BAB 1

Thriller Completed 347

Lampu di dalam rumah gelap. Hatta melihat jam di tangan. Memang padan sangatlah. Sudah menginjak ke angka 12.30 malam ke pagi? Dia sendiri sudah kurang arif untuk mentakrifkan lagi kerana pulang pada waktu begini sudah bagaikan tradisi. Yang pasti, sepatutnya dia sudah berada di dalam rumah bersama anak isteri.

Dia mengeluh. Inikah yang dicarinya dalam hidup? Keluar pagi-pagi sebelum matahari terbit dan pulangnya malam setelah bulan menyelit. Sedar-sedar hari berganti, siang bertukar malam dan tahun di kalendar bertukar angka.

Hanya dia seorang yang rasa dirinya belum tua, sedang anaknya bukan bayi lagi. Yang sulung sudahpun habis tingkatan lima!

Dia masuk ke dalam rumah. Sang isteri yang setia menanti sampai terlelap baring di sofa. Dia rasa bersalah lagi kepada kesetiaan isteri. Hendak dikejut tak sampai hati tapi hendak biarkan isteri terlelap sampai esok pagi sedangkan dia tidur di bilik bersendiri, lagi dia tak sedap hati. Perlahan-lahan bahu isterinya ditepuk.

Sekali. Tidak bergerak. Dua kali. Tidak berganjak. Dia menepuk beberapa kali hingga akhirnya isterinya tersedar. Terpisat-pisat.

“Eh! Pukul berapa ni? Abang dah balik?” Isterinya bertanya dalam mamai.

“Jom! Dah lewat ni,” ajak Hatta tetapi kelihatan isterinya langsung tidak berganjak. Hanya kakinya yang bergerak-gerak.

“Abang naiklah dulu. Imah nak tunggu Rita.” Dalam keadaan matanya payah hendak dibuka, mulutnya berkata-kata membuatkan mata Hatta yang tadinya sudah diracau kantuk, terbeliak serta-merta.

“Pukul 12.30 tak balik lagi? Pergi ke mana?” Suara Hatta sudah naik oktaf.

“Dia kata nak tengok wayang cerita Conjuring.”

“Conjuring… Conjuring tu cerita apa?”

“Dia kata cerita hantu.” Rita menjawab seada pengetahuannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience