Segera dia meletakkan kembali cermin itu ditempat asal. Dia teringat pesan orang tua-tua, jangan menelek wajah ketika waktu sudah larut malam.
Hujan masih belum mahu berhenti. Tapi tidaklah selebat tadi. Dahlan mengambil wuduk. Tidaklah salah untuknya turut sama melakukan ibadat di situ.
Niatnya mahu melakukan solat jamak ta’khir sambil mengenali ‘jemaah hebat’ yang masih berada di dalam madrasah.
Ketika dia melangkah menaiki anak tangga, satu objek seperti seekor burung yang agak besar terbang mendahului dan melepasi dirinya.
Objek itu seperti menghentam dinding madrasah lalu jatuh berserakan seperti butiran kacang hijau.
Dahlan terperanjat, menghentikan langkah dan matanya memeriksa perkara yang berlaku, tidak jauh darinya. Namun ternyata tidak ada sebarang benda atau objek yang berada di atas lantai.
Dia tidak menghiraukan perkara itu. Sebagai seorang bekas tentera dia tidak gerun berhadapan dengan situasi seperti itu.
Dia lebih takut berhadapan dengan keadaan realiti yang ada di hadapan matanya.
Niatnya baik. Dia memberanikan diri melangkah masuk. Suasana di dalam madrasah dirasakan begitu unik dan asing. Semuanya berbentuk lama dan usang.
Ada mimbar, rekhal kayu, gulungan tikar mengkuang malah ukiran binaan bangunan juga tidak sama dengan apa yang pernah dilihatnya.
Di hadapannya hanya terbentang kain putih yang panjang yang dijadikan sebagai sejadah disetiap barisan saf.
Dua orang lelaki sedang tekun berwirid. Dengung wiridnya tidak jelas kedengaran. Tunduk bongkok menghadap kearah kiblat. Keadaan tubuh mereka kurus tinggi hampir sama sahaja.
Share this novel