BAB 2

Horror & Thriller Completed 4239

“RANIA nak pergi mana tu?” soal Rayyan dari dalam biliknya sebaik sahaja melihat Rania bangun daripada kerusinya. Rania yang baru sahaja mahu melangkah berhenti seketika dan menjengukkan kepalanya ke dalam bilik Rayyan. Bibirnya mengukir senyum.

“Rania nak pergi jumpa Encik Hadi sekejap ambil fail,” ujar Rania dengan senyuman yang masih tidak lekang di bibirnya.

Rayyan hanya mengangguk seolah-olah memberikan keizinan kepada Rania untuk berjumpa salah seorang pegawai eksekutif di dalam syarikatnya itu. Lantas, Rania meneruskan langkahnya menuju ke bilik Encik Hadi. Rayyan pula hanya melihat gadis tinggi lampai itu yang kelihatan anggun dengan baju kurung kuning cair berlalu pergi daripada biliknya.

Sejak akhir-akhir ini rasa cemburunya meluap-luap apabila melihat keakraban Rania, kekasih hatinya itu dengan Encik Hadi. Walaupun Rania bukan jenis yang melayan, namun perwatakan Encik Hadi yang kaki perempuan itu menambah curiga dalam hatinya kepada Rania. Siapa tahu Rania akan berpaling hati daripadanya.

Rayyan menumbuk meja sekuat hati. Kertas yang ada di atas mejanya ditolak kasar. Ada di antaranya yang terbang dan jatuh ke lantai. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia memberhentikan Encik Hadi daripada syarikatnya itu sekarang juga. Namun, kerana polisi syarikat, dia tidak boleh bertindak sesuka hati. Rayyan meraup mukanya beberapa kali. Badannya disandarkan ke kerusi. Sebuah keluhan berat dilepaskan. Dia masih memikirkan cara bagaimana untuk menjarakkan hubungan Encik Hadi dengan Rania.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience