Rate

BAB 2

Family Completed 407

Apa pun masing-masing tetap berbangga dengan kejayaan anak-anak. Ustaz Khalil tetap bermegah dengan kejayaan anaknya. Dia tetap bangga anak-anak tidak bekerja di luar negara dan lebih bersikap ‘bangau pulang ke lumpur’. Lebih selesa hidup di kampung dan berdekatan. Bagi En. Ghazali pula, makin jauh anaknya belajar, makin berjawatan, makin dipuji dan dipuja oleh orang kampung, maka dia akan menjadi bertambah bangga. Bintang anak-anaknya semakin bersinar. Biarlah anak-anaknya ‘bebas seperti burung’ dalam mencari sebuah kejayaan setinggi awan sekali pun.

Namun begitu, En. Ghazali berasa sedikit ‘kekhilafan’ apabila anak bongsunya iaitu Awatif tidak menunjukkan kehebatan dalam pelajaran. Tidak mengikut jejak abang dan kakaknya yang lain dengan melanjutkan pelajaran hingga ke luar negara. En. Ghazali rasa terkilan anaknya yang itu hanya mendapat 2A 3B dalam UPSR. Lebih merasa ‘kejanggalan’ apabila anaknya Awatif menunjukkan sikap seperti anak Ustaz Khalil yang bongsu iaitu Firazi yang lebih berminat mencari agama.

Bahkan Awatif juga masuk sekolah tahfiz di Kelantan di bawah program Jakim. En. Ghazali terus memandang rendah kepada anaknya yang lebih mengikut haluan anak-anak Ustaz Khalil itu dan bersikap bagai langit dan bumi. Bahkan sebaik-baik tamat belajar, Awatif menjadi ustaz dan bekerja pula dengan anak Ustaz Khalil di kampung. En. Ghazali merasa sangat malu dan menganggap anak-anaknya ‘ketinggalan’ dalam segala hal. Kenapa mahu pilih hidup ‘biasa-biasa’ sahaja? Kenapa jalan yang dipilih anaknya sebegitu? Kenapa Awatif tidak ‘mewarisi’ bakat dan kehebatan yang ada pada adik-beradiknya yang lain?

Dalam masa yang sama Ustaz Khalil tetap berbangga dengan kejayaan Firazi anak bongsunya. Firazi pula sentiasa memberi sokongan kepada Awatif . Sering mengingatkan tentang ‘pandai bawa diri dan tahu asal usul’. Firazi tetap bangga dia hanyalah seorang murid Sekolah Agama Izzzudin Shah dan menyambung pengajian di Sekolah Menengah Sains di Pulau Pinang. Biarpun pujian orang kampung tidak menyebelahi diri anak Ustaz Khalil ini, namun dia percaya akan Qada dan Qadar. Biarpun ada rasa sedikit lemau iktibar berkibaran namun dia tidak sesekali tercium bauan hangit kesal yang terpaksa dipadamkan. Dia tetap dengan jiwa raga yang kental.

“Tak apalah Shahri, anak kamu Awatif dah cukup berjaya. Mereka keluar daripada perut yang sama. Setandan pisang juga tidak semuanya elok. Tak apalah kalau dia hendak ‘mengikut jejak’ anak-anak aku.” Ustaz Khalil memujuk En. Ghazali sebaik-baik sahaja mereka menghabiskan solat isyak di Masjid Kampung Sari . Bahkan sejak dari dulu lagi dia berbangga dengan anak-anak kawan baiknya itu berjaya. Sumpah dia tidak dengki tapi tetap tumpang bangga.

Cuma mengapa kejayaan Awatif ‘meresahkan’ otak En. Shahri? Apakah ada liku di situ? Ada sesuatu yang tersurat ibarat serawan jalan yang kusut harus dileraikan. Adakah dalam hatinya sedang menyapu air mata dalam doa rintih merayu? En. Ghazali terpaksa memujuk hati sendiri. Awatif , sentiasa menjentik rasa hatinya. Kalbu terketar merenung jelata. Menyerah doa segala hajat.

Lain yang dirancang lain yang terjadi. Awatif langsung tidak menandingi kehebatan abang dan kakak-kakaknya. En. Ghazali sentiasa bermain dengan perasaan. Bagai waktu tersimpul dalam himpunan dosa yang panjang. Hatinya membias cahaya hitam dari celahan warna-warna jingga. Kisah Awatif melalui denai masa mula terhimpun carik.

Namun begitu dalam penantian yang panjang, En. Ghazali sendiri seolah-olah terperangkap dengan kemegahan yang dicipta sendiri. Pujian, kemegahan, kebanggaan terhadap anak-anaknya kini seolah-olah menjerat diri. Dia tidak mampu bersuara dan melontar kata. Lebih-lebih lagi mengenangkan isterinya telah dijemput menemui Ilahi. Meninggalkan dirinya seorang diri di kampung. Hanya ditemani Awatif .

Sepi malam ditemani rembulan, tetap En. Ghazali merenung dan berfikir menyaring setiap kisah. Kering dingin semerbak harum bertiup angin membawa cerita bertangis mencari makna.

Bahkan hatinya semakin sebak mencengkam dada apabila melihat Ustaz Khalil dan isterinya Ustazah Rosmawati sentiasa ditemani anak-anaknya seramai lima orang setiap kali menjejakkan kaki ke masjid untuk menunaikan solat lima waktu. Bahkan setiap kali Hari Raya pasti Ustaz Khalil tersenyum kegembiraan apabila anak-anaknya dapat meraikan hari lebaran dengan penuh gembira.

Jiwa dalam En. Ghazali meronta-ronta menjerit hiba. Kisah jiwa mencari bebas sekian lama. “Ya Allah, di manakah anak-anakku saat ini? Umurku sudah 65 tahun. Isteriku Hameedah sudah lama meninggal disebabkan barah. Aku kesepian dalam mencari arah dalam cahaya yang terang. Aku seorang pakar kaunselor yang sentiasa di kelilingi oleh ramai orang. Ramai orang jadikan aku pakar rujuk. Tapi kenapa hati aku terasa kosong dan tidak terisi? Bahkan aku tidak mampu menjadi pakar pada diri sendiri? Di manakah anak-anak yang aku didik sejak kecil? Mengapa mereka tidak bersama menemani hati tua aku yang sering setiap hari diburu resah rasa kesepian bagai padang jarak padang tekukur?”

En. Ghazali terus diburu rasa sesal yang menebal. Bahkan setiap kali melihat anak-anak Ustaz Khalil yang sentiasa menemani dan memimpin ayahnya ke masjid, jiwanya meronta-ronta minta dilepaskan, namun terus terpenjara dalam sangkar besi. Dia terus mengibaratkan diri bagai gelas retak mangkuk berderai. Yang tinggal hanyalah kaca-kaca berselerakan.

“Kenapa termenung sahaja? Ingatkan siapa?” Ustaz Khalil menegur di beranda masjid. Di tepinya ditemani Ustazah Rosmawati tersenyum seumpama bulan purnama.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience