Completed
260
Gila! Memang gila! Tubuh Salman tiba-tiba berasa seram sejuk. Menggigil!
Kecut perut dia ketika itu apabila melihat kucing yang berwajah hodoh
tadi sedang berada di tempat duduk belakang dalam keretanya. Sejak bila?
Salman hanya tertanya-tanya sendiri dalam hati. Langsung tidak berani
untuk bersuara.
Salman menjeling sejenak melalui cermin pandang belakang. Mata kucing
tersebut sedang tajam memerhatikannya. Mata haiwan itu kelihatan
bercahaya. Merah menyala. Seakan ada dendam yang tersimpan. Seriau
Salman dibuatnya. Cepat-cepat Salman memberhentikan keretanya di tepi
jalan. Dia mahu menghalau kucing pelik itu berambus daripada keretanya.
Sudahlah bau busuk!
‘’Keluar kau sekarang kucing hodoh,busuk!Hishhh gelilah aku!’’
Salman menendang kucing itu keluar daripada keretanya. Tiba-tiba dengan
tidak semena-mena kucing tersebut berubah wajah. Kucing itu bertukar
menjadi satu makhluk yang amat mengerikan. Kedua-dua belah biji matanya
tersembul keluar.
Darah menitik-nitik keluar daripada bebola matanya yang sudah hampir
terkeluar itu. Cecair pekat kemerahan yang menitik keluar dari bebola
matanya itu berbau busuk hamis darah. Terus hilang rupa kucing yang
kasihan tadi.
Saiz badannya yang kecil tadi semakin lama semakin membesar. Kini yang
wujud di depan mata Salman adalah sejenis makhluk yang amat menakutkan.
Badan makhluk ini besar dua kali ganda daripadanya dan berbulu lebat.
Share this novel