Rate

BAB 1

Romance Series 4659

“UNDERNEATH pokok kelapa… I will wait for you…” nyanyi seorang budak lelaki dalam lingkungan 10 hingga 12 tahun itu.

Setia betul budak lelaki bernama Mazhaqi yang memeluk batang pokok kelapa di pantai Pulau Kapas yang berdekatan dengan pondok buatan seorang lelaki yang amat dikenalinya.

Kalau buah kelapa tu jatuh atas kepala, naya kepala budak lelaki itu. Silap-silap masuk hospital. Tak pasal-pasal abang angkat kesayangannya yang menangis bagai nak rak. Sungguh budak lelaki itu mampu menceriakan dan menghiburkan hatinya yang sunyi sepi.

“Badan hang macam penyapu, lepastu rambut banyak kutu…” sambung seorang lelaki yang berusia dalam lingkungan 25 tahun itu.

Tangannya lincah meraut lidi untuk dijadikan penyapu lidi. Dengan penuh kesabaran yang tinggi, dia berusaha memisahkan daun dengan pelepah kelapa itu. Mazhaqi sekadar memerhati tingkah laku abang angkatnya, Lufti Ma’az yang khusyuk tetapi masih boleh melayan karenah Mazhaqi yang masih memeluk batang pokok kelapa.

Mazhaqi mencebik tatkala rambutnya dikatakan banyak kutu oleh abang angkatnya.
“Rambut abanglah banyak kutu. Rambut Haqi ni walaupun menggerbang tetap bersih tau sebab seminggu tiga empat kali Haqi cuci,” bebel Mazhaqi yang petah berbicara walaupun usianya masih setahun jagung.

Lufti tertawa besar mendengar celoteh Mazhaqi.
“Yelah… yelah rambut abang je yang banyak kutu,” Lufti mengalah walaupun rambutnya jauh lebih kemas dan tidak keriting.

Mazhaqi tersenyum bangga. Bangga kerana dirinya asyik menang dan abang angkatnya selalu mengalah. Memang wajar pun orang yang lebih tua perlu mengalah daripada berperang mulut dengan orang yang lebih muda. Apa barang lawan orang yang bukan sebayanya.

“Dah dah… meh sini duduk dekat abang. Dari tadi Haqi asyik peluk je batang pokok kelapa tu. Cemburu abang dibuatnya,” Lufti memgang dadanya. Acah sakit di hati kononnya.

Mazhaqi terkedek-kedek berlari mendapatkan Lufti yang sudah hampir siap menyiapkan penyapu lidi atas permintaan ibu kepada Mazhaqi, Mak Raudiah.

Mak Raudiah merupakan jiran rumah sebelah Lufti dan ibu kepada Mazhaqi, adik angkat kesayangannya. Lufti tidak memanggil wanita yang berusia 35-an itu sebagai mak cik, sebaliknya Mak Raudiah membuat permintaan agar Lufti memanggilnya dengan panggilan ‘mak’.

Lufti bukanlah anak orang berada seperti dalam drama TV3. Lufti hanya anak tunggal yang mempunyai ayah tunggal di rumahnya di Dungun. Hidupnya tidaklah semewah orang lain. Hidupnya sekadar cukup makan sahaja ibarat kais pagi makan pagi, kais petang, makan petang.

Namun tak mengapa, perancangan Allah itu indah.

Di Pulau Kapas, pondok kayu beratapkan zink itulah satu-satunya tempat dia melepak dan menenangkan fikiran. Kawan? Hmmm… masing-masing sibuk di bumi maju dan canggih. Mana lagi kalau bukan Kuala Lumpur. Masing-masing sudah berkerjaya. Cuma dia sahaja yang masih terkial-kial di negeri Terengganu sementara menunggu panggilan temu duga untuk mencapai kerjayanya.

“Abang… termenung ke?” Tanya Mazhaqi sambil mengawang-awangkan tangannya di hadapan wajah Lufti.

Mazhaqi sahajalah sahabat dan juga adiknya sekarang ini. Tanpa Mazhaqi, atmanya sudah tentu akan didominasikan dengan perasaan penuh sunyi dan sepi tanpa penghibur.

“Termenung kejap je. Haqi ni kacau ajelah,” usik Lufti.

Tangannya kembali menyambung kerja yang tergendala sebentar tadi. Semua lidi yang tersusun elok di sebelah kanannya dikutip lalu dikumpulkan menjadi satu penyapu lidi.

Gelang getah yang berwarna oren yang terletak elok di pergelangan tangannya dikeluarkan lalu diikatnya penyapu lidi itu seketat-ketatnya untuk mengelakkan penyapu lidi itu terpisah lalu berterabur.

“Kacaulah sebab tangan abang tak bergerak. Hari dah nak senja ni. Bila lagi nak siap?” bebel Mazhaqi sambil berpeluk tubuh.

“Nah, dah siap ni ha,”

Penyapu lidi dihulurkan kepada Mazhaqi. Penyapu lidi bertukar tangan. Persis seseorang yang menitikberatkan kualiti kerja, Mazhaqi memerhati dengan penuh tajam hasil kerja yang dibuat oleh Lufti. Beberapa saat kemudian, dia mengangguk berpuas hati dengan hasil kerja penyapu lidi buatan Lufti.

“Bagus… bagus. Saya amat berpuas hati,” ujarnya dengan nada profesional.

“Jom balik. Nanti bising pula Mak Raudiah sebab anak dia tak balik lagi,” ujar Lufti seraya turun dari pondok kayu itu.

Perahu yang tidak jauh daripada mereka didekati. Begitulah setiap kali mereka pergi dan pulang dari Pulau Kapas. Perahu tua buatan ayah Lufti menjadi pilihan mereka sebagai transportasi dari jeti sehinggalah ke Pulau Kapas. Kemudian, dari jeti ke Dungun, mereka akan menunggang motosikal milik Lufti untuk pulang ke rumah

“AKU dipenjara di kala malam,
Saat rakyat marhaen menikmati kebebasan di bawah purnama…” seorang gadis berbaju tidur berwarna merah jambu sedang mendeklamasikan puisi sambil merenung bandar di Kuala Terengganu yang sedang pesat membangun.

Tangannya menggenggam erat jeriji pagar di beranda biliknya sambil duduk bersila di atas lantai tanpa lapik. Sempoi sungguh gadis berdarah bangsawan itu. Rambutnya yang panjang separas bahu itu dibiarkan terlepas.
Angin sepoi-sepoi bahasa menyapa lembut wajah mulus gadis itu dan rambutnya ditiup angin menyebabkan rambut hitam pekat miliknya terbang mengikut arah angin.

Gadis itu mencebik lemah. Kalaulah dia dapat keluar malam itu, sudah pasti dia dapat menikmati kehidupan seperti marhaen di luar sana. Kalaulah… kalau.

“Hailah, bosannya malam ni,” keluhnya di beranda biliknya itu.

Hidupnya menjadi lebih membosankan apabila kiri kanan atas bawah dirinya dikawal oleh pengawal-pengawal istana. Itu semua atas arahan ayahandanya, Sultan Amir Zulkarnain.
Setiap sudut dan setiap pintu ada sahaja pengawal yang mengawal pergerakannya menyebabkan pergerakannya terbatas untuk keluar daripada istana. Sebab itulah dia menganggap dirinya dipenjara.

Ya, penjara buatan Sultan Amir Zulkarnain.

Buat kesekian kalinya, dia mengelluh untuk kali kedua.

“Nasib hidup Puteri Jasmin Umaiza…”

“My name is better without princess but remember, there’s a princess in every girl…” sambungnya lagi.

Puteri Jasmin tersentak tatkala gegendang telinganya menangkap bunyi dedaun pintu bilik tidurnya dikuak oleh seseorang. Dia segera mengangkat punggungnya dari lantai yang tidak berlapik itu.

Tapak tangannya ditepuk-tepuk seraya dia mengibas-ngibas seluarnya untuk membuang debu degil yang melekat. Lantas dia masuk ke dalam biliknya. Suhu biliknya yang sejuk mula menerpa ke kulit-kulit Puteri Jasmin menyebabkan gadis itu menyapu-nyapu lengannya kerana kesejukan.

Dahlah kena angin malam, kena angin penghawa dingin pula tu! Memang tak lama jadi ais batu lah dia gamaknya.

“Puteri Jasmin?” panggil Aurelia, setiausaha yang sangat setia dengan Puteri Jasmin.

Aurelia telah berkhidmat dengan Puteri Jasmin selama hampir 10 tahun dan gadis bergelar pangkat puteri itu sudah pun menganggap Aurelia sebagai sahabatnya. Bukan setiausaha semata-mata. Pun begitu, Aurelia tetap menjalankan tugasannya dengan penuh amanah dan bertanggungjawab.

“Rel… Mien ingat bonda yang masuk,” ujar Puteri Jasmin sambil menghelakan nafas lega.

Kalau Permaisuri Zafiya Umaira yang masuk tadi memang masak dia kena bebel hanya kerana duduk di atas lantai seperti rakyat biasa. Silap hari bulan, dua minggu pun belum habis membebel.

“Maaf Puteri Jasmin, tapi permaisuri suruh Rel sampaikan pesanan untuk Puteri Jasmin,”

Puas Puteri Jasmin memujuk Aurelia supaya membahasakan dirinya sebagai Mien, namun gadis berpangkat setiausaha itu enggan memanggilnya dengan panggilan ‘Mien’. katanya kurang sopan untuk gadis berpangkat kerabat diraja dan orang biasa.

Sudahnya gadis itu hanya mampu berpasrah dan tidak memaksa.

“Pesanan apa?” Tanya Puteri Jasmin ingin tahu.

“Sekarang dah pukul 11.30 malam. Masa untuk tidur Puteri Jasmin,” Aurelia menyampaikan pesanan Permaisuri Zafiya Umaira.

“Hmmm… okey. Kejap lagi Mien tidur. Rel dah boleh keluar,” arahnya.

Aurelia mengangguk seraya membongkokkan tubuhnya untuk memberi penghormatan kepada Puteri Jasmin lalu dia keluar dari bilik yang menempatkan Puteri Jasmin itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience