BAB 3

Family Completed 551

HALUAN TANPA PILIHAN

Kelangsungan pemilihan pun bermula. Aku antara yang terpilih untuk menghadiri ujian bertulis untuk melayakkan diri ke luar negara. 300 soalan personaliti dan psikologi dalam masa satu jam! Kulihat ramai calon yang hadir. Mereka yang sudah berada di dalam kampus Nilam Puri pun ada yang menghadiri ujian. Begitu ramai sekali yang berminat dengan program biasiswa KPM ini rupanya. Ada antara kelibat mereka itu rakan sedarjah semasa di Hamzah... hemmm???

Beberapa minggu berselang bersulamkan kesibukan di sekolah aku menghadiri dua temuduga. Satu temuduga UIA. Satu lagi temuduga KPM. Rasa-rasanya kedua-dua temuduga ini tidak memberikan aku keyakinan untuk melayakkan diri. Untuk ke UIA aku perlu bertutur dalam bahasa Inggeris di hadapan penemuduga. Untuk KPM pun aku sudah tersalah jawab bila ditanya siapakah Raiisul Wizaaraat? Aku jawab nama menteri pertanian!

Seminggu sebelum cuti semester aku benar-benar sibuk menggalas tugas sebagai pengarah program PERDANA CEMERLANG yang bakal berlangsung sepanjang cuti semester. Pelik juga rasanya ramai lagi para Dhabitah yang berkelayakan dan berwibawa... "Jangan bimbang Razzi, Kak Taz yakin Razzi boleh bawa tugas ini." Kak Taz tersenyum sambil menepuk-nepuk bahuku... Tuhan! Bantulah aku...

Perdana Cemerlang - Persatuan Raidah dan Naibah Cemerlang. Program khusus untuk mereka. Seminggu itu kukerah semua pengalaman sepanjang 3 siri program PKPIM yang pernah aku ikuti dan KEMUDA di Selangor. Seminggu itu juga aku menjadi manusia paling tidak bertuah kerana ditentukan haluan tanpa pilihan. Malangkah aku?

Seminggu itu antara kunjungan wajib aku jika ada kesempatan ialah kaunter pejabat sekolah. Hari-hari aku pergi, aku tanya "Ada tawaran tak untuk saya...?" Bersusun sampul berwarna coklat di atas kaunter. Ada dari UIA ada dari UM... Seorang demi seorang sahabat-sahabat dan kawan-kawan mendapat tawaran... tapi tiada satu pun terselit nama diri ini. Risau dan bimbang menggigit kesabaran. Kesabaranku tak mampu membendung keinginan untuk tahu ke mana arah haluanku.Mustahil aku tidak mendapat tawaran dari UIA. Mustahil!

Akhirnya penantian itu berakhir juga! ANDA DITAWARKAN PROGRAM BIASISWA PERSEKUTUAN! Sampul kecil digenggaman bagai bom jangka yang meletus! Pandangan berpinar... mana mungkin... ke Jordan kah destinasiku?

Nekad aku menelefon UIA. Sah! Namaku tiada dalam senarai panggilan pertama. Aku menelefon ke KPM, Ustaz yang menguruskan hal ehwal pengambilan pelajar hanya memberi kata dua: terima atau awak tiada peluang ke universiti! Gelapnya dunia... Perdana Cemerlang masih berbaki. Aku tidak mampu untuk pulang. Masa untuk membuat keputusan hanya dua hari! Dua hari untuk keputusan sebesar ini.

Ke mana arahku? Dua hari untuk membuat keputusan, membikin pasport dan menguruskan perihal berkaitan kursus persediaan. Kecelaruan membungkus diri. Kubawa diri ke Pulau Gajah. ada mak di sana dan pantai Sabak yang setia. Malam di rumah mak aku mengurung diri dalam bilik. Menangis dan menangis. Tegakah aku untuk melangkah sejauh itu? Sedangkan segunung harapan dan cita-cita sudah aku sandarkan di kampus impian UIAM?!!!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience