~{If we believe that tomorrow will be better, we can bear a hardship today-Thich Nhat Han}~
Sejak tadi Qaseh duduk di meja belajarnya sambil menghadap komputer riba yang baru dibeli dengan duit hasil jualan kek tapak kuda cheese selama empat bulan. Senyumannya melebar. Matanya tidak berkedip menonton program wawancara bersama artis kesayangannya, Ian Fitri. Sudah hampir sejam jugalah dia terperap di dalam biliknya demi lelaki pujaan ramai itu. Kopi sejuk yang dibancuh tiga hari lalu disedut perlahan. Dia mengigit penyedut minuman sambil tersengih sendiri. Setelah penat duduk, Qaseh menukar posisinya. Dia meniarap sambil menongkat dagu di atas tilam nipisnya. Kedua belah kakinya terangkat.
"Haih, kenapalah mamat ni helok sangat? Kalaulah dapat jumpa dia, memang aku peluk-peluk lepastu cium dia lama-lama." Qaseh ketawa kuat. Matanya terkelip-kelip menatap skrin komputer riba.
"Aku memang teringin betullah nak dapat suami macam ni. Indahnya hidup. Memang berkepit jelah aku rasa."
"Ya Allah, Qaseh! Ini kerja hang dalam bilik ni? Daripada tadi aku panggil tak menyahut. Hang tak dak kerja lain ka nak buat? Daripada hang melayan lelaki yang entah sapa-sapa tu baiklah hang pi cari kerja. Sekurangnya, bil letrik bil air dekat rumah ni tak tertunggak dah!"
Qaseh menekan butang 'pause'. Dia terus bangun dan duduk di atas katilnya. Kepala digaru.
"Ada anak pun tak guna semua. Asyik menghadap laptop tengok video tak berfaedah tu. Kalau sehari hang tak menyusahkan hidup aku tak boleh, ka? Aku penatlah."
"Apa mak ni. Qaseh jual kek tapak kuda tau. Bukan duduk saja. Kasilah chance sikit nak rehat hari ni."
"Kasi chance? Chance apa? Hang meniaga pun macam tak meniaga. Duit hang jual kek tu mana? Hang buat apa dengan duit tu? Beli laptop kan? Boleh bayar tunggakan bil kita ka?"
Qaseh terkedu. Komputer riba yang dibeli ini pun untuk belajar juga. Bukannya untuk buat benda tak berfaedah sangat pun. Nak harapkan mak? Memang sampai tahun depan pun belum tentu dia dapat.
"Untuk belajar kan laptop ni? Qaseh beli pakai duit hasil usaha Qaseh juga. Tak minta duit mak pun."
"Hang berhenti jelah. Keturunan kita ni tak payah belajar tinggi sangat. Baik hang cari kerja, dapat juga duit. Duk perabih duit belajar, tak kemana pun."
Qaseh memandang maknya yang masih berdiri di hadapan pintu biliknya. Wajah mak dipandang geram.
"Qaseh malas nak bergaduh hari ni, mak. Nanti Qaseh usahakan cari duit untuk bayar bil mak tu, ye? Boleh Qaseh nak rehat kejap? Nak tengok Ian ni."
"Hah, baguslah. Kalau hang tengok mamat tu, dapat kahwin dengan dia takpa juga. Ini haram. Berangan jalah hang."
Qaseh menjeling tajam ke arah maknya. Mulutnya dicebik.
"Jangan sampai Qaseh kahwin dengan dia, ha terkejut mak."
Mak ketawa kuat.
"Tak payahlah mimpi Qaseh. Daripada asyik hadap video dia tu, baiklah hang cari menantu kaya untuk aku. Sekurangnya, boleh tolong keluarga kita."
"Tengok jalah. Jangan terkejut pulak kalau Qaseh bawa Ian ni jumpa mak suatu hari nanti."
Mak terus ketawa seraya berjalan meninggalkan biliknya.
"Tok sah berangan. Pagi-pagi macam ni tak perlulah hang nak melalut."
Qaseh menjeling sambil menekan butang 'play'.
"Biarlah aku berangan kejap. Kahwin dalam mimpi pun jadilah. Mak apa tahu. Asyik membebel je. Layan Ian lagi bagus. Hm, handsome betul bakal suami aku ni. Geram je. Eiii!"
Qaseh memeluk bantalnya erat. Dia tersengih lebar sambil berguling-guling di atas tilamnya dan membayangkan dirinya dengan Ian.
~~~~~~
Jam menunjukkan pukul 9.15 pagi. Kelas online akan tamat pada pukul 9.30 pagi. Qaseh mencatit nota di dalam buku nota tebal yang dibeli sewaktu sekolah menengah lagi. Kulitnya pun sudah terkoyak. Bukannya tidak mampu beli yang baru, tapi sayang kalau nak buang. Banyak lagi helaian yang belum digunakan. Membazir kan amalan syaitan.
Setelah tamat kelas pagi itu, Qaseh terus melangkah ke dapur. Selepas subuh tadi dia mendapat pesanan baru daripada pelanggan tetapnya, Dalila aka kawan baiknya. Dalila antara salah seorang pelanggan yang banyak membeli kek tapak kudanya. Bunyi macam menyedihkan, tapi tanpa Dalila, mungkin bisnesnya ini takkan wujud sehingga kini. Mungkin sudah melingkup. Terus gulung tikar.
Sewaktu tangannya hendak mencapai loyang, tiba-tiba otaknya ligat berfikir. Seronok juga kalau dia rakam video pembuatan kek tapak kudanya ini. Kot boleh viral dalam TokTok? Qaseh tersengih lebar. Cun juga. Dia terus berlari mendapatkan phone holder yang dibeli daripada TokTok shop tempoh hari.
Setiap gerak-gerinya sewaktu menyediakan kek tapak kuda cheese dirakam. Setelah memasukkan kek ke dalam oven, Qaseh terduduk kepenatan. Leceh juga nak rakam video macam ni. Sambil menunggu kek masak, dia mula menyunting video menggunakan aplikasi Cutcap.
Ting
Kek sudah masak. Qaseh mengeluarkan kek perlahan-lahan dan berhati-hati sebelum diletakkan di atas tray untuk disejukkan dahulu. Setelah 10 minit berlalu, dia mula merakam kembali video. Inti coklat dan cream cheese dituang ke atas kek sebelum menyapu rata sos coklat dan cream cheese tadi. Kek dilipat untuk menghasilkan bentuk tapak kuda.
Setelah pesanan untuk Dalila siap, Qaseh terus masuk ke dalam biliknya untuk menyunting kembali video tadi. Hampir setengah jam juga masa yang diambil sebelum dia memuat naik video ke aplikasi TokTok.
"Hashtag fyp, hashtag foryoupage and hashtag Ian Fitri and done!"
Qaseh tersenyum lebar. Semoga video itu boleh membantu menaikkan jualannya.
Dia menguap besar namun sempat ditutup mulutnya dengan tapak tangan. Mengantuk pula tiba-tiba. Kelopak matanya terasa berat. Jam di dinding dipandang sekilas.
'Ada hampir 2 jam sebelum waktu Zohor. Sempat lagi nak tidur,' detik hati kecilnya.
Perlahan-lahan dia merebahkan diri ke atas katil lalu menarik bantal pink kesayangannya. Seperti orang mengantuk disorongkan bantal, Qaseh tidur dengan lena sekali tengahari itu.
~~~~~~
Ring Ring
Telefon Qaseh sedari tadi berdering menandakan ada panggilan masuk. Dengan mata yang masih terkatup rapat, dia meraba-raba telefon di bawah timbunan bantal-bantalnya. Dia terus meletakkan telefon di telinga.
"Kau tidur lagi ke, nyah??" suara kuat Dalila membuatkan telinga Qaseh berdesing.
"Apa yang kuat sangat suara kau ni?"
"Kuat sangat ke?"
Qaseh mendengus kasar.
"Kuatlah, nok. Boleh pekak telinga aku ni dengar suara speaker kau ni."
Dalila ketawa kuat.
"Alah, sorry. Aku excited!"
"Lantak kaulah excited ke apa pun. Ha, ni. Ada apa kau call aku pagi-pagi?"
"Pagi apanya, nyah. Nak pukul 12 dah ni."
Qaseh terus bangun dan menggosok-gosok laju matanya. Jam di dinding dilihat sekilas.
"Eh, iyalah. Asal mak aku tak kejut eh?"
"Ish, dia kejut ke tak, tu tak penting. Yang oenting sekarang, aku ada news yang lagi menarik! Kau nak tahu tak, video kau dah viral!!"
Qaseh terkedu.
"Hah?! Video apa pula ni??"
"Video yang kau posted semalamlah! Naik fyp aku wey! 400k views!!"
"What?! Kau biar betik? Video kek aku tu?"
"Iya! Vid-"
Belum sempat Dalila menghabiskan ayatnya, Qaseh terus mematikan panggilan. Jarinya ligat menekan butang aplikasi TokTok dalam telefonnya.
Terbeliak matanya melihat reaksi pengguna TokTok terhadap video kek tapak kudanya semalam. Hampir 10k likes dan 1.6k comments? Adakah dia bermimpi?
Jantungnya laju berdegup. Adakah ini perasaan Ian Fitri sewaktu mendapat perhatian peminat? Lah, tiber. Ya Allah. Sungguh Qaseh terkejut. Tidak pernah dia berada di situasi begini. Apa yang dia nak buat ni? Argh!
Dia terus membuka aplikasi WhichApp. Tu dia, beratus mesej baru masuk. Semuanya adalah mesej daripada pengguna aplikasi TokTok! Argh, Qaseh hampir pengsan. Rezeki apakah ini? Ya Allah, syukur. Qaseh sangat teruja. Hampir sahaja dia menjerit dan melompat kegembiraan. Namun, hajatnya terbatal sebaik sahaja mendengar ketukan pintu biliknya.
"Qaseh, hang dah bangun belum?
Qaseh menahan dirinya. Jika diikutkan hati, mahu saja dia menjerit. Bukan kerana mak, tapi kerana video kek tadi.
"Bangun dah."
Senyap. Tiada respon. Mak sudah melangkah keluar agaknya. Waktu begini mak akan balik untuk menghantar nasi bungkus tengahari kepada ayah sebelum dia menyambung kerja di kedai makan di bawah blok.
"Alhamdulillah ya Allah. Alhamdulillah untuk rezeki ini." Tidak berhenti Qaseh mengucap syukur.
Dia terus melangkah ke dapur untuk menyiapkan order pelanggan-pelanggan barunya dengan senyuman lebar. Aku akan kaya!
~~~~~~
Qaseh duduk di atas batu sambil menikmati keindahan pemandangan di hadapannya kini. Angin sepoi-sepoi terasa seperti sedang mengusap lembut kulitnya. Sejuk. Segar angin di tepi pantai itu. Bahunya disentuh lembut. Qaseh terkejut. Dia terus menoleh laju ke arah jejaka yang sedang berjalan mendekatinya dari arah belakang. Jejaka itu tersenyum manis menampakkan gigi besinya.
Senyuman manis itu membuatkan jantung Qaseh hampir terkeluar. Ya Allah, manis nok senyuman dia. Macam madu. Madu lebah ye bukan madu baru dari Thailand. Ehem.
"Dekat sini rupanya sayang. Puas I cari. Dekat bilik kita tak ada."
Jejaka itu terus melabuhkan punggung di sebelah Qaseh. Rapat.
Mata Qaseh terbeliak. Sayang? Bilik kita? Kita?? Otak Qaseh jem. Aku mimpi ke ni?
"Hello? Sayang, kenapa senyap?"
Jejaka itu melambai-lambaikan tangan kanannya di hadapan Qaseh. Pipi Qaseh dicubit perlahan.
"Erk?"
Lidah Qaseh kelu. Terasa keras. Tidak mampu berkata apa-apa.
"Berangan!"
"Hah? Erk, Qaseh.. Ambil angin kejap."
"Bosan?" Laju Qaseh menggeleng kepalanya. Dia menggaru kepala yang tidak gatal.
"Tak. Nak tenangkan diri je."
Qaseh menelan liur. Wajah lelaki itu dipandang penuh minat. Helok mak. Tahi lalat di bawah bibirnya memaniskan lagi wajah lelaki itu. Lesung pipit kelihatan di kedua-dua belah pipi saat tersenyum. Mak oi, dalamnya lesung batu. Matanya redup. Kulitnya yang tidak begitu cerah, tidak begitu gelap kelihatan bersinar saat ini.
"I tahu I handsome. Sayang pandang macam nak tembus muka I ni."
Qaseh tersentak. Dia pura-pura ketawa. Kantoi kaw-kaw.
"Manis."
"Apa yang manis?"
"Awaklah."
Lelaki itu ketawa sambil memeluk pinggang Qaseh kemas. Dia menarik Qaseh untuk duduk rapat dengannya.
"Of course. Suami you, kan?"
'Suami?? Dia ni? Suami aku?!' Qaseh hampir pengsan.
Mata Qaseh memandang tepat ke dalam mata lelaki itu. Saat ini wajah mereka cukup dekat. Jantungnya berdegup laju. Kali ini lebih laju daripada kelajuan KTM. Berdesup.
"Suami saya? Awak?"
"Iyelah. Siapa lagi. Sayang ni kena sampuk ke?"
Lelaki itu ketawa lagi.
"Hahaha" Qaseh hanya mampu ketawa.
"I love you, Qaseh Katrina."
Tergamam Qaseh dibuatnya.
"I love yo-"
Dush.
Badan Qaseh terasa dihempuk dengan benda lembut. Matanya terbuka luas. Kelihatan mak sedang mencekak pinggang dengan bantal di tangannya.
"Haaa, berangan lagi. Mimpi apa ni siap I love you bagai ni, Qaseh? Hang mimpi jantan mana pula kali ni? Yan lagi ka?"
Qaseh menggosok badannya sambil mencebikkan mulut.
"Apa mak ni? Sakitlah. Qaseh nak tidur pun tak lena. Yan mana ni? Ianlah!"
"Tak kisahlah Yan ke Ian ke. Hang bangun sekarang. Maghrib nak habis dah ni. Itulah, tidur petang lagi. Kan dah mengigau benda pelik."
"Ish, yelah. Nak senang sikit pun tak boleh."
"Hang pergi ambil wudu' sekarang. Senangkan dulu akhirat tu. Berangan tak habis. Pergi sekarang!"
Dengan hati yang masih membara, Qaseh melangkah menghentak kaki ke bilik air.
"Ha, jalan tu hentak kuat sikit. Biar roboh rumah ni, senang aku nak beli rumah baru."
"Duit pun tak ada, mak. Rumah baru apanya. Silap-silap tidur bawah jambatan."
Qaisara, kakak Qaseh menyampuk sambil menyuap keropok ikan ke dalam mulutnya.
"Ha iyelah. Sebab ada anak macam hang. Kerja tak juga. Tahu merempit memanglah tak kaya. Buang duit aku je beli minyak motor hang tu."
"Eh, kita pula kena."
Mak terus melangkah keluar dari bilik Qaseh. Wajahnya masam mencuka. Qaisara menggeleng. Remote TV dicapai. Siaran ditukar.
Share this novel