Kedengaran bunyi ayam berebut-rebut mematuk buah mangga yang ku buang di halaman rumah. Aku tersenyum. Syukur aku lebih awal bangun dan menangi persaingan dengan memungut buah mangga itu. Kalau tak, tentu ayam-ayam itu sudah dulu menjamah mangga yang elok. Kami bertolak ke sekolah berbekalkan masakan mak dan pesanan ayah. Kanak-kanak sekampung denganku memang sudah terbiasa dengan jarak tiga kilometer dari rumah ke sekolah sekali perjalanan. Pemandangan ketika meniti jambatan gantung, melalui sungai dan jalan raya belum berturap sedikit sebanyak memujuk penat.
Perjalanan yang mencabar itulah pentingnya bekalan nasihat daripada mak dan ayah. Kami bertiga tiba ke sekolah awal. Aku tak pernah memegang rekod lewat ke sekolah walau aku masih kecil untuk melalui perjalanan jauh. Malah staminaku pasti sudah kuat. Bayangkan saja keseluruhan perjalanan enam kilometer sehari. Lima kali sehari pula tu. Aku juga hairan. Rakan-rakan sebaya yang tinggal berhampiran dengan sekolah pun selalu kena denda dek lewat. Manja barangkali, aku pun tak pasti. Loceng sekolah berbunyi tanda waktu rehat telah tiba. Seperti biasa, aku mengeluarkan buah mangga yang kukutip dan mempromosikan kepada rakan-rakan sekelas. Aku dikerumuni dan sekejap saja jualanku laku. Rakan-rakanku yang kehabisan sanggup meminta sedikit bahagian mangga itu daripada rakan-rakan yang berjaya membelinya. Mereka mencecah buah mangga itu dengan garam dan cili yang kusediakan di dalam plastik kuih. Aku biarkan saja mereka menikmati buah mangga itu beramai-ramai.
Aku bergegas ke arah kelas kakak dan kemudian ke kelas abangku untuk membahagikan wang jualan seperti yang selalu kubuat. Empat ringgit aku peroleh kesemuanya. Masing-masing memperolehi seringgit seorang termasuk bahagian untuk tabung yuran sekolahku. Aku dan adik beradikku tak pernah meminta wang belanja ke sekolah. Bekalan yang ibu sediakan sajalah menjadi belanja kami. Lagipun, kami layak menerima Rancangan Makanan Tambahan di sekolah. Mak juga melarang kami untuk menerima huluran percuma daripada rakan-rakan atau orang yang tak dikenali apatah lagi meminta-minta. Selesai saja pembahagian wang, aku membeli ayam goreng seringgit di kantin sebagai lauk-pauk. Maklumlah, bekalan yang mak sediakan berupa nasi kosong sahaja. Meskipun begitu, makanan itu lebih baik daripada makan ubi saja atau tak ada makanan. Aku jarang makan makanan percuma itu kerana aku pernah sakit teruk dan muntah di sekolah selepas makan makanan bantuan tersebut.
Mungkin kebetulan perkara itu berlaku, tapi aku sudah fobia. Antara rakan sekelasku, hanya Thaif yang menyindir makanan ringkasku itu. Tapi telingaku dah tebal dengan caciannya. Asal dapat makan, kenyang, bukan hasil curi, sudah. Hanya itu yang berlegar di benak fikiranku. Mata pelajaran akhir hari itu ialah bahasa Melayu. Cikgu Deana menguji kami membaca seorang demi seorang sebelum pulang. Thaif mendapat giliran ujian membaca sebelum aku. Lama juga Thaif berada di depan tanpa suara. Cikgu Deana membiarkan dia berdiri di hadapan dan terus memanggil giliranku. Aku membaca ayat dalam teks yang berada di atas meja guru sebaik mungkin.
“Hah, murid-murid, contohi Latifah . Latifah tak sekolah tadika tau. Bukan macam Thaif ni,” puji Cikgu Deana . Habis kembang hidung aku apabila dipuji sebegitu. Thaif menjelingku. Aku buat-buat tak tahu. Nasib baiklah aku sudah awal-awal diajar di rumah. Aku pulang dengan gembira dan menceritakan hal itu pada mak dan ayah. Mereka turut memujiku, hatiku bertambah kembang, bangga. Hari Jumaat peluang akhir bagiku menjual secara curi-curi di sekolah.
Aku sudah awal-awal memasang niat melunaskan yuran hari itu selepas kelas habis kerana guru-guru biasanya masih berada di bilik guru. Waktu rehat hari itu, aku dan kakakku makan bersama-sama di belakang bangunan kelas.
“Kasihannya,” kata pak cik pekebun yang lalu di situ. Kami hanya berpandangan dan tersenyum ke arah pak cik itu dan terus menjamah nasi berlauk ikan bilis saja. Beberapa minit setelah selesai makan, loceng berbunyi petanda rehat telah tamat. Kami terpaksa bergegas ke kelas masing-masing. Sesi pembelajaran dan pengajaran tamat awal hari itu kerana adanya solat Jumaat. Aku memasukkan buku ke dalam begku. Mukaku bertukar merah. Aku baru perasan, duit dalam plastik yang kusimpan dalam beg sudah tiada. Aku mula gelabah.
Share this novel