Rate

BAB 1

Drama Completed 444

Al Jamil mendongak ke langit. Langit cerah kebiruan yang kekontangan awan. Cuma ada secebis dua gumpalan awan kecil yang berarak ke utara ditiup angin bulan Zulhijjah. Hawa lembut menerpa mukanya dan rambutnya menampar-nampar dahi yang kecil itu. Dia menoleh ke kiri dan mengharapkan kemunculan sesusuk tubuh yang dikenalinya kerana dia sudah duduk termanggu di bawah pokok itu selama sepuluh minit dan dia tidak mahu lewat ke sekolah. Dia tentu tidak mahu melihat wajah Cikgu Suliya yang manis itu menjadi masam kerana marah, namun dia masih menanti kedatangan Baktiar yang akan lalu di hadapan pokok tempat dia duduk sekarang lantas berjalan ke sekolah bersama-samanya pada pagi itu seperti biasa.

Sakit perut agaknya si Baktiar itu, getus hati kecilnya. Itulah, sudah kupesan jangan mencuba-cuba makan buah yang dijumpainya semalam sewaktu berjalan pulang dari sekolah beriringan. Degil sungguh si Baktiar itu. Nanti kita semua juga yang terlewat ke sekolah pada pagi ini, rungut suara kecil Al Jamil. Sekali lagi dia mendongak langit. Segugus awan berat perlahan-lahan merangkak bagai dipaksa oleh bayu kering yang dahagakan hujan sepetang. Mungkin akan hujan tengahari kelak, bisik Al Jamil keseorangan. Bagus juga, sudah lama bumi Palestin ini tidak dibasuhi daripada darah-darah penduduknya yang menjadi mangsa kerakusan rejim Zionis. Lantas Al Jamil mendengus sejurus, seraya bola matanya menangkap imej sesusuk jasad sedang berlari-lari anak ke arahnya. Dikelek bersamanya dua tiga buah buku sambil berlari lantas akhirnya jasad anak kecil itu tiba di hujung kaki Al Jamil.
“Engkau ke mana Baktiar ? Mengapa engkau lewat? Nanti Cikgu Suliya marah tahu,” Al Jamil menyambut Baktiar dengan rungutan yang terpendam.
Baktiar tercungap-cungap mencari nafas. Dia membongkok seperti orang rukuk lagaknya sambil memandang ke arah Al Jamil. Sedikit peluh kelihatan di garisan dahinya yang putih lagi luas itu. Sebutir tahi lalat menghiasi di sempadan dahi serta rambutnya memaniskan lagi wajah anak kecil seusia 10 tahun tersebut.

“Maaflah Al Jamil, maaflah. Janganlah marah. Aku ada sedikit hal di rumah tadi,” ujar Baktiar yang mula menemui rentak nafas. Lantas dia membetuli pegangan buku-bukunya itu dan berdiri tegak menghadap Al Jamil. Al Jamil pun ikut berdiri dan menepuk-nepuk punggungnya membuang habuk yang terlekat pada seluarnya itu.

“Hal apa, kerja apa Baktiar ? Kita ini sudah lewat tahu?” Al Jamil berkata lantas mula berjalan untuk ke sekolah. Baktiar tergesa-gesa mengekori di belakang Al Jamil. Dia mempercepatkan langkahnya untuk menyaingi sahabatnya itu.

“Hal abangku. Kau tahu sahajalah yang ibuku tidak menyukai abangku turut serta dalam gerakan menentang Israel itu. Pagi ini sepatutnya dia menyertai kumpulannya ke bandar. Entah ke mana, pejabat apa entah aku pun tak ingat,” jelas Baktiar kapada kawannya itu.
Sambil berjalan pantas, kelihatan Al Jamil mengangguk-angguk kecil. Mengerti. Abangnya juga yang berusia 17 tahun telah menyertai gerakan itu. Begitu juga dengan abang Ahmad, abang Ismail serta abang Soleh. Namun abangnya telah menemui ajal di hujung senjata yang dihunus oleh askar durjana Israel. Dan abang-abang yang lain tidak pulang langsung ke rumah. Tiada khabar berita menjenguk tiba.

“Lantas, adakah ibumu membenarkannya pergi?” soal Al Jamil.

“Tidak. Mana mungkin,” Baktiar membalas.

“Jadi?”

“Jadi apa?”

“Jadi dia tidak pergi?”

“Pergi juga.” Al Jamil hanya mampu mendengus. Mereka meneruskan langkah beriringan tanpa ada sebarang bicara lagi. Hanya derap langkah mereka di atas tanah kuning berdebu yang kedengaran.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience