akan niat untuk melukaimu. Ali berserah segalanya kepada Allah.”

Ummi makin sebak. Tertahan-tahan esakannya sambil mengelap air matanya yang tidak berpenghujung. Al Jamil hanya melihat abangnya di kaki Ummi sambil menangis bersama. Walau tidak mengerti, namun kesedihan Ummi dan Ali menyelebungi segenap ruang anggotanya.

“Seandainya pemergian Ali ini adalah yang kali terakhirnya, andai kepulangan Ali tidak kunjung tiba, maka Ummi halalkanlah segala pengorbanan Ummi sejak kecilnya Ali sehingga Ali besar sebegini. Ya Ummi? Ummi dengar tak? Ummi dengar kan,” Ali bersuara sambil mengesat-ngesat air matanya yang membasahi kaki ibunya.

Umminya hanya mampu mengangguk-angguk perlahan sambil mengumam, tiada suara yang mampu keluara daripada mulutnya. Dan sejak hari itu Al Jamil tidak pernah melihat abangya pulang ke rumah sehingga sekarang dia sudah berusia 10 tahun. Itulah kali terakhirnya mereka bersama dalam pagi yang penuh tangisan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience