BAB 7

Thriller Completed 2743

Dari beranda dia terus terjun ke bawah. Meredah hujan, berlari mendapatkan keretanya.

Dia tidak mahu menoleh ke belakang lagi, cepat-cepat dia menghidupkan enjin dan berlalu dari situ.

Dahlan mengucap panjang. Makhluk apakah itu?. Tidak pernah dilihat dan tidak pernah diceritakan orang.

Di jalan besar baru dia perasan, dia tidak sempat menyarung kasutnya tadi. Ahh... biarlah. Dia juga perasan wajah yang dilihat di dalam cermin ketika di dalam bilik air bukanlah wajahnya kerana bahagian mulut tidak kelihatan!.

Tidak lama kemudian keretanya terasa berat pula. Dia merasakan ada sesuatu yang tak kena. Celaka! dia menyumpah di dalam hati. Dia memberanikan diri memandang cermin pandang belakang.

Serta-merta badannya menggigil. Jantungnya berdegup kencang bagai sukar bernafas. Wajahnya pucat lesi. Ya Allah! dua makhluk yang tidak bermulut itu sudah berada di dalam keretanya, mengekorinya.

Dan kemudian hampir sahaja dia melompat bila dilihatnya ada seorang lagi di sisi sebelahnya.

Kali ini lebih menakutkan kerana ketiga-tiga mereka tidak mempunyai wajah langsung. Putih licin seperti sebutir telur yang dikupas.

Allahhuakbar! Allahhuakbar! Allahhuakbar!, Dahlan menjerit sekuat hati, tidak berhenti-henti sambil kaki kanannya kuat menekan pedal minyak. Dia sudah seperti orang kerasukan.

Setelah agak jauh meninggalkan kawasan itu dan ketiga-tiga makhluk itu hilang, ghaib entah kemana, hatinya terasa lega. Dia tidak mahu singgah di mana-mana tempat lagi. Peristiwa awal pagi itu menjadi igauan ngeri baginya.

Dahlan beristighfar. Rumah atau tempat apakah yang sudah disinggahi itu?.

Beberapa minggu selepas kejadian, Dahlan cuba mencungkil kisah madrasah usang yang terletak di sempadan Pahang-Kelantan itu. Menurut cerita seorang lelaki tua yang berasal dari Merapoh menyatakan bahawa memang ada cerita yang didengari dari orang dulu-dulu tentang makhluk yang tidak diketahui yang tinggal di kawasan itu.

Menurutnya tiada sebuah kampung pun yang wujud di kawasan itu. Semuanya adalah hutan belukar. Kadang kala di waktu senja akan kedengaran suara seperti orang yang sedang beratib, seperti sedang merayu memohon sesuatu. Amalan mereka sama atau tidak dengan manusia, juga tidak diketahui.

Orang dulu-dulu menggelarnya Kampung Aneh dan kisah makhluk tanpa mulut dan tanpa wajah itu telah lama hilang dimamah masa.

“Dan di sisi Allahlah kunci-kunci semua yang ghoib, tidak ada yang mengetahuinya selain Dialah Allah sendiri, dan Dia mengetahui apapun yang ada di daratan dan Dia mengetahui apapun yang ada di lautan dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dialah Allah mengetahuinya pula, dan tidak jatuh sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak ada satu pun yang basah dan tak ada satu pun yang kering melainkan semua tertulis di lauh mahfudz, kitab yang nyata. “ (QS Al- An’am: 59)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience