Rate

BAB 3

Family Completed 407

En. Ghazali terus membalas kelat. Sabar berperang mengira setiap detik. Terputus dari waktu yang tersepit. “Untunglah kau. Aku nampak kau lebih gembira daripada aku. Anak-anakmu semua menemani walau ke mana saja pergi. Tapi aku tidak ada sesiapa. Jiwa aku juga tidak ada. Semua orang berteman.”

“Bersyukurlah, kau masih ada Awatif . Awatif seorang anak yang baik. Dia ada asas agama yang kuat. Dia tidak akan tinggalkan kau.” Ustaz Khalil memujuk sambil mengusap belakang sahabat baiknya itu yang sekian lama berkawan bagai isi dengan kuku.

Diakui dalam usia sebegini, kawannya dan dirinya juga amat memerlukan anak-anak. Tidak ada apa lagi yang harus dikejar melainkan anak-anak ada di sisi setiap masa, detik dan ketika. Tapi apakan daya. Anak En. Ghazali sibuk dengan urusan duniawi di luar negara. Patutlah jiwa ayahnya makin sepi dan menyepi. Ibarat kemarau bertahun yang rindukan titis hujan.

“Ya, aku masih ada Awatif . Dia selalu kejutkan aku dari tidur. Kejutkan aku untuk ke masjid. Menemani aku. Tapi kenapa Awatif seorang sahaja? Aku ingin anak-anakku semuanya sebagai mana anak-anakmu menemanimu saat ini. Semua anakmu ada di sisimu…”

Kata-kata En. Ghazali terhenti bersama dahinya yang berkerut seribu. Apakah dia sendiri telah terhukum oleh masa atau takdir yang tercela atau dosa yang terhina sehingga hatinya menjadi gersang dan kontang.

“Insya-Allah, anak-anakmu akan pulang ke pangkuanmu semuanya.” Hanya itulah pujukan Ustaz Khalil yang sangat memahami hati kawannya. Jika dahulu dia memuji anak-anaknya bahkan tanpa disedari dalam masa yang sama hati Ustaz Khalil juga sudah lama terguris.

Terguris setiap kali orang kampung membandingkan anaknya dengan anak kawannya itu. Dia tidak sedar hatinya sudah terguris sejak sekian lama. Biarpun sedih dia redha. Biarlah anak-anaknya tidak sehebat anak-anak En. Shahri. Biarpun mereka tidak belajar dan berjawatan tinggi di luar negara, tapi hatinya sangat senang dan lapang. Anak-anaknya seolah menemaninya dari awal kelahiran sehingga ke akhir hayat. Anak-anaknya membesar, berjaya dan meniti hari-hari di depan matanya.

“Khalil, kau memang beruntung. Kalau aku tahu perkara ini akan terjadi dalam hidup aku pasti aku akan hantar ke semua anak aku ke sekolah tahfiz.”

Ustaz Khalil merasakan kata-kata itu mendakap rapat dalam dada. Indah sungguh. Seindah bacaan al-Quran yang dialunkan anak-anaknya. Menyejukkan tangkai jantung, membunga sejuk hati suci jiwa.

“Aku sangat menyesal. Lebih-lebih lagi aku sering salah anggap kepada kau. Semua orang memuji dan menjadikan aku dan anak-anak sebagai contoh. Aku terlalu mengejar nama, pangkat dan kebendaan. Begitu juga dengan anak aku. Kesudahannya mereka mendapat kerjaya dan berpangkat tetapi aku merasakan tidak berjaya dalam membentuk mereka untuk mengumpul kasih sayang bersama aku. Mereka semakin jauh dan bukan dekat padaku.”

“Sabarlah.” Sepatah kata Ustaz Khalil memujuk. Dia faham naluri hati kawannya yang mula meraung menangis sendiri. Peluru-peluru sepi berterbangan mencari sasaran. Namun dunia tiada mempeduli dan mendengar keperitan.

“Aku minta maaf.” Sepatah kata En. Ghazali bisa membuatkan waktu turut menangis. Detik masa terus terhenti. Resah di hatinya hanya hambatan dejavu. Bahkan mesin masa tidak pernah peduli padanya. Hatinya turut tersiar pedih jiwa raga.

“Tidak mengapalah. Umur macam kita kasih sayang adalah segala-galanya.” Ujar Ustaz Khalil yang umurnya 70 tetap ditemani anak-anak. Diakui kata-kata kawannya itu sangat dalam dan bermakna. Kasih sayang adalah segala-galanya. Kalam anak-anak adalah penyejuk hati. Jadi kunci yang boleh membuka segala pintu kebaikan dan mengunci segala pintu keburukan.

“Aku harap Awatif dapat mandikan jenazah aku setelah meninggal.” Luahan rasa di hujung kerongkong mula menumpahkan lava emosi melimpah tak tertahan. Mencetus cemas menimbul gundah. Terhasil kacau merebak cepat. Meresap pantas ke tangkai emosi yang paling dalam.

“Jangan begitu. Insya-Allah, anak-anakmu akan pulang ke pangkuan.” Ustaz Khalil tetap memujuk dalam sedar walau kawannya ditimpa derita menduga. Melingkari maya menerobos realiti dia tetap memujuk.

“Aku tergantung sepi kepada Awatif . Anak yang sering aku pandang sebelah mata kerana mengikut jejak anak-anakmu. Tetapi sekarang Awatif menjaga aku. Kalamnya adalah penyejuk hati aku. Awatif ada di depan mata. Tengoklah, dia sedang membaca al-Quran. Tapi mana anak-anakku yang lain. Aku tidak mendapat kasih sayang daripada mereka. Daripada semua anak-anak aku sebagaimana yang kau dapat sekarang ini. Bacaan ayat-ayat al-Quran yang keluar dari bibir Awatif di sepertiga malam, tetap menjadi penyejuk hati aku. Kalam Ilahi ini penyejuk hati aku dalam pencarian anak-anakku yang sekarang ini lena diulit intan. Menjauh mengejar bulan dan bintang.” Sayu sungguh kata-kata En. Shahri. Menangislah dirinya bersama masa kerana barangkali ada bait-bait yang tidak tertulis atau lukisan-lukisan yang tidak terlukis seperti karma yang menjengah dari celahan jendela masa.

Benarlah Ustaz Khalil tidak mengharapkan pujian atau mencari nama. Cukuplah dia hanya insan biasa-biasa sahaja di mata orang ramai. Perjalanan diriya juga biasa-biasa sahaja. Dia senang bersikap wasatiyyah kerana dia sedar setiap kali membuka mata maka perjalanan ini baru bermula. Perjalanan ini masih mengkal masih belum bertemu papan penanda.

Ternyata diriya telah menang merancang masa depan. Kalam Ilahi yang diajar kepada anak-anaknya kini ternyata menjadi penyejuk hatinya. Mendekatkan jarak jiwa yang tidak pernah rasa kosong selagi matahari, bulan, bintang, dan cakerawala menjadi saksinya. Cukuplah kalam itu akan menjadi bekalan dirinya yang sedang dimamah usia ini menuju akhirat. Kekal dan abadi di sana.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience