LAJU dia melangkah menuju ke café kampus sambil mengerling jam yang berada dipergelangan tangannya. Sudah 20 minit dia terlewat, pasti yang lain akan bising. Terutamanya Easther. Syazriana tersenyum sendiri apabila mengingati kawannya yang berbangsa cina itu. Easther paling pantang jika ada diantara mereka yang tidak menepati waktu, pasti akan dibebelnya.
Sebelum menuju ke meja tempat kawan-kawannya sedang menunggu, Syazriana singgah ke kaunter café tersebut untuk membuat pesanan minuman. Dari awal pagi tadi lagi perutnya belum di isi dengan apa-apa melainkan dengan secawan air biasa ketika dia mahu melangkah keluar dari rumah.
“Kak, bagi teh tarik panas satu.” Sambil mengeluarkan wang dari beg tangannya. Selepas membuat bayaran, dia menunggu air yang dipesannya itu di depan kaunter. Matanya dihalakan pada skrin telefon bimbit untuk membaca mesej yang dihantar oleh Izham. Apabila perasan ada cup minuman panas diletakkan di atas kaunter itu, Syazriana terus mengambilnya dan berlalu.
“Eh, adik, yang tu bukan adik punya...” kata kakak yang menjaga kaunter tersebut apabila menyedari Syariana mengambil cup itu. Namun Syazriana yang sudah melangkah laju menuju ke meja kawan-kawannya tidak mendengar panggilan kakak yang berada di kaunter tersebut.
“Tak apalah kak, biarkan dia ambil air tu. Saya akan ambil air yang dia order tadi,” kata lelaki yang berada di depan kaunter itu.
“Tapi, air yang adik tu order bukan coffee, dia order teh tarik,” ujar kakak di kaunter tersebut.
“Tak apa kak, saya akan ambil teh tarik tu,” jawab lelaki itu dengan senyuman. Dia kemudian menoleh ke arah Syazriana yang sedang berjalan menuju ke meja rakan-rakannya. Senyuman terukir dibibir saat melihat wanita itu. ‘Cantik…’ bisik hatinya. Seketika matanya tidak lepas dari memandang Syazriana. Dia benar-benar terpaku, detak jantungnya turut berdebar tidak menentu.
“Haa… Muncul pun. Ingatkan tak nak konvo tadi,” kata Melisa apabila Syazriana tiba di meja mereka.
“Sorry lambat. Grab lambat sampai tadi. Jalan masuk ke kampus ni pula jammed, semakin lambatlah aku sampai. Maklumlah semua datang dengan family masing-masing kan, ada yang datang satu family dua kereta, mana tak jammed,” tutur Syazriana membela diri sambil meletakkan cup minumannya di atas meja.
“Haiya, you sepatutnya uruskan masa dengan bijak. Sudah tahu jalan akan jammed, kenalah keluar rumah awal sedikit. Macam mana itu hotel besar dan terkenal boleh ambil you jadi Marketing Executive mereka hah! You gagal dalam pengurusan masa lor.” Bebel Easther bercampur dengan pelat bangsa cina nya. Johan, Adam dan Melisa terus tertawa apabila mendengar bebelan Easther pada Syazriana yang panjang lebar itu. Masak dengan perangai sahabat mereka yang seorang itu, suka membebel dan cakap lepas. Tetapi hatinya baik walaupun mereka berlainan bangsa dan agama. Buktinya, dari tahun pertama pengajian mereka sehinggalah tamat pengajian, anak berbangsa cina campuran itu masih setia menjadi sahabat baik mereka. Ke mana atau apa sahaja yang mereka lakukan pasti berlima.
“Sebab masa interview aku datang on time,” selamba Syazriana menjawab sambil tersengih.
“Haiya, sudahlah. Malas nak layan you. Cepat minum, lepas tu kita pergi bersiap pakai jubah dan ready masuk dewan. Saya sudah tak sabar nak pakai itu topi empat segi,” kata Easther. Johan, Adam dan Melisa sekali lagi tertawa mendengar kata-kata Easther itu.
“Excuse me...” tegur seorang lelaki. Kelima-lima mereka terus menoleh ke arah lelaki yang berdiri di tepi meja mereka.
“Tadi cik order teh tarik panas kan?” soal lelaki itu sambil memandang Syazriana.
“Ya betul. Ni air yang saya order tadi,” jawab Syazriana sambil menunjukkan cup yang berada di depannya.
“Ini air teh tarik panas cik. Yang cik ambil tu coffee saya. Tadi kakak dekat kaunter tu ada panggil cik, tapi cik tak dengar,” tutur lelaki itu. Lantas Syazriana mengangkat cup di depannya untuk menghidu aroma air panas itu.
“Betullah coffee…” kata Syazriana sambil memandang lelaki di hadapannya.
“Sorry, saya tak perasan tadi ada orang lain yang tengah tunggu order juga. Dan sorry sebab tak dengar masa kakak dekat kaunter tu panggil tadi,” ujar Syazriana.
“Tak apa. Nah, ini teh tarik panas cik.” Sambil menghulur cup teh tarik yang berada di tangannya kepada Syazriana.
“Thank you,” ucap Syazriana.
“Encik tunggu sekejap, saya order coffee yang baru untuk encik,” kata Syazriana sambil bangun dari duduknya.
“Eh, tak perlu. Cik boleh bagi je coffee tu. Cik pun tak minum lagikan coffee tu?” Syazriana menggeleng tanda menjawab pertanyaan lelaki itu.
“Encik tak kisah ke?” soal Syazriana.
“Tak…” jawab lelaki itu dengan senyuman. Perlahan Syazriana mengangkat cup berisi coffee itu kemudian dihulurkan pada lelaki tersebut.
“Thank you,” ucap lelaki itu kemudian terus berlalu dari situ.
“You fikir apa, sampai silap ambil air orang?” bebel Easther.
“Aku tak perasanlah tadi.”
“Awal pagi sudah buat drama cinta macam itu bidadari bertemu jodoh yang tak disangka,” tambah Easther lagi. Pecah ketawa Johan, Adam dan Melisa apabila mendengar kata-kata Easther itu.
“Dahlah, jom kita pergi bersiap, nanti lewat pula masuk dewan.” Ajak Johan sambil bangun dari duduknya.
Cup coffee yang berada ditangannya di pandang dengan senyuman. Dia kemudian menoleh ke arah meja yang diduduki oleh Syazriana. Dilihatnya wanita itu sudah pun berlalu bersama kawan-kawannya yang lain.
“Aina, kenal tak perempuan yang pakai baju kurung warna kuning cair tu?” soalnya pada adik perempuannya.
“Oh, yang tu. Nama dia Syazriana. Aina pun tak berapa kenal dengan dia. Aina tahu nama dia pun sebab dia best student dekat universiti ni. Nama dia selalu meniti di mulut pensyarah-pensyarah. Salah satu student yang akan menerima anugerah dekan,” jawab Aina pada abangnya.
“Kenapa? Abang dah terpikat ke pada dia?” soal Aina dengan senyuman sambil memandang abangnya itu.
“Tak adalah, saja tanya.”
“Pergilah cuba nasib, manatahu berjaya. Mama pun dah bising suruh abang kahwin kan,” ujar Aina sambil tertawa kecil.
“Dah, tak payah nak memandai. Pergilah pakai jubah Aina tu, nanti lewat pula masuk dewan. Abang nak tunggu mama dan papa sekejap, lepas tu kami masuk dewan sama-sama.”
“Okay, Aina pergi dulu. Make sure masuk dewan sebelum majlis bermula tau, jangan lambat pula.” Pesan Aina sebelum meninggalkan abangnya di situ.
AIR mata yang ingin mengalir cuba ditahan apabila melihat rakan-rakannya yang lain sibuk mengambil gambar bersama ibu dan bapa mereka. Dengan jubah yang tersarung di tubuh sambil tangan memegang skrol ijazah dan jambangan bunga, senyuman kegembiraan pula tidak lekang dari bibir masing-masing. Kalaulah ibunya masih ada, pasti dia juga akan seperti mereka.
‘Ibu, Syaz dah berjaya dapatkan segulung ijazah macam yang ibu nak. Syaz harap ibu bangga pada Syaz.’ Bisiknya di dalam hati.
“Jauh mengkhayal…” tegur satu suara. Lantas dia menoleh ke sisinya.
“Abang…” senyuman diukir saat melihat lelaki itu.
“Nah, untuk Syaz. Congratulations on your graduation,” ucap lelaki itu dengan senyuman sambil menghulurkan sejambak bunga ros yang dihiasi dengan teddy bear yang memakai jubah graduan dan topi empat segi.
“Thank you.” Balas Syaz.
“Comel.” Pujinya sambil menyentuh teddy bear pada gubahan bunga itu.
“Comel macam Syaz,” ujar Izham bersama senyuman dibibir. Syazriana turut tersenyum mendengar pujian lelaki dihadapannya itu.
“Abang lambat sebab ni ke?” soalnya pada Izham.
“Abang dah beli awal sebenarnya, tapi tertinggal dekat dalam kereta masa nak masuk dewan tadi. Memandangkan majlis dah nak mula abang terus je masuk dewan, takut terlepas nak tengok Syaz naik pentas ambil skrol. So, bila tamat je majlis, abang terus pergi ambil. Lambat sebab parking jauh sangat,” jawab lelaki itu dengan senyuman.
“Thank you abang, sebab selalu ada dengan Syaz,” ucapnya sekali lagi sambil memandang lelaki itu. Sungguh, dia benar-benar terharu dengan kehadiran lelaki itu kerana ayahnya sendiri pun tidak mahu hadir ke majlis itu.
Terkilan dan sedih, itulah yang dirasakan saat ayahnya memberitahu bahawa lelaki itu tidak dapat hadir ke majlis graduasinya kerana sibuk bekerja. Tetapi awal pagi tadi, bukannya dia tidak nampak yang ayahnya berkemas-kemas seperti mahu pergi ke suatu tempat. Apabila dia bertanya kepada adik tirinya, adiknya itu memberitahu bahawa mereka mahu pergi bercuti di Cameron Highland. Apa lagi yang boleh dikatakannya jika ayahnya lebih mengutamakan ibu dan adik tirinya berbanding dia? Kecewa? Ya, itu sudah pasti. Sudahlah selama tiga tahun ayahnya tidak pernah mengambil tahu tentang pengajiannya di universiti, kini majlis graduasinya juga tidak mahu dihadiri.
“Abang kan dah janji, yang abang akan selalu ada di sisi Syaz, tak kira dalam suka atau pun duka. Abang janji, yang kita akan lalui kehidupan ni bersama,” tutur Izham dengan senyuman sambil memandang wajah wanita dihadapannya itu.
“Syaz dah bersedia ke untuk umumkan tentang hubungan kita pada bestfriends Syaz?” soal Izham. Syazriana mengangguk dengan senyuman.
“Benda baik, takkan nak sembunyikan terus. Lagipun dah tiga tahun lebih Syaz sembunyikan hubungan kita daripada mereka. Masa bertunang tiga bulan lalu pun Syaz langsung tak bagitahu dan jemput mereka.”
“Abang pun tak sabar nak beritahu mereka, letihlah nak berlakon depan mereka macam kita ni tak ada hubungan,” ujar Izham.
“Syaz, jom tangkap gambar,” panggil Melisa yang baru sahaja menghampiri mereka. Keduanya terus menoleh ke arah wanita itu.
“Eh, Abang Iz pun ada dekat sini? Bila sampai?” soal Melisa sambil memandang lelaki itu dengan senyuman.
“Tadi lagi abang sampai, saja nak tengok kamu berlima naik pentas ambil skrol,” jawab Izham dengan senyuman.
“Alang-alang abang dah ada dekat sini, jomlah join kami tangkap gambar sekali. Mereka yang lain pun dah tunggu dekat sana. Jom Syaz, nanti membebel lagi amoi sorang tu.” Ajak Melisa. Izham yang mendengar terus tersenyum. Tahu siapa yang dimaksudkan oleh Melisa itu. Mereka kemudian terus mengatur langkah menuju ke depan dewan tempat Johan, Adam dan Easther sedang menunggu.
“1, 2, 3…” Mendengar sahaja kiraan daripada Izham, mereka berlima terus melambungkan topi empat segi yang berada di tangan mereka ke arah atas bersama sorakan. Tiga tahun mereka berjuang untuk menamatkan pengajian mereka, susah dan senang dikongsi bersama. Hari itu merupakan hari kejayaan mereka. Oleh itu, mereka mahu merakam memory indah dalam hidup mereka lima sekawan.
“Thanks bro, sudi jadi photographer tak berbayar kami,” ucap Adam pada Izham sambil tertawa kecil.
“No problem,” balas Izham dengan senyuman.
“Guys, malam ni jangan lupa kita jumpa dekat The Cloud Café okay. Dah lama kita tak lepak dan borak panjang-panjang,” kata Johan. Jubah yang baru ditanggalkan dari tubuhnya dilipat untuk dipulangkan kepada pihak universiti sekejap lagi.
“Iz, kau pun datanglah sekali malam ni,” ajak Adam.
“Tak ganggu korang ke?” soal Izham.
“Tak adalah. Macam kau tak biasa dengan kami. Datang je sekali, lagi ramai, lagi meriah,” ujar Johan pula.
“Betul tu Abang Iz. Jomlah join sekali,” celah Melisa pula.
“Insya-Allah…” ucap Izham dengan senyuman.
Nak tahu kesudahan cerita ni korang boleh follow IG Jue ye jue_s.86
Share this novel