Rate

BAB 3

Family Completed 399

Thaif yang berada di ambang pintu kelas menghala ke arahku lalu menjelirkan lidah sambil memicit pipinya dan terus berlari meninggalkanku. Aku yakin dialah pelakunya. Hatiku benar-benar terguris dengan perbuatan rakan sekelasku itu. Hasil wang yang kukumpul hasil kerja kerasku selama ini untuk membayar yuran kelas lenyap begitu saja. Aku duduk di bangku kayu kelas dan menangis teresak-esak untuk melepaskan rasa sakit di hati. Tiada siapa yang sedar akan hal itu kerana murid-murid sudah keluar. Aku berasa bingung kerana tarikh akhir pembayaran yuran kelas itu, Isnin depan. Esok cuti, tak dapat jual di sekolah. Kalau nak jual dalam jumlah yang banyak pada hari Isnin, aku tak mungkin mampu mengangkat melebihi berat sepuluh biji mangga, buku teks dan bekalan makanan dengan perjalanan yang jauh.

Jika kakak dan abangku bantu sekalipun, hasil jualan tak mungkin mencecah jumlah yuran tu dalam sehari. Tangisanku semakin kuat apabila memikirkan hal itu. Bagi aku, 50 ringgit 50 sen itu sangat mahal. Aku bukannya anak orang berada. Senang-senang saja dapatkan nilai wang sebegitu. Minta sesuatu daripada mak pun berat mulutku menyuarakannya. Aku mencapai beg dan mula berjalan lesu keluar dari kelas untuk pulang kerana aku takut mak akan risau kalau aku pulang lambat. Aku mengesat air mata di pipi yang masih bersisa dengan kedua belah tanganku sambil meneruskan langkah lemah longlai. Sepanjang perjalanan pulang, aku berfikir cara untuk menamatkan serabut di kepalaku.

Namun, tiada sebarang ilham kuperolehi. Agak petang juga aku sampai rumah dengan kepantasan langkah kaki budak kecil berumur tujuh tahun. Aku tertidur dengan persoalan yang belum terjawab. Mak perasan perubahanku sejak aku balik. Hari sudah gelap sewaktu mak mengejutkan aku. Mak menyuruh aku makan. Aku makan sikit saja dan tidur semula. Aku terjaga apabila bunyi seseorang meniup menggunakan buluh silinder di dapur. Aku tahu itu mak tapi aku bingkas bangun untuk melihatnya sendiri. Mak memandang ke arahku lalu menghulurkan kuih ubi kukus yang dah siap dimasak. Aku memakannya dengan lahap.

Kemudian, aku membantu mak meniup api sambil mengesat air mata yang mengalir dek asap dapur kayu itu. Peniup api buluh itu kusimpan di tepi apabila api sudah marak dan mengambil kuih yang tertimbun di besin. Ada juga kuih yang mak dah susun dalam plastik kuih. Awal pagi itu, aku menemani mak menjual kuih dari rumah ke rumah. Kami pun balik ke rumah setelah siap menjual. Lebih dua puluh lima ringgit juga pendapatan hari itu walaupun ada juga yang dihutang orang. Keesokan harinya, kami menjual lagi tapi kali ini ada sayur dan kuih jenis lain sebagai tambahan. Aku sangat gembira tetapi masih sukar untuk menyuarakan permintaan wang kepada mak. Sebelum ke sekolah pada hari Isnin, mak menghulurkan wang 51 ringgit kepadaku termasuk seringgit sebagai belanja sekolah. Kakak dan abang juga mendapat seringgit seorang. Aku sangat terkejut.

Menurut mak, aku mengigau sambil menyebut-nyebut yuran tu. Betapa leganya hatiku. Di sekolah, aku sentiasa membawa duit itu bersama. Sehinggalah aku berjaya bayar yuran itu. Aku keluar daripada bilik guru sambil menghembuskan nafas lega. Hari itu, aku balik ke rumah bersama-sama rakan sebayaku. Kakak dan abangku masih ada kelas tambahan kerana sudah tahap dua iaitu masing-masing darjah empat dan enam. Aku pula terkecuali kerana masih tahap satu. Dari jauh lagi aku sudah memanggil-manggil mak aku. Mak yang sedang baring melunaskan lelah di ruang tamu tetap tangkas menyahut panggilanku. Aku pantas menaiki tangga uzur rumah dan menanggalkan kasut di kaki lima. Kemudian aku berlari masuk mendapatkan mak.

“Terima kasih mak, Pooi dah bayar yuran tadi,” laporku teruja dan dalam keadaan berpeluh. Pooi adalah nama manjaku yang dipanggil mak. Mak memandangku sambil tersenyum. Aku meletakkan beg di tepi dinding dan baring di bawah ketiak mak. Kepalaku diusapnya lembut sehingga aku tak sedar, aku terlelap dengan belaian paling indah itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience