Series
531
MEMANG susah untuk mendapatkan nombor telefon Tengku Malik Ridzwan. Nombor pejabatnya juga sukar untuk ditembusi. Dia malas untuk meminta bantuan babanya kerana dia tidak mahu sesiapa tahu tentang rancangannya ini.
Dia tahu lelaki seperti Tengku Malik itu cuma mahu menunjukkan kuasanya dalam membeli seseorang dan maruah seseorang. Padahal kalau dia mahu berkahwin pasti calon-calonnya sudah beratur dari sini sehingga ke Singapura.
“Mesti ada cara. Mesti ada cara. Mesti ada cara.”
Terus Daria tersenyum dan tergelak nipis. Dia tahu dia akan memecah masuk pejabat babanya di rumah ini dan mendapatkan iPad babanya untuk dia mencari nombor telefon pejabat Tengku Malik.
Itu saja cara yang dia ada.
Entah kenapa dia tidak suka dengan aura lelaki itu. Ya, memang diakui lelaki itu punya segala-galanya cuma dia tidak suka dengan kesempurnaan yang diperlihatkan itu.
“Cara pandangan dia pun dah sesuatu. Entah-entah ada perangai pelik-pelik bila jadi suami isteri nanti. Mintak yang bukan-bukan. Oh, mintak simpanglah ya,” bebel Daria keseorangan sambil menggeleng laju.
Hidupnya pernah berada di tahap bawah dan kini dia baru mendapat rentak ketika semua orang telah selesa di tempat masing-masing.
Setelah memastikan keadaan di rumah tenang. Daria terus memulakan langkahnya dengan cermat. Dia tahu apa yang perlu dia lakukan. Jika tertangkap pun dia kena pastikan dia akan mendapatkan nombor telefon Tengku Malik.
Daria tersenyum bila melihat iPad babanya berada cantik di atas meja kerjanya. Lantas dia menaip nama Tengku Malik dan terus keluar. Dia tersenyum lalu menyalin nombor itu.
Yes! Berjaya!
KEESOKAN harinya, Daria sudah tidak sabar untuk menunggu pertemuannya bersama Tengku Malik. Awal pagi tadi dia menghubungi dan kini lagi 10 minit untuk pukul 12.00 tengah hari dia sudah berada di lobi pejabat Tengku Malik yang mewah ini.
Walaupun hanya mengenakan cermin mata lut sinar, kemeja longgar dan seluar denim yang kasual, penampilan Daria tetap menyerlah. Sambil menghirup secawan americano, dia terus memerhatikan pintu masuk lobi.
Setengah jam sudah berlalu daripada waktu pertemuan yang dijanjikan, namun Tengku Malik masih belum muncul. Daria mengerutkan dahi, tertanya-tanya sama ada lelaki itu sengaja mempermainkannya.
Ketika Daria sedang mengomel dalam hati tentang Tengku Malik, seorang lelaki dia kenali sedang lalu di lobi dengan keadaan tergesa-gesa
“Encik Hakim!”
Para pekerja yang sedang lalu di lobi segera menyapa lelaki itu dengan penuh hormat.
Daria hanya mengerling sekilas ke arah lelaki bernama Hakim itu sebelum kembali memandang telefon pintarnya. Dia sedang memikirkan untuk menelefon pejabat Tengku Malik sekali lagi atau tidak. Namun, satu suara lelaki yang lembut dan sopan memutuskan lamunannya.
“Excuse me. Are you Miss Putri Daria?”
Daria mendongak dan melihat Hakim berdiri di hadapannya. Dia mengangguk.
“Yes. Do I know you?”
“Oh, saya kenalkan diri saya. Saya Abdul Hakim, pembantu kepada bos Tengku Malik. Tengku meminta saya membawa cik ke pejabat di tingkat atas. Cik boleh menunggu di sana sehingga mesyuarat Tengku selesai,” jelas Hakim dengan senyuman mesra.
Sikapnya benar-benar bertentangan dengan bosnya yang angkuh itu.
“Oh, okey. Boleh.” Daria mengangguk dan tersenyum. “Maaf menyusahkan Encik Hakim.”
“Tak adalah. Langsung tak menyusahkan. Cik boleh panggil saya Hakim je,” balas Hakim dengan senyuman ramah.
Hakim mengiringi Daria ke pejabat Tengku Malik. Sebaik sahaja dia melangkah masuk ke dalam bilik itu, udara yang teramat sejuk terus menyambutnya.
Bapak sejuk. Panas sangat agaknya Tengku Malik tu. Baran kut dia tu.
Dalam beberapa saat sahaja, Daria sudah mula menggosok kedua-dua tangannya untuk memanaskan badan. Kemeja longgar nipis yang dipakainya langsung tidak mampu menahan kesejukan itu.
Hakim pula bertindak seolah-olah tiada apa-apa yang pelik. Selepas memastikan Daria duduk dengan selesa di atas sofa, dia meletakkan segelas air di atas meja.
“Cik Daria, sila tunggu di sini. Mesyuarat Tengku Malik akan tamat tidak lama lagi.”
“Terima kasih.” Daria mengangguk. “Erm… suhu kat dalam bilik ini terlalu sejuk. Boleh naikkan sikit ke?”
“Maaf, tetapi Tengku Malik melarang kami menyentuh apa-apa di dalam bilik ini,” jawab Hakim dengan sopan.
Daria hanya mampu mengangguk. Hakim kemudiannya meminta diri lalu meninggalkan bilik tersebut.
Selepas beberapa ketika, Daria mula berasa bosan lalu memerhatikan keadaan di sekeliling pejabat itu.
Perabot di dalam bilik tersebut diperbuat daripada kayu padu dan kelihatan mahal. Sebuah tingkap kaca besar memenuhi salah satu sisi bilik, membolehkan cahaya matahari masuk dengan mudah, tetapi langsirnya tertutup rapat. Sebuah rak besar yang dipenuhi buku-buku bahasa asing menutupi dinding di sebelah kiri.
Secara keseluruhannya, pejabat itu kelihatan ringkas, praktikal dan elegan.
Pandangan Daria kemudian jatuh pada meja kerja Tengku Malik. Permukaannya dipenuhi timbunan dokumen yang tersusun rapi.
Daria tidak dapat membayangkan seorang lelaki angkuh seperti Tengku Malik menghiasi mejanya dengan bingkai gambar. Bingkai itu berwarna biru langit dan kelihatan agak keanak-anakan.
Rasa ingin tahunya mula membuak-buak.
Daria menoleh ke arah pintu lalu memasang telinga. Di dalam bilik yang sunyi itu, hanya kedengaran bunyi dengungan penghawa dingin.
Setelah memastikan keadaan selamat, Daria bangun lalu berjalan menghampiri meja tersebut.
Selepas tiga langkah, dia berhenti di hadapan meja Tengku Malik lalu menghulurkan tangan ke arah sekeping gambar. Jari-jemarinya yang runcing mencapai gambar tersebut sebelum melihatnya dengan teliti.
“Eh?”
Untuk seketika, Daria tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.
Seorang wanita muda yang tersenyum cantik sedang memandangnya dari dalam gambar tersebut. Wanita itu mengenakan gaun yang pernah cantik dan sedang berjalan di atas pentas pertunjukan fesyen.
Wajah wanita itu kelihatan sangat dikenali.
Itulah wajah yang selalu dilihat Daria setiap kali dia memandang cermin.
Dengan kata lain, gambar itu ialah gambar dirinya sendiri!
Sebelum Daria sempat menghadam maklumat tersebut, pintu pejabat tiba-tiba terbuka luas.
Daria tersentak lalu berpaling ke arah pintu, menyebabkan rambut hitamnya terayun ke sisi seperti langsir yang diselak.
Pemilik bilik itu melangkah masuk dengan kot hitam tersangkut pada lengannya. Tengku Malik sedang membuka butang paling atas kemeja putihnya ketika dia ternampak Daria.
Kedua-duanya kelihatan sama-sama terkejut.
Kemudian, pandangan Tengku Malik jatuh pada sekeping gambar di tangan Daria. Sekelip mata, sorot matanya berubah tajam.
Daria menggenggam gambar itu dengan lebih erat sebelum bertanya dalam nada dingin.
“Kenapa awak simpan gambar saya?”
Share this novel