"KAU kenapa? Cakap Qis macam tu sesuka hati." Zafrul menegur seraya memandang Alisya.
"Ah, lantaklah. Rasakan! Siapa suruh dia join kita?" balas Alisya.
Dia senyum sinis. Berpuas hati kerana berjaya menyakiti hati Qistina. Menyedari yang mereka kini hanya berdua di kafe. Raffa lebih sanggup meninggalkan mereka semata-mata Qistina... sungguh! Dia langsung tidak menyangka.
Zafrul menggeleng perlahan. Langsung tidak bersetuju dengan tindakan Alisya.
"Aku tak sangka... Kau sanggup kata Qis macam tu..." ucapnya.
Alisya menoleh.
"Yang kau nak bela dia tu apahal? Bukan kau pun sama? Tak sukakan Qis. Kan?" duganya.
Zafrul mendiamkan diri. Alisya mengerutkan dahinya.
Lama-kelamaan barulah dia faham sebaik melihat riak Zafrul itu. Mulutnya separuh terbuka. Dia memandang Zafrul tajam. Lantas, dia pejamkan mata sejenak seraya melepaskan keluhan.
"Oh my God..."
Alisya memandang muka Zafrul seraya mengangkat hujung telunjuknya. Dia menangkap sesuatu, maksud di sebalik reaksi itu.
"Kau maksudkan dulu... Perempuan bertudung dan budak kelas kita tu... Qis? Ye kan?" Alisya sengaja menduga.
Zafrul tak menjawab. Hanya dibalas dengan anggukan perlahan.
Terpaksalah dia mengaku juga. Sampai bila dia mahu berahsia? Lambat-laun, Alisya akan tahu juga. Begitu juga Raffa. Cuma yang lebih malang dia harus bersaing dengan Raffa demi mendapatkan Qistina. Menagih cinta Qistina.
Itu bukanlah sesuatu yang mudah. Kerana Qistina tidak mudah memberikan hatinya itu kepada mana-mana lelaki pun. Itulah yang selama ini dia nampak.
"Are you out of your mind? Kenapa mesti dia?" Alisya menggerit gigi.
Sama sekali tidak pernah menduga yang Zafrul rupanya, menaruh hati terhadap Qistina tanpa pengetahuannya.
Dia rasa seperti dikhianati!
Sudahlah Raffa... ah, tidak mungkin. Mustahil Raffa pun turut menyukai Qistina. Tetapi... kenapa Raffa bertindak mengejar Qistina tadi?
Alisya bengang.
Qistina... apa yang menarik entah tentang Qistina? Dia susah nak percaya yang baik Zafrul mahu pun Raffa, kedua-duanya boleh berubah dalam sekelip mata hanya kerana gadis biasa yang bernama Qistina itu.
"Bila?" soalnya.
Zafrul tidak menjawab.
"Zafrul, aku tanya sejak bila?" desak Alisya.
Zafrul mengeluh. Barulah dia membuka mulut.
"Dah lama."
Alisya ketap bibir seraya menggenggam kuat sebelah tangannya.
"Sejak..."
"Sem satu lagi."
Alisya diam membisu. Fikirannya berkecamuk. Dia susah nak percaya sebaik mendengarnya.
"Terpulang. Kau nak fikir aku apa pun. Aku dah tersuka dengan Qis. Nak buat macam mana? Takkan aku nak halang perasaan aku?" akui Zafrul.
Alisya menggeleng-geleng.
"Nak buat macam mana kau cakap? Habis selama ni? Yang kau beria-ia acah bencikan dia tu apa? Aku pula boleh percaya aje bulat-bulat. Sampai hati kau ye... Kau dah tipu aku." Alisya berkata tidak puas hati.
Zafrul meraup mukanya dengan kedua-dua tangan.
"Qis tak layan aku pun. Dia... Tak sukakan aku. Tapi..." perlahan nadanya.
Alisya memandang Zafrul tajam.
"Qis lagi sukakan Raf."
"No way... Hell no! Tak... Aku tak boleh terima semua ni." Bentak Alisya. Berkali-kali dia menggeleng.
Dia buat-buat ketawa. Kemudian menekup mukanya itu dengan sebelah tangan. Dia begitu kecewa.
"Kau tahu mana? Yang Qis sukakan Raf?" Alisya mengerling sekilas.
Zafrul diam sejenak.
"Entahlah. Tengok gayanya macam tu..." balasnya acuh tak acuh.
Masing-masing tak bersuara. Melayan perasaan buat beberapa ketika.
"Aku betul-betul kecewa dengan kau, Zafrul." Akui Alisya setelah diam agak lama.
Zafrul berpusing.
"Alisya..."
"Ya, aku kecewa sangat bukan sebab kau memang ada hati dengan Qis. Aku tak sangka..." Alisya berkata perlahan. Dia menunduk tanpa langsung memandang muka Zafrul. Rautnya bertukar muram.
"Kau lagi sanggup tipu aku. Berpura-pura. Kau tak percayakan aku, kan."
Alisya menggeleng lemah.
Alisya terus berdiri lalu, mencapai tas tangannya. Zafrul turut sama berdiri, terasa sesuatu dengan kata itu. Dia agak terkejut.
"Alisya, nanti dulu."
Alisya senyum hambar. Berpusing sejenak menghadap Zafrul.
"Kau tahu kan. Kita dah lama berkawan. Selama hari ni... Aku tak pernah sekali pun menipu dalam persahabatan kita. Aku anggap kau istimewa..." akuinya. Ada kelukaan di sebalik nada itu.
Zafrul tersentak.
"Aku cuma tak nak kau..." gelengnya. Dia membuka mulut semula, mencari kekuatan untuk bersuara. Tidak mahu Alisya salah faham.
"Tak nak aku cuba halang kau sama macam apa yang aku buat dekat Raf, kan?" duga Alisya dengan panahan tajamnya.
Zafrul terdiam.
"Sebab kau tak sukakan Qis. Nampak benci sangat dengan Qis. Aku malas nak berterus terang. Itu aje." Jawab Zafrul. Dia cuba membela diri di depan Alisya.
"Kenapa kau buat aku macam ni, Zafrul?" Alisya sebak.
Dia memandang anak mata hitam itu dalam-dalam, mengharapkan jawapan. Namun, Zafrul tidak membalas apa-apa. Alisya semakin dilanda kecewa.
"You know what? Mungkin dah tiba masanya untuk kita..." Alisya pejam matanya sesaat. Tak jadi meneruskan kata. Kemudian dia menggeleng bersama senyuman pahit.
Tak menunggu lama, dia berlalu pergi meninggalkan Zafrul bersendirian. Ayunan kakinya itu terlalu lemah. Saat ini juga dia terasa mahu rebah. Entah mengapa, hatinya terlalu sakit. Lebih menyakitkan lagi kerana Zafrul langsung tidak memanggil namanya... mengejarnya... sama seperti Raffa mengejar Qistina tadi. Hanya membiarkan dia berlalu begitu saja.
Alisya benar-benar tidak faham... apa kena dengan dirinya? Adakah dia mengharapkan Zafrul akan melayani dirinya begitu sekali? Turut menganggapnya juga istimewa? Sungguh menghairankan.
Kerana... kesakitan yang dia rasakan saat mendengar pengakuan yang terbit daripada mulut Zafrul itu, rupanya, jauh lebih menyakitkan berbanding perlakuan Raffa. Dia juga menyedari perubahan Raffa sejak mula. Tetapi... Zafrul?
Zafrul... bibirnya menyebut nama itu perlahan.
Dia kini tiada sesiapa. Sepasang matanya mulai berkaca. Sebelum akhirnya tumpah perlahan-lahan satu per satu membasahi pipi mulusnya.
Alisya teruskan ayunan langkahnya itu entah ke mana...
_
ZAFRUL mengambil peluang yang ada hari itu untuk bertemu Qistina. Dia tersenyum sebaik ternampak kelibat Qistina.
"Qis, awak free ke? Ada hal yang saya nak cakap." Katanya.
Qistina mematikan langkahnya. Berpusing lalu, menghadap Zafrul. Dia beriak tenang.
"Hal apa?"
"Ermm..." Zafrul memikirkan sesuatu.
"Jom, saya belanja awak minum dekat uptown." Pelawanya.
Dia nampak benar-benar ikhlas. Qistina tidak membalas.
"Qis, saya nak cakap pasal Alisya. Itu pun sebabnya saya nak ajak awak berbual. Please?" Zafrul bernada memujuk.
Qistina akhirnya mengangguk setelah beberapa ketika. Zafrul bermuka puas hati. Setelah itu barulah mereka sama-sama menuju ke sebuah kafe. Mereka duduk di satu meja sambil meneruskan perbualan.
"Saya nak awak tahu yang Raf tu playboy orangnya. Dia dah banyak sangat mainkan hati perempuan yang dia dah kenal sebelumnya." Zafrul bersuara, seakan memberi amaran.
Qistina terdiam.
"Sebagai kawan baik Raf, saya lebih tahu dia tu macam mana. Percayalah, Qis. Saya tak tipu." Ucap Zafrul.
Qistina tersenyum kecil. "Betul ni? Awak betul-betul kenal Raf?" duganya.
Zafrul angguk kepala.
"Okey, tapi... Kalau saya cakap awak bukanlah kawan baik yang boleh dipercayai... Awak marah tak?"
Dahi Zafrul berkerut. "Sebab apa awak cakap macam tu?"
Qistina menjeling.
"Awak cakap Raf macam tu. Kalau betullah awak ni kawan baik Raf, tak patut awak sengaja buruk-burukkan nama Raf di depan saya atau pun orang lain." Sindirnya.
Zafrul tersenyum tanpa sedikit pun berkecil hati dengan sindiran tajam itu. Dia menyandar ke belakang sambil memeluk tubuh. Pandangannya tertancap tepat ke muka Qistina.
"Saya takkan percaya. Awak cakaplah apa pun tentang Raf. Saya tahu Raf tu siapa." Qistina bersuara.
Zafrul menyedari sesuatu. Baik Qistina mahu pun Raffa, cuba mempertahankan di antara satu sama lain. Dia kini yakin... mereka sebenarnya sudah suka sama suka.
Zafrul angguk faham. "Baik, kalau macam tu..."
"Sebenarnya Qis, saya sengaja cakap macam tu tadi." Senyumnya.
Qistina tersentak.
"Ya. Saya kononnya sengaja nak burukkan Raf di depan awak sebab... Saya nak tengok. Nak pastikan sama ada betul ke tidak apa yang saya rasa selama ni." Kata Zafrul.
"Apa dia yang awak rasa?" tanya Qistina.
Zafrul diam sejenak.
"Saya dapat rasa yang baik awak atau pun Raf... Dah saling jatuh cinta." Akui Zafrul.
Belum sempat Qistina nak membuka mulut, suara Zafrul terlebih dulu memotong.
"Sebelum awak cakap apa-apa, dengar dulu apa yang saya nak cuba sampaikan ni." Katanya.
Qistina beralah. Membiarkan saja Zafrul meneruskan kata-katanya.
"Awak tak boleh menidakkan semua ni, Qis. Baik saya atau pun Alisya, kita semua tahu. Kan? Hakikatnya... Raf pun sama macam awak. Saya pun tak faham kenapa Raf beria-ia cuba nak sorokkan perasaannya dan terus berpura-pura. Kononnya, dia cuma nak main-mainkan awak aje. Ajak awak keluar itu semua... Awak bukanlah gadis pertama yang keluar dengan Raf. Dah berapa ramai perempuan yang Raf kenal... Dia dah main-mainkan. Saya risau... Raf bertindak terus mempermainkan perasaan awak sepertimana apa yang dia pernah buat dekat perempuan lain sebelumnya. Jangan kata yang saya tak bagi amaran." Zafrul berkata penuh makna.
Qistina mula memikirkan kata-kata Raffa semalam. Benarkah Raffa sebenarnya tengah mempermainkan dirinya? Sama seperti kebanyakan bekas teman wanita Raffa?
Dia masih ingat ucapan tulus itu. Raffa nampak jujur saat menuturkannya. Tetapi... dia juga tidak mahu berharap sangat yang mereka akan berhubungan lebih daripada sekadar kawan. Baginya Raffa dilihat lebih kepada berniat mahu mengusik.
Tak dinafikan sedikit-sebanyak dia terkesan juga dengan kata-kata manis yang Raffa ucapkan. Dia hanyalah gadis normal. Tetap memiliki hati dan perasaan. Takut seandainya dilukakan...
Zafrul tarik nafas perlahan.
"Satu lagi yang awak tak tahu pasal Raf... Dia..." kata itu terhenti.
Dia lekas menggeleng.
"Tak apalah." Ucap Zafrul. Dia berdeham. Buat-buat biasa.
Qistina tertanya-tanya. Tidak pasti apa yang mahu disampaikan Zafrul itu.
"Cuma satu aje yang buatkan awak ni berbeza daripada ex Raf yang lain-lain tu. Awaklah yang pertama berjumpa dengan mama Raf. Sebelum ni... Mana ada Raf kenalkan mana-mana perempuan dengan keluarganya. Saya tahu Raf tak pernah nak serius dengan perempuan. Kalau Raf bertindak nak main-mainkan awak, saya takkan biarkan." Ujar Zafrul dengan panjang lebar. Rahangnya bergerak dengan muka serius.
Qistina diam membisu.
"Saya juga sedar yang awak tak pernah anggap saya ni lebih daripada seorang kawan. Kan? Tak pernah pun awak cuba nak terima saya sampai ke hari ni." Zafrul berkata pahit.
"Zafrul... Saya... Tak nak awak berharap apa-apa. Maafkan saya." Qistina membalas.
"Saya yakin, sesiapa pun akan bertuah bila dapat kawan macam awak. Awak sangat baik, Qis. Tak pernah nak aibkan sesiapa. Belum pernah lagi saya dengar cerita yang tak elok pasal saya cuba dekati awak. Awak tak bercerita dekat sesiapa tentang saya pun, kan?" Zafrul angkat kening sebelah.
Qistina angguk perlahan seraya membalas pandangan itu.
"Pasal Alisya... Saya harap awak dapat maafkan dia dan lupakan kata-kata dia yang tak patut tu. Alisya tak betul-betul kenal awak. Dia fikirkan yang awak cuba nak rampas Raf daripada dia. Walaupun hakikatnya, Raf tak pernah pun anggap dia lebih-lebih." Kata Zafrul.
"Saya lebih selesa anggap Raf tu kawan." Qistina berkata yakin.
Zafrul tersenyum. Dia langsung tidak berkata apa.
"Apa pun, lepas ni saya harap awak faham apa tujuan saya cakap macam ni. Saya faham. Awak malu nak mengaku perasaan sendiri, kan." Katanya.
Qistina tersentak.
Dia memikirkan kata-kata itu. Ada sesuatu yang menyebabkan dia terpaksa merahsiakannya... hal yang selama ini menjadi penyebab kenapa dia jadi terlalu dingin dengan mana-mana lelaki. Termasuklah... Raffa.
Benarlah hatinya itu sedingin salju.
Hakikatnya Zafrul tidak tahu apa-apa pun tentang dirinya. Dia sudah meletakkan 'jarak' itu. Dia tak mampu membuka pintu hatinya itu buat kaum Adam.
Entah sampai bila... mungkin selamanya begitu agaknya.
Share this novel