"Time is a created thing. To say 'I don't have time' is to say 'I don't want to'
-Lao Tzu
Nur Ariana Elena Binti Zahir.
Nama yang cukup sinonim dengan kejayaan.
"Cik Ariana, boleh jangkakan bila mall ini akan disiapkan?"
"Cik Ariana, betul ke Cik merancang untuk membuka produk kosmetik dalam masa terdekat?"
"Miss Ariana, is it true there will be a collaboration with a Western model for your clothing brand?"
Bertalu-talu soalan diberikan oleh para wartawan. Ariana yang sejak tadi mengenakan cermin mata hitam berjenama hanya mengukir senyuman, lalu menekan butang pada mikrofon di hadapannya.
"Maaf, itu sahaja soalan yang saya terima berkenaan projek mall saya."
Kata Ariana sambil bangkit dan berjalan ke pintu keluar dewan, diekori rapat oleh pengawal peribadinya.
"ARIANA ELENA: CEO PEREMPUAN PALING BERJAYA"
"GADIS PENUH FESYEN"
"BEAUTY WITH BRAINS"
Itulah tajuk-tajuk artikel yang sering terpampang di majalah dan laman sosial apabila nama Ariana Elena disebut. Berpengaruh besar dalam dunia perniagaan, bukan sahaja dalam Malaysia tetapi juga luar negara. Sering dipuji dan disanjung oleh rakyat.
"Irene, do I have a meeting today?" tanya Ariana dengan tenang setelah melangkah masuk ke dalam perut kereta Ferrari mewahnya. Secawan latte disedut perlahan.
"No, you don't have any meetings today, but Miss Aida and Mr. Zahir wish to meet you at 9 p.m.," jawab Irene sambil memandang skrin tablet di tangannya.
"Great. Now, let's head to our destination," kata Ariana, membuka cermin matanya dan memandang ke luar jendela.
Cuaca hari ini sungguh nyaman. Alangkah indahnya kalau dia dapat keluar, walaupun hanya untuk sehari.
"Menyampah betullah!" kata salah seorang pekerja, duduk di meja sambil menonton televisyen yang menayangkan sidang media Ariana Elena sebentar tadi.
"Kita dekat sini kerja macam hamba. Saya ni anak tiga orang pun tak sempat luang masa dengan keluarga. Kerja bertimbun!" rungut rakannya sambil tangannya ligat menaip pada papan kekunci.
"Betul! Geram betul rasa!" tambah seorang lagi, mendengus kasar.
"Kalau semua orang tahu perangai sebenar Ariana tu, mesti tak ada siapa nak puji dan idolakan dia lagi."
"Kling!"
Bunyi lif berdenting menandakan pintu terbuka. Bunyi kasut tumit tinggi bergema, bergesel dengan lantai marmar pejabat.
Ariana keluar dari lif, membelok ke kanan menuju ke pejabatnya. Seperti biasa, dia ditemani oleh pengawal peribadi dan setiausaha peribadinya. Suasana pejabat yang tadi riuh kini bertukar sunyi. Pekerja mula bangun, berjalan pantas menghampirinya dengan dokumen dan soalan masing-masing.
"Cik Ariana, arkitek ada buat bising tentang reka bentuk mall tu. Katanya nak jumpa hari ini juga."
"Baik. Pukul dua petang nanti saya akan jumpa. Beritahu dia awal-awal," jawab Ariana dengan nada tegas.
"Cik Ariana nak warna pastel atau warna kontra untuk produk kosmetik kita?"
Seorang pekerja wanita menghulurkan iPad menunjukkan reka bentuk yang dicadangkan.
"Saya dah cakap sebelum ni, warna pastel," jawab Ariana, memandang pekerja itu dengan riak wajah yang serius dan agak dingin.
"Cik Ariana, ada wartawan berkumpul di bawah. Mereka nak sesi soal jawab tentang pembukaan mall."
"Beritahu mereka, kita akan umumkan tarikh rasmi untuk sesi soal jawab. Suruh mereka balik sekarang."
"Baik, Cik."
"Sekarang pukul berapa, Irene?" tanya Ariana sambil membelek kertas-kertas yang bertimbun di atas mejanya. Sebelah tangan menyokong kepala, tanda keletihan.
"7.30 malam, Cik," jawab Irene, cepat-cepat melihat jam pada skrin komputernya. Matanya masih segar—bukan sebab rehat cukup, tapi kerana takut dimarahi bosnya.
"Awak boleh balik," kata Ariana, memandang setiausahanya.
"Takpe ke, Cik?"
Risau juga dia nak tinggalkan Ariana bersendirian dalam bangunan besar itu. Kalau ada orang teman, tak apa juga.
"Sorry, am I late?"
Ariana melangkah masuk ke ruang makan rumah agam keluarga Zahir. Dia mengenakan seluar panjang berwarna krim, blouse lavender dan tudung selendang putih yang terletak kemas di bahu. Ringkas, tetapi tetap tampak elegan. Wajahnya polos tanpa solekan berlebihan, namun kejelitaannya tetap menyerlah — hidung mancung, mata bulat dan bibir kemerahan. Senyumannya sahaja sudah cukup untuk membuat sesiapa jatuh hati.
Datin Aida menjeling tajam dari atas ke bawah, tangan masih memegang sudu dan garfu. Jelingannya sarat dengan makna yang tidak menyenangkan.
"Ingatkan dah tak ingat jalan balik rumah," sinis suara ibunya menyambut.
"Duduk," arah Datuk Zahir, menjemput anak sulungnya duduk di kerusi hadapan.
"Terima kasih," jawab Ariana dengan senyuman nipis sebelum duduk dan mula menjamah steak wagyu dan jus oren yang telah disediakan khas untuknya.
Tiada siapa bersuara. Yang kedengaran hanyalah bunyi garfu berlaga pinggan. Sunyi. Seperti tiga orang asing yang kebetulan duduk semeja.
"Kenapa panggil Ariana balik?"
Soal Ariana jujur, memecah sunyi.
"Biadabnya!" bentak Datin Aida, riak wajahnya sudah mencerminkan perasaanya.Benci
"Sudah, Aida," tegas Datuk Zahir sambil menoleh ke arah isterinya. Kemudian dia kembali memandang anak perempuannya.
"Ayah nak kamu kahwin dengan Megat Isa," katanya tenang, tetapi tegas.
"Apa?" Ariana hampir tersedak daging yang baru dikunyah. Letak pisau garfu, pandang terus ke wajah ayahnya.
"Kamu dah 26 tahun, Ariana. Nak tunggu sampai bila baru nak kahwin? Ayah nak syarikat ini diwarisi, dijaga dengan elok. Bukan diserahkan, kemudian dibiarkan lenyap."
"Megat Isa tu baik orangnya. Bijak. Sesuai jadi pasangan kamu. Ayah yakin dia boleh bantu kamu urus syarikat ni."
Ariana terdiam. Tangannya menggenggam sudu dan garfu begitu erat hingga jari-jemarinya pucat. Tapi wajahnya tetap tenang, walaupun matanya mula berkaca.
Dalam hatinya, seperti satu batu besar menimpa dada. Sesak. Terasa seperti dipaksa berjalan sambil memikul beban yang bukan pilihannya sendiri.
"Ariana... dah ada calon suami," katanya perlahan tapi jelas, lalu menyedut jus oren untuk menutup getaran di suaranya.
"What?"
Datuk Zahir tersentak. Riak wajahnya berubah.
Tak pernah sekalipun dia nampak anaknya itu bersama mana-mana lelaki.
Datin Aida turut terkejut, namun cuba mengekalkan wajah tenang.
Datuk Zahir meletakkan pisau dan garfu, lalu bersandar.
"Jumaat ni ayah nak jumpa dia," katanya mendatar.
Hai semua,terima kasih kerana baca bab ini
Share this novel