Rate

Bahagian Satu

Short Story Completed 892

Angin petang yang bertiup menampar halus ke pipi. Kesegaran angin itu membuatkan Dahlan tidak berganjak dari ruang beranda rumah. Dia termenung sendirian. Seraut wajah ibu dan ayahnya menari-nari di kotak fikiran. Masih terpahat dalam ingatan akan pesanan terakhir daripada arwah orang tuanya itu.


"Bila ibu dan ayah dah tak ada, adik jaga kakak baik-baik. Nasihat dan tegur bila kakak buat silap. Adik je satu-satunya harapan kami," bicara itu terngiang-ngiang di telinganya. Dahlan mendengus perlahan. Dia tahu bukan mudah baginya untuk membimbing Nurul Nisrina.


"Dahlan," panggil Nisrina. Dahlan segera menoleh ke arah mana datangnya suara itu.


"Ye kak," sahut Dahlan. Dia berjalan menghampiri kakaknya.


"Aku nak keluar jalan-jalan sambil tu nak beli barang sikit," beritahu Nisrina dengan wajah yang serius.


"Kau ada nak kirim apa-apa tak?" tambahnya lagi.


"Tak ada. Lan cuma nak pesan satu benda penting je," ujar Dahlan.


"Boleh. Apa dia?" tanya Nisrina.


"Sebelum akak keluar akak check dulu pemakaian akak. Dah menutup aurat ke belum. Skirt akak ni dah bagus sebab longgar dan labuh. Tapi tudung akak ni janganlah ikat ke belakang macam ni. Labuhkan jelah. Kan lagi comel kalau labuh. Baju akak tu berlengan pendek. Sepatutnya akak kena cover dengan cardigan atau sweater supaya tertutup aurat tu. Yelah lengan tu kan termasuk aurat seorang wanita. Lagi satu jangan lupa pakai stokin," tegur Dahlan dengan lembut sambil mengukir senyuman.


"Ala, tak apalah. Janji aku dah pakai tudung. Kira dah menutup lah tu. Kalau nak tutup semuanya panas kot. Tak payah nak acah-acah muslimah sangatlah. Jadi diri sendiri je," balas Nisrina.


"Bukan soal jadi diri sendiri. Tapi menutup aurat tu kan perintah Allah. Wajib buat tau," tegur Dahlan lagi. Namun masih menjaga adab dan bahasanya. Bagi Dahlan, menegur seseorang biarlah berhemah serta berlembut. Terkadang bila menggunakan kekasaran akan membuatkan seseorang itu menjadi lebih keras.


Nisrina menghadiahkan jelingan tajam buat Dahlan. Dia cukup pantang bila Dahlan menegurnya tentang aurat.

"Suka hati akulah nak pakai macam mana sekalipun. Yang pakai aku, bukannya kau. Relakslah. Muda lagi kot. Aku nak nikmati zaman muda aku. Nanti bila dah tua barulah pakai yang labuh-labuh. Pakai macam ni kan nampak lebih lawa, lebih anggun," ucap gadis berusia 25 tahun itu.


"Sebagai hamba-Nya yang beriman kita kena utamakan keredhaan berbanding keredhaan manusia. Akak pakai macam ni mungkin nampak lawa pada segelintir orang, tapi tidak pada Allah," nasihat Dahlan lagi.


"Hmm. Kau ni dah boleh jadi ustaz. Apa kata kau bagi je ceramah kat surau ke kat masjid ke atau pun kau masuk terus dalam rancangan tv hah kan boleh jadi famous? Kalau kau nak berceramah dengan aku, sorry sikit aku tak berminat nak dengar," ujar Nisrina dengan amarah yang menyarati dada. Pantas dia berlalu dari situ.

"Astaghfirullah hal 'azim," ucap Dahlan. Hanya kalimah itu yang mampu dilafazkan. Sepatah pun dia tidak membalas makian kakaknya. Dahlan cuba bersabar. Jalan dakwah bukanlah mudah. Lebih-lebih lagi bila berhadapan dengan keluarga sendiri. Saban hari, dia juga tidak pernah jemu mendoakan kebaikan buat Nurul Nisrina.


Ulwan dan Nisrina berjalan seiringan dalam bangunan IOI City Mall. Ulwan hanya mengikut rentak kaki Nisrina. Kedai mana Nisrina hendak masuk Ulwan tidak pernah membantah. Setelah penat berjalan keduanya mengambil keputusan untuk berehat sambil membasahkan tekak yang sudah dahaga.


"Wan, saya harap bila kita dah kahwin awak boleh bimbing saya jadi isteri yang baik," luah Nisrina. Hampir setahun mereka bertunang. Kini mereka hanya menunggu selama sebulan untuk diijabkabulkan. Ulwan menyedut straw yang berada di dalam gelas berisi jus mangga sebelum membalas bicara yang baru didengarnya tadi.


"Insya Allah. Saya akan cuba jadi yang terbaik untuk awak," ujar Ulwan. Gadis yang berada di hadapannya itu tersenyum lebar. Nisrina yakin Ulwan pasti mampu jadi suami yang baik buat dirinya.


"Awak pun kenalah jadi yang terbaik untuk saya jugak," sambung Ulwan lagi.


"Selama ni awak rasa saya ni tak pernah jadi yang terbaik ke?" soal Nisrina.


"Kenapa tiba-tiba tanya macam tu?" tanya Ulwan pula. Dahinya berkerut seribu.


"Saya tanya awak jawab jelah," ujar Nisrina.


"Bila saya dah pilih awak, maksudnya awak terbaik. Kalau awak bukan yang terbaik saya tak akan pilih awak untuk jadi permaisuri hati saya," ucap Ulwan dalam nada yang romantis. Senyuman di bibir Nisrina semakin lebar. Hatinya kian berbunga-bunga. Kehadiran Ulwan benar-benar membuatkan dia bahagia.


"Awak tengok sini kejap kita selfie dulu," pinta Nisrina. Lelaki berusia 27 tahun itu segera memandang kamera telefon milik Nisrina. Senyuman diukir semanisnya sambil membuat 'pose peace'. Kemudian, sepantas kilat Nisrina memuatnaik gambar tersebut ke akaun instagramnya dengan caption 'counting days.'


Nisrina mengharapkan akan ada seorang suami yang boleh membimbingnya. Namun, adik kandung sendiri yang mahu membimbingnya diabaikan begitu sahaja. Bagaimana mungkin dia boleh jadi seorang isteri yang baik.


Muhammad Dahlan. Seorang lelaki yang matanya buta sebelah sejak dilahirkan lagi. Namun lelaki itu tidak buta dengan dunia. Hatinya sentiasa celik dengan akhirat. Jika Nisrina adalah seorang usahawan muda yang berjaya, sebaliknya Dahlan pula hanya bekerja dengan menjual nasi lemak di tepi jalan.


'Sebelum akak keluar bekerja, jangan lupa makan nasi lemak. Lan masak special untuk akak tau.' Nota kecil yang ditulis pada sehelai kertas yang ditinggalkan di atas meja dibaca oleh Nisrina. Gadis itu tersenyum sinis. Tangannya laju mengoyak kertas tersebut. Nasi lemak serta sambal yang terhidang di atas meja dicampakkan ke dalam tong sampah.


"Hoi budak buta sebelah mata, setakat nasi lemak je aku pun boleh buatlah. Macamlah aku nak sangat makan air tangan kau tu. Tak mati pun kalau tak makan masakan kau ni," Nisrina menghantar mesej tersebut untuk Dahlan melalui whatsapp.


Dahlan menelan air liur tatkala membaca mesej daripada kakaknya. Hatinya tertampar dengan kata-kata itu. Nisrina semakin jelas mempamerkan kebenciannya. Dahlan meraup wajah beberapa kali. Tak perlu fikir jauh-jauh sebab apa Nisrina membencinya kerana jawapan yang paling hampir adalah Nisrina cukup benci bila Dahlan mengingatkannya soal aurat, soal akhirat.


'Ya Allah, kuatkan hatiku untuk menempuh dugaan ini. Ya Rabb, kuatkan hatiku untuk berada di jalan dakwah ini. Ya 'Aziz Ya Jabbar, kurniakanlah hidayah buat kakakku Nurul Nisrina binti Uthman,' Dia berdoa di dalam hati.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience