BAB 2

Romantic Comedy Series 1686

AKU potong beberapa bahagian ayam mentah untuk beri Azman makan. Azman adalah seekor buaya jinak yang aku beli dari Indonesia. Tak payah nak gelak sangat nama buaya tu Azman. Aku sendiri yang bagi nama tu.

"Hero..."

Aku berpaling selepas memasukkan ayam ke dalam baldi. Ivy tersenyum sambil datang mendekat. Dia seorang gadis Cina yang sangat fasih berbahasa Melayu dan dah lama bekerja dengan aku. Kami sangat rapat sehingga menimbulkan gossip murahan.

Aku sendiri tak faham apa sebenarnya hubungan kami. Sama ada rakan setugas atau lebih dari itu. Tapi tiap kali Ivy muncul, aku jadi tak tentu arah. Lesung pipit yang timbul di kedua-dua pipinya, buatkan aku nak bagi Azman gigit tangan aku sendiri. Sanggup rasanya aku jadi cacat untuk Ivy. Ah, melampau tak ingat dunia.

"Awak dah siap potong ayam?" tanya Ivy dengan suara halus.

"Err... dah. Sekejap lagi nak bagi Azman makan." Aku tergagap. Tiba-tiba aku hilang pedoman apabila berhadapan dengan Ivy yang manis itu.

Ivy tergelak.

Aku hairan. "Kenapa?"

"Awak ni... tak ada nama lain ke untuk buaya tu?" Ivy sambung ketawa. Aku tak tahu apa yang lucu sangat dengan nama Azman. Nama biasa-biasa je, kut.

Aku tersengih dengan soalan Ivy. Memang ada banyak nama yang lebih sesuai untuk binatang. Tapi, adalah sebabnya kenapa aku bagi nama 'Azman'.

Ia mengingatkan aku pada seorang budak lelaki gemuk yang suka buli aku waktu sekolah rendah dulu. Jadi untuk aku lepaskan rasa marah yang masih tersimpan, aku bagilah nama 'Azman' kat buaya tu. Baru puas hati aku. He he...

Entah di mana Azman berada sekarang. Dengar-dengar cerita dari beberapa orang kawan lama, Azman dah jadi pondan. Dia ada spa kecantikan di ibu kota. Itulah... dulu suka sangat buli aku. Sekarang memondan pula. Harap-harap dia insaf dan kembali ke pangkal jalan.

"Nanti senang nak ingat." Aku bagi alasan bohong pada Ivy.

"Awak..."

Aduhai... Manjanya suara Ivy hari ni. Aku tunduk dan pura-pura sibuk dengan ayam dalam baldi. Padahal dalam hati dah tak tentu arah jadinya.

"Dah dekat pukul satu ni. Kita pergi lunch, nak? Saya belanja."

"Boleh. Tunggu saya bagi Azman makan dulu." Aku segera bergerak menuju ke tempat Azman. Ivy ajak makan, langkah kanan betul. Bukan sebab aku nak jimat belanja, tapi sebab Ivy yang ajak, aku jadi teruja. Entah kenapalah makin hari aku makin senang dengan Ivy. Aku sukakan dia ke?

Tiba di gerai makan, kami pesan menu yang sama. Nasi ayam dilanggar motosikal adalah makanan kegemaran kami. Tak sempat aku nak makan, Ezra balas WhatsApp aku pagi tadi.

'Hero lembik... you ni dah gila ke? Tiba-tiba cakap I menyusahkan orang. Dahlah lembik, entah-entah teruna pun tak ada. Huh!'

Aku tercengang-cengang. Dia tuduh aku tak ada teruna?? Eh, tak sayang jari betul. Putus selera aku nak makan nasi ayam gara-gara WhatsApp daripada Ezra. Berani sungguh dia sentuh pasal teruna bagai. Aduh, aku rasa gelap dunia sekejap.

"Awak baca WhatsApp ke?" tanya Ivy sambil terhendap-hendap tengok aku pegang telefon.

"Ya." Takkan aku baca surat khabar pula. Apalah Ivy ni...

"Siapa WhatsApp?"

"Sepupu."

"Perempuan?" tanya Ivy lagi.

Aku belum cakap sama ada lelaki atau perempuan, muka Ivy dah berubah. Dia nampak cemburu.

Aku angguk aje. Mestilah perempuan. Takkanlah pondan macam si Azman. Ternyata Ivy tayang muka tak senang. Nasi ayam dalam pinggannya langsung tak terusik.

Aku simpan telefon dalam kocek seluar dan sengaja berwajah ceria depan Ivy. Dalam hati dah sumpah seranah kat Ezra. Sesuka hati dia gelarkan aku 'hero lembik' dan tuduh aku tak ada teruna. Sepanjang hidup, belum pernah aku jumpa budak perempuan yang terlalu berani macam Ezra. Memang patutlah mak uda selalu susah hati dan risau pasal dia.

"Jom makan."

"Awak makanlah. Saya dah tak ada selera." Ivy letak garpu dan sudu ke pinggan. Dia peluk tubuh dan terus pandang ke lain.

Tadi bukan main asyik pandang aku aje. Soal hati dan perasaan antara kami, masing-masing belum meluahkan lagi. Tapi, Ivy awal-awal dah tunjuk protes sebagai teman wanita.

"Tadi awak yang ajak saya makan. Sekarang tiba-tiba tak ada selera pulak. Janganlah macam tu. Saya tengah berselera ni. Jomlah makan sama-sama." Aku cuba pujuk Ivy walaupun pujukan aku macam tiang letrik. Tegak bunyinya. Maklumlah, hidup aku ni simple aje. Manalah aku reti nak berbahasa bunga-bunga untuk pujuk buah hati.

"Awak makanlah sorang-sorang. Saya nak temankan awak je," balas Ivy dengan muka merajuknya.

"Ivy... saya suap kang..." Aku acah-acah nak suap amoi yang tengah merajuk depan aku ni. Awal betul dia tunjuk sikap gedik nak suruh aku pujuk bagai. Rilekslah dulu. Aku pun belum luahkan perasaan lagi.

Tak lama kemudian, Ivy tersenyum. "Mengadalah..."

Aku lega sebab Ivy tak merajuk lama. Dia makan dengan berselera sekali. Nampaknya lepas ni aku kena cakaplah yang aku sukakan dia. Tak boleh biarkan lama-lama. Nanti Ivy melepas ke tangan orang lain, susah pulak aku. Ingat senang ke seorang awek Cina nak sukakan pemuda Melayu? Kalau pemuda Cina yang sukakan awek Melayu, banyaklah yang aku tahu.

Habis waktu kerja, aku terus balik rumah. Dalam rancangan, aku nak bawa Ivy bersiar-siar. Tapi rancanganku musnah apabila mak telefon suruh pulang cepat. Entah hal apa pula orang tua aku tu.

Sampai rumah, aku nampak kereta mak uda tersadai depan pintu pagar. Sebelum masuk, aku bagi salam.

"Hero dah balik," kata mak uda sambil tersenyum dengan wajah redup.

Aku tunduk bersalam dengan mak uda. Di sebelah mak uda, ada Ezra si mak cik bawang merangkap atlet gimnastik wakil negara isketambola. Hairan juga aku. Bukan sepatutnya dia datang minggu depan ke?

Aku duduk di kerusi depan mak uda. "Mak call tadi suruh balik cepat. Rupanya mak uda nak datang."

"Iye. Terpaksa hantar Ez hari ni juga sebab esok mak uda dengan pak uda nak pergi ke negara isketambatu. Kami ada urusan perniagaan sikit kat sana," beritahu mak uda.

Mak keluar sambil bawa minuman. "Jemput minum. Ada air kosong aje petang ni. Itu pun air paip. Maaflah, ya. Penapis air jenama tikus terputus ekor rosak pula. Nampaknya Hero kenalah beli yang baru untuk mak nanti," rungut mak sambil duduk di sebelah mak uda.

"Saya dah cakap dulu. Jenama tu tak bagus, tapi mak degil. Nak juga beli."

"Habis tu, jenama apa yang elok?"

"Beruang gemuk. Nantilah saya tengok kat kedai esok. Kalau ada jenama tu, saya terus beli."

Mak uda geleng kepala. "Ish, ish, ish... ada juga ye penapis air jenama beruang gemuk?"

"Dalam negara kita isketambola ni apa yang tak ada? Mesin basuh jenama Pak Kasim berbini dua pun ada. Dengar cerita dari jiran-jiran, jenama tu bagus. 20 tahun pun tak rosak lagi."

"Mak nak ke?"

"Nak apa?"

"Mesin basuh jenama Pak Kasim berbini dua tulah. Kalau mak nak, saya boleh beli."

"Eh, nak buat apa mesin basuh banyak-banyak? Mesin basuh kita belum rosak lagi."

"Kalau macam tu, saya beli penapis air jenama Pak Kasim berbini dua. Cancel la jenama beruang gemuk. Okey mak?"

"Boleh juga tu. Esoklah kamu pergi beli. Susah kalau tak ada penapis air. Mak tak larat nak masak air selalu."

"Okey. Nanti saya belikan. Mak jangan risau."

Tiba-tiba mak uda mencelah, "Untung ada anak lelaki yang baik dan sanggup berhabis duit untuk mak dia. Err... Hero bila nak kahwin?"

Aku tersengih apabila mak uda tanya macam tu. Satu soalan yang paling dibenci oleh orang bujang terlajak. Tapi, aku belum terlajak lagi. Baru 25 tahun, masih bergetah.

"Belum sampai jodoh saya."

"Susah-susah sangat, kahwin saja sesama sepupu. Anak mak lang si Ayu, cantik kan orangnya," kata mak uda.

"Ish... Ayu tu saya dah anggap macam adik-beradik. Membesar pun sama-sama. Tak sangguplah nak kahwin sepupu."

Mak uda tersenyum. "Mak uda saja-saja cakap. Terpulanglah pada Hero."

"Eh, kita ni... borak, borak juga. Minumlah air paip tu." Mak tuangkan air paip ke dalam cawan.

Mak uda dan Ezra minum dengan jayanya.  

hentam sajalah..

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience