Si Tua Di Masjid Lama

Horror & Thriller Series 3150

Ibu aku mengajar di sebuah sekolah di Sungai Kandis. Jadi kadangkala sememangnya beliau akan membawaku sekali ke sekolah menemaninya. Namun bukanlah selalu aku dapat ke sana memandangkan jarak rumah dan sekolah ibu boleh dikira jauh juga.

Aku masih ingat lagi ketika berumur 6 tahun. Ketika itu aku sudah memulakan persekolahan di tadika Islamik berdekatan kawasan rumahku. Kadangkala aku diambil dibawa ke rumah penjaga ataupun ke sekolah ibu. Orang yang biasanya mengambil aku adalah arwah penjagaku.

Namun ketika kejadian ini terjadi ketika ibu aku menghadiri suatu program di sekolahnya. Namun, disebabkan diadakan pada waktu cuti hujung minggu jadi kami datang ke sekolah ibu dalam satu keluarga.

Dalam lepas zuhur program berakhir dan hadirin hadirat dijemput jamuan makan sebelum pulang. Namun disebabkan ibu adalah barisan ahli jawatankuasa yang menguruskan program, jadi kami terpaksa menunggu ibu selesai urusannya dulu.

Kedengaran alunan azan dari masjid lama berdekatan sekolah. Aku terpegun menghayati alunan merdu yang menusuk jiwa.

"Adik jom solat." Ayah memimpin tanganku memasuki perut kereta. Aku hanya menurut.

"Kita nak solat dekat mana,yah?" Aku musykil melihat ayah sudah memandu keluar dari pagar sekolah. Bukankah sekolah ibu juga mempunyai surau yang boleh digunakan? Aku jadi tertanya-tanya.

"Kita nak solat kena di tempat yang selesa dan luas. Baru khusyuk kita menunaikan solat." Ayah menerangkan. Aku menangguk faham. Sememangnya ketika itu, kemudahan di surau sekolah ibu masih kekurangan dan daif. Ayah pula jenis mementingkan keselesaan dan kebersihan dalam menjalankan ibadat.

Sesampainya kami di perkarangan masjid lama, aku dan ayah terus keluar dari perut kereta bergegas menuju ke tempat wudhuk.

"Adik terus masuk saf ikut imam solat ya." Ayah menghalangku dari menghampiri tempat wudhuk. Mungkin dia risau aku bermain air pula bukannya berwudhuk nanti. Aku akur terus berlari mendapatkan saf makmum yang ke-3 memandangkan aku belum baligh. Dilihat pada persekitaran masjid itu lengang kerana tidak ramai jemaah yang bersolat.

"Allahu akbar!" Aku mengangkat takbir memulakan solat.

***

"Assalamualaikum warahmatullah." Aku menoleh ke bahu kiri. Tanpa menunggu doa dibacakan, aku terus berlari keluar untuk bermain. Ketika itu, hanya fikir mahu bermain sahaja almaklum pemikiran kanak-kanak.

Aku terus menuju ke laluan tempat wudhuk. Aku terlalu teruja memandangkan ayah selalu melarang aku ke situ. Pada penglihatanku ketika itu, tanki wudhuk yang berlapis jubin itu sungguh menarik. Aku mendekatinya dan perlahan-lahan membuka pili air. Suatu perasaan yang terlalu asyik apabila melihat air mengalir di laluannya. Aku terleka.

"Assalamualaikum..." Suatu suara garau menyapa di belakangku. Aku menoleh. Serta merta aku terkesima. Salamnya tidakku jawab kerana terlalu takut.

Seorang lelaki tua dengan rambut beruban penuh dan janggut yang panjangnya di aras pinggang. Suatu rupa yang menggerunkan namun terlihat wajahnya kelihatan putih bersih. Tubuh tingginya dibaluti kain serba putih dengan tongkat kayu di tangan.Anak matanya merenungku namun tidaklah tajam. Namun, aku masih berasa gerun dengannya ketika itu.

"Wahai anak Adam. Elakkan pembaziran." Ayat pertama yang keluar dari bibirnya setelah memberi salam. Kini aku terpegun mendongak memandangnnya.

"Air mutlak janganlah dibazirkan." Suara garau itu terus-menerus memberi peringatan. Namun aku tidak menangkap kata-katanya, sebaliknya berfokus pada penampilannya.

"Tuhanmu bencikan pembaziran. Sentiasalah berhemah." Kata-katanya yang terakhir sebelum melangkah meninggalkanku. Aku masih terkesima melihat lelaki tua itu.

"Adik! Buat apa tu?!" Suara ayah tidak berapa jauh dari situ. Ayah mendekati mendapatkanku.

"Adik cakap dengan atok, yah." Aku teruja mendapatkan ayah.

"Atok yang tengah berjalan tu ha." Aku menunjukkan jari ke suatu kawasan lapang di sebelah tempat wudhuk. Aku masih boleh melihatnya berjalan meninggalkan kami di situ. Wajah ayahku terus berkerut melihat kawasan lapang itu.

Ayahku membacakan sesuatu sebelum tangannya diusap ke wajahku.

"Atok tu dah hilanglah, yah." Serta-merta riak wajahku berubah. Tiba-tiba terasa sedih dengan pemergian atok itu.

"Bermain di dalam juga kena ingat pantang larang di masjid. Dalam masjid bukan hanya manusia yang beribadah. Kita kena hormat hak bagi yang lainnya juga." Ayah menerangkan kepadaku namun tak bisaku fahami ketika itu. Ayah mendukungku namun aku menepis.

"Sekejap yah. Nak tutup paip." Aku kembali ke pili paip yang aku buka tadi.

"Eh?" Aku menggaru kepala melihat pili paip sudah tertutup.

"Dah, mari balik."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience