Sepanjang aku berbahasa Inggeris di Bahamas, Kepulauan Cayman, Cuba, Panama, Argentina dan juga Rusia, tiada sesiapa yang mempersoalkan tatabahasa aku yang lintang pukang.
Mungkin disebabkan status Agen Rahsia Republik Panama itu membuatkan orang gerun untuk mengkritik aku secara depan-depan. Aku juga tidak teragak-agak untuk menembak sahaja sesiapa yang sibuk mengkritik bahasa Inggeris aku.
Lagipun sepanjang perkenalan aku dengan Emma Watson, dia tidak pernah mengutuk aku apabila berbahasa Inggeris. Malah Emma Watson sendiri selesa berbual dalam bahasa Melayu. Katanya lagi, kita harus berani mencuba berbahasa asing. Biar orang kutuk-kutuk kita, pistol jenama Walther P99 kan ada.
Aku masih ingat lagi ketika sedang melakukan Operasi Rahsia di Bahamas pada tahun 1969. Kebanyakan penduduk Bahamas tidak fasih berbahasa Melayu. Maka, sepanjang keberadaan aku di sana, aku harus berdialog dalam bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris mereka lagi teruk berbanding aku. Tetapi, tidaklah pernah aku menghina mereka. Siapalah aku mahu menghina mereka.
Hidup ini harus merendah diri. Contohnya seperti aku, tidak pernah pula menggunakan status Agen Rahsia Republik Panama untuk berbangga diri. Jauh sekali merebut tender kerajaan menggunakan status aku itu.
Apalah perkhabaran Emma Watson ketika ini? Sudah lama kami tidak ketemu. Semoga beliau baik-baik sahaja.
Share this novel