“Aku terpaksa kurung kau sehingga tarikh perkahwinan kau berlangsung.
Ingat, kau tak boleh lari.” Suara Fauzan mendesah dekat pada pipiku dan
aku biarkan saja sehingga Fauzan melepaskan tubuhku dari cengkamannya.
“Kau tak boleh lari.” Dia beri amaran sebelum keluar dari sangkar emas
ciptaannya di bilik yang aku diami sejak kecil lagi. Bunyi pintu dikunci
sebelum aku terjelepuk di atas katil.
Aku tak nak! Aku tak nak! Tak nak!
AKU duduk di atas katil termenung sendirian. Hati aku dipagut rasa pedih
yang amat sangat. Kalaulah ayah ada... Kalaulah ayah masih ada... Air
mataku jatuh lagi ke pipi tanpa tertahan.
Pintu bilik ku dibuka dari luar. Aku keraskan tubuh tak berkutik.
“Puteri Tihani.” Suara itu membuahkan rasa benci disegenap ruang jiwaku.
Aku kaku memandang wanita separuh umur melangkah mendekati aku dengan
renungan tajam.
Wanita itu duduk di sisiku sebelum meletakkan tangan kanannya keras pada
rahang dan dagu aku.
“Kau jangan ingat kau anak manja, boleh buat apa yang kau suka. Ingat,
kau dah tak ada sesiapa di sini!”
Aku lawan renungan tajam wanita itu sebelum tersenyum sinis.
“Aku tak ada sesiapa, tetapi segala-galanya masih lagi milik aku.” Aku
gelak. Gelak tak senada dengan kemanisan, yang ada pahit serba-serbi.
“Kurang ajar!”
Paappp!!
Wajahku terteleng ke kiri. Aku rasakan cecair mengalir di hujung bibir
tetapi aku masih lagi tersenyum sinis.
“Kau tak akan berjaya.” Aku ketawa kuat dan kuat sehingga wanita itu
berdiri menghadapku dengan wajah merah menyala.
“Kau...” Rahang wanita itu bergerak-gerak menahan amarah dirinya.
“Mama...” Suara Fauzan mematikan tawaku.
/“I will marry her. And I will make sure/, semua harta dia jatuh ke
tangan kita.”
Aku terpaku dan terkejut mendengar janji dari bibir Fauzan.
AKU renung wajah Fauzan yang tenang duduk di hadapan lelaki berkopiah
putih. Aku terpaku melihat dia melafazkan akad nikah dan disahkan oleh
saksi-saksi yang hadir. Selepas itu, aku diiringi melangkah memasuki
bilik oleh wanita bertopengkan jin dan hantu. Mama Fauzan! Dia tersenyum
sinis sebelum meninggalkan diriku di dalam bilik.
“Dia tak ada waris lelaki terdekat, jadi kita guna wali hakim.”
“Hmmm...”
“Dia dah setuju?”
“Dia harus setuju.”
“Hmmm...”
Aku dengar tetapi aku tidak mampu untuk berkata apa-apa. Semuanya
tercatu di lubuk jiwa. Aku masih duduk kemas di dalam bilik menanti
dengan harapan segala-galanya akan berakhir.
“Tihani...” Namaku disebut ketika Fauzan melangkah masuk ke bilik aku.
Dia campakkan sebiji buah epal di kakiku. Aku mencapai buah itu sambil
mendongak memandang wajahnya.
“I /will set you free. /Tetapi kau mesti tandatangan surat ni.” Fauzan
serahkan satu sampul surat di kakiku juga. Aku capai dan keluarkan satu
persatu. Air mataku jatuh berlinangan ke pipi. Tanganku terketar-ketar
menahan sebak yang menguasai diriku. Semua harta ayah dia nak rampas!
Semua harta ayah! Semua usaha ayah!
“Kau kejam!” Jeritku mencampakkan surat-surat itu kepada Fauzan. Fauzan
berdiri kaku memandang amukan aku. Memandang jeritan dan tempikan aku
sehingga aku jadi penat. Aku baringkan tubuh menghadapnya dengan
linangan air mata.
Bila aku terlelap, aku dapat rasakan Fauzan mendekati dan membelai
pipiku. Nafasnya juga dekat di pipi aku.
“Tandatangan, dan aku akan jaga kau sampai bila-bila. Selagi kau tak
serahkan harta kepada mama, selagi itu kau akan hidup menderita.”
Ugutan? Amaran? Pujukan? Atau penipuan?
Share this novel