Series
531
AROMA kopi yang baru dibancuh memenuhi ruang Astaka Café. Ia merupakan salah sebuah kafe eksklusif yang terletak di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur. Ramai golongan kaya dan terkenal sering berkunjung serta meluangkan masa lapang mereka di situ. Di dalam salah sebuah bilik VIP kafe itu, satu perbualan hambar sedang berlangsung.
Putri Daria kelihatan tenang dan penuh keyakinan. Wanita bertubuh langsing itu duduk dengan anggun sambil menghirup segelas kopi americano. Ketika dia meletakkan cawannya, dia dapat merasakan satu pandangan tajam sedang ditujukan kepadanya. Daria menoleh ke arah lelaki yang duduk bertentangan dengannya. Sepasang matanya yang hitam seperti malam bertembung dengan mata lelaki itu yang berwarna hazel yang sangat cantik.
Bibir merah Daria mengukir senyuman sopan. Pandangan tajam lelaki itu membuatkannya berasa tidak selesa, tetapi dia tidak mampu berkata apa-apa kerana identiti lelaki tersebut.
Lelaki bertubuh tegap di hadapannya bernama Tengku Malik Ridzwan. Dilahirkan sebagai anak lelaki ketiga dalam sebuah keluarga konglomerat, dia telah menjadi presiden salah sebuah syarikat hartanah terkemuka di Asia pada usia 28 tahun. Hartawan muda itu cukup berkuasa untuk menghancurkan perniagaan keluarga Megat Sudirman hanya dengan menjentikkan jarinya.
Tengku Malik bersandar malas pada kerusi dan menyilangkan kakinya sambil memberikan senyuman santai kepada Daria. Namun begitu, gadis itu berasa tidak selesa melihat lelaki yang duduk seperti seorang yang berlagak di hadapannya. Daria segera mengalihkan pandangan, tanpa menyedari bahawa senyuman Tengku Malik menjadi kaku disebabkan tindakannya itu.
Tiba-tiba, lelaki yang duduk di sebelah Daria berdeham, memecahkan kesunyian. Megat Sudirman tersenyum lebar lalu berkata, “Tengku Malik, perniagaan saya kini mendapat sokongan penuh daripada keluarga Tengku Mansur, semuanya kerana pertolongan tuan. Saya memberi jaminan bahawa projek pembinaan ini akan mencapai kejayaan besar.”
Megat Sudirman tersenyum bangga memandang Tengku Malik yang tegang sahaja riak wajahnya itu.
“Saya dan anak perempuan saya benar-benar berterima kasih kepada Tengku Malik!” kata Megat Sudirman sambil menendang kecil kaki Daria di bawah meja.
Daria memandang Tengku Malik semula dengan berat hati. “Terima kasih, Tengku Malik.”
“Tak perlu nam terlalu formal kat sini,” balas Tengku Malik dengan dingin sambil menyilangkan kedua-dua tangannya. Dia tidak mengendahkan Megat Sudirman, sebaliknya matanya terus terpaku pada Daria.
“Apa?” tanya Daria pendek. Dia tidak menyukai cara lelaki itu bercakap kepadanya seolah-olah dia seorang perempuan penggoda.
“Berapa umur you tahun ini?” tanya Tengku Malik dengan nada yang sedikit lebih mesra.
Daria mengangkat kening hitamnya yang lebat. “26.” Jawapannya ringkas.
Tengku Malik mengerutkan dahi. “You…” Dia mula berkata, tetapi akhirnya membatalkan kata-katanya. Dirinya diselaputi rasa jengkel terhadap sikap dingin Daria.
Lelaki itu bangun dari kerusinya dengan gerakan yang malas. Ketinggiannya yang mencecah 183 sentimeter memaksa Daria dan Megat Sudirman mendongak untuk memandang matanya.
“Sekiranya tiada apa-apa lagi yang mahu dibincangkan, saya dah terlambat untuk menghadiri sebuah mesyuarat penting,” katanya sebelum meninggalkan bilik itu dengan langkah santai. Anak lelaki ketiga keluarga Tengku Mansur itu langsung tidak mengucapkan selamat tinggal.
Megat Sudirman memecahkan kesunyian dengan satu keluhan kuat. Daria hampir terlompat dari kerusinya sebelum menoleh ke arah ayahnya.
Megat Sudirman bertanya, “Apa pendapat Daria tentang Tengku Malik?”
Daria mengangkat kening dengan wajah kebingungan. “Hah? Benda ni ada kaitan ke kenapa Daria kena ke sini?”
Megat Sudirman tidak menjawab soalan Daria. Sebaliknya, dia menghirup kopinya. Selepas meletakkan cawan itu, dia membuka mulut, tetapi segera menutupnya kembali. Beberapa saat kemudian, Megat Sudirman mula bersuara.
“Keluarga Tengku Mansur telah bersetuju dengan perkahwinan Daria dan Tengku Malik. Hari ini, baba diminta membawa Daria ke sini untuk bertemu dengan dia.”
“Apa?! Kahwin?!” Daria segera bangun lalu menghentak meja. Dia tidak peduli bahawa tindakannya telah menyebabkan kopi tertumpah ke atas permaidani mahal itu. “Baba bergurau, kan?!” kata Daria sambil menjeling tajam.
Megat Sudirman hanya memandang Daria dengan wajah tenang dan serius.
Daria terus memarahi ayahnya. “Kenapa baba tiba-tiba nak kahwinkan Daria ni? Daria masih terlalu muda! Lagipun, mana naknya keluarga Tengku Mansur nak terima Daria?!”
“Daria, keluarga kita tengah hadap krisis kewangan. Kita memerlukan bantuan kewangan daripada keluarga Tengku Mansur,” kata Megat Sudirman, menegur Daria. “Perkahwinan antara dua legasi ini merupakan satu-satunya cara untuk memastikan keluarga kita terus bertahan. Daria seorang anak yang bijak. Daria tentu boleh faham, kan?”
Wanita muda itu menjeling tajam ke arah Megat Sudirman. “Jadi, baba menjual Daria dekat dorang?”
Megat Sudirman hanya menghirup kopinya tanpa menjawab. Namun, Daria sudah mengetahui jawapan kepada soalannya itu.
Daria menggenggam kedua-dua tangannya erat-erat supaya dia tidak memukul ayahnya. Walaupun selama ini dia dilayan dengan dingin oleh keluarganya, dia tetap percaya bahawa mereka tidak akan sesekali mengorbankan anak perempuan mereka demi wang. Kini, dia sedar bahawa wang adalah segala-galanya bagi Megat Sudirman. Lelaki itu langsung tidak akan teragak-agak untuk menjual anak perempuannya demi memperoleh keuntungan.
SEPANJANG perjalanan pulang, Daria dan Megat Sudirman langsung tidak bercakap. Daria termenung sambil memandang kosong ke luar tingkap kereta. Langit petang kelihatan mendung dan berkabus, sama seperti perasaannya.
Sebaik sahaja tiba di rumah, Daria mengurung dirinya di dalam bilik. Dia enggan makan malam dan memilih untuk bersendirian di beranda.
Keputusan ayahnya tidak boleh dibantah. Daria langsung tidak mempunyai pilihan dalam perkahwinan ini.
Namun begitu, Daria tidak mampu menerima keputusan itu begitu sahaja. Dia tidak pernah bertemu dengan Tengku Malik sebelum hari ini. Tambahan pula, keluarga Tengku Mansur bukanlah sebuah keluarga biasa. Jika dilihat pada keluarga-keluarga kaya yang lain, kebanyakan daripada mereka berkahwin demi kepentingan perniagaan. Adakah kebahagiaan benar-benar wujud dalam perkahwinan seperti itu?
Dia baru saja dapat membuka sendiri jenama pakaiannya, malah menjadi muka depan untuk jenama bajunya yang bakal masuk antara acara terkemuka di Malaysia. Ini merupakan langkah pertamanya dalam merealisasikan impian besarnya. Sejak kecil, Daria sentiasa bermimpi untuk menjadi seorang pereka fesyen yang terkenal di seluruh dunia. Sudah tentu dia tidak mahu dikurung seperti seekor burung di dalam sangkar hanya kerana sebuah perkahwinan.
Dia perlu buat sesuatu untuk masa depannya sendiri. Terus dia menghubungi seseorang yang dia tahu mempunyai semua nombor orang penting di dalam Malaysia ini.
“Helo? Hai, sorry kacau. Tolong I boleh? Hmm, I nak nombor telefon Tengku Malik Ridzwan.”
Share this novel