Doa Terakhir

Short Story Series 555

Diusap-usap kepala anak kecilnya itu. Sesekali bibirnya mengukir senyuman. Maafkan ibu, sayang. Ibu tak dapat besarkan kamu. Ibu terpaksa tinggalkan kamu di sini. Maafkan ibu.
Wajah putih anak itu dikucup berkali-kali. Merengek bayi itu apabila tidurnya diganggu. Medlina anak ibu, ibu tak pernah berniat untuk meminggirkan kamu sayang. Tak pernah terlintas di hati ibu untuk membuang kamu. Ibu terpaksa. Jika tidak nyawa kamu jadi taruhannya.
Medlina, ingat pesan ibu. Jadi insan berguna sayang. Jangan susahkan orang lain. Ibu tak mahu kamu dibenci. Air mata yang sekian lama cuba ditahan, akhirnya jatuh mencurah. Seutas kalung bertulis Medlina di gantung pada leher bayi itu. Maafkan ibu sayang.

***
Medlina berjalan laju menuju ke kelas Cempaka. Amboi, riuh benar suara anak-anak kecil di situ. Medlina tersenyum. Meskipun kanak-kanak itu membesar tanpa kasih sayang orang tua, namun mereka tetap ceria selalu. Itu yang membuatkan Medlina semakin menyayangi mereka. Walaupun bergaji kecil, Medlina sanggup menjadi tenaga pengajar mereka. Medlina tak kisah semua itu. Baginya senyuman kanak-kanak itu adalah bayaran termahal buatnya.
Selama dua puluh tiga tahun, inilah pekerjaan yang menjadi igauan sejak kecil lagi. Sekiranya dia mati sekalipun, dia ingin kuburnya berhampiran sekolah ini. Telahpun dia berjanji. Tidak akan sekali-kali dia meninggalkan tempat itu selagi dia tidak menemui ibunya.
Medlina melangkah masuk ke dalam kelas Cempaka. Semua kanak-kanak di situ menyerbunya. Semuanya ingin bersuara. Tak terlayan Medlina akan kerenah mereka.
“Kak Medlina, malam ni kita main sorok-sorok dalam hostel ya,” ujar Karissa.
“Tak mahulah, lebih baik kita menyanyi. Suara Kak Medlina sedap,” sampuk Juniza.
Medlina hanya tersenyum. Belum sempat dia bersuara. Akif sudah bersuara.
“Budak perempuan ni asyik main benda yang pelik-pelik je. Kak Medlina, mari kita main Power Rangers,” ajak Akif.
“Okey, semuanya duduk dulu. Nanti kita bincang. Kak Medlina ada benda nak beritahu ni,” bicara Medlina lembut.
Semuanya akur duduk di tempat masing-masing. Senyap. Semuanya menanti Medlina bicara. Medlina telan liur. Pahit. Susah hendak diluahkan kepada anak yang masih belum mengenal erti dunia nyata.
“Tadi akak jumpa pengetua.” Lama Medlina berhenti. Ditarik nafasnya dalam-dalam.
“Pengetua kata, akak dah tak boleh mengajar sesi pagi. Akak kena mngajar kelas malam,” nafasnya dihela. Wajah kanak-kanak yang tadinya ceria menjadi sedikit muram.
“Tapi kalau ada masa lapang, kita boleh jumpa lagi,” pujuk Medlina. Harapannya tidak mahu kanak-kanak itu bersedih. Sebenarnya. Medlina sendiri yang meminta ingin ditukar ke sesi malam. Dia sedar tindakannya agak kurang baik kerana menipu. Tapi dia sudah kesuntukan masa. Waktunya semakin dekat. Terlebih dahulu, dia ingin mencari ibunya. Dia harus bekerja di tempat umum, di luar asrama anak yatim ini.

***
Sudah merata Medlina mencari. Masih tiada lagi jawatan kosong untuknya. Bukannya dia terdesak memerlukan wang buat masa terdekat ini sehingga terpaksa bekerja lebih masa. cuma, inilah satu-satunya cara untuk mencari ibunya. Medlina harus tampilkan diri jika dia ingin menjejaki ibunya. Namun, tiada satu pun pekerjaan yang memerlukan tenaga kerja baru. Medlina hampa. Dalam keletihan merayau-rayau mencari kerja, Medlina berhenti seketika di tepi jalan. Lemah sungguh badannya tika itu. Namun tetap digagahkan demi mencari ibunya. Maklumlah, Medlina tak ada kereta. Hanya kakinya saja yang ada untuk berjalan. Medlina bersandar pada tiang yang memagari jalan raya. Matanya liar menjalar di kawasan itu. Mana tahu, mungkin ada jawatan kosong di situ. Medlina pasrah. Jadi pencuci lantai pun dia sanggup.
Anak mata Medlina yang bulat tiba-tiba berhenti. Berhenti apabila terlihat perkataan ‘jawatan kosong’. Medlina senyum. Sekurang-kurangnya, kerja ni up sikit dari cleaner. Jadi pembantu rumah. Okeylah. Gaji ikut hari. Mahal juga. Medlina bergegas ke rumah jawatan kosong.
Kaki Medlina berhenti betul-betul di hadapan rumah agam putih. Mak aih, ni rumah ke istana? Besarnya. Macam tipulah pulak. Pintu pagar tiba-tiba terbuka luas. Opocot! Kuss, semangat. Nasib tak copot jantung ni. Medlina melangkah memasuki perkarangan rumah besar itu. Mulutnya ternganga luas. Macam orang jakun pun ada jugak.
Pintu rumah itu terbuka. Sekali lagi Medlina terkejut itik. Seorang wanita agak berusia keluar menyapa Medlina. Ramahnya tak ditahan-tahan. Macam melayan anak sendiri pun ada. Jadi segan Medlina dibuatnya.
“Lina tinggal di mana?” soal wanita tadi. Tangannya sibuk menghidang air buat Medlina. Medlina hanya senyum dari tadi. Dah macam duta produk kecantikan.
“Lina tinggal di asrama anak yatim. Jadi tenaga pengajar dekat situ. Tapi syif malam. Ada tuisyen. Habis waktu siang tak ada kerja. Tu yang applies rumah cik…” Medlina berhenti bertutur. Baru dia perasan. Sepanjang mereka berbual, wanita itu belum pun perkenalkan dirinya.
“Panggil aunty, mama Linda. Mama Marlinda.”
“Oh, habis kenapa Mama Linda buat jawatan kosong ni. Lina tengok, dah ramai pembantu dekat sini?” soal Medlina tanpa segan silu. Mama Linda hanya menguntumkan senyuman.
“Saja. Mama Linda boring. Tak ada kawan nak berbual,” jujur Mama Linda.
“Anak Mama Linda mana?” selamba Medlina bertanya. Riak wajah Mama Linda yang tadinya ceria bertukar suram apabila mendengar soalan Medlina.
“Mama Linda tak ada anak,” keluh Mama Linda. Medlina hanya diam mendengar cerita Mama Linda. Sesekali dia menitiskan air mata. Sedih mendengar cerita wanita itu. Sungguh, jika dia masih punya ibu, tak akan sesekali dia biarkan ibunya menangis.
“So, Lina nak kerja sini tak?” Mama Linda menyoal. Medlina diam. Lama. Kemudian dia mengangguk. Setujulah tu.

***
Berhari-hari Medlina menghabiskan masa bersama Mama Linda. Ada saja aktiviti yang mereka lakukan. Bercucuk tanam, membeli-belah dan mandikan kucing.. mandikan kucing? Tak kisahlah aktiviti apa pun. Semuanya dibuat bersama. Sudah seperti anak beranak lagaknya. Sehinggakan Medlina lupa. Lupa mencari ibu kandungnya. Medlina menjadi terlalu leka. Dia terlupa tujuan asalnya bekerja.
“Lina, kalau mama tanya, jangan marah ye,” ujar Mama Linda dengan berhati-hati. Bimbang juga jika anak gadis di hadapannya itu berkecil hati. Melihat respon Medlina yang diam membuatkan Mama Linda yakin bahawa Medlina sedia mendengar ucapannya.
“Lina agama apa?” soal Mama Linda jujur. Medlina tidak menunjukkan reaksi yang terkejut. Dia sudah jangka soalan itu pasti akan keluar dari mulut Mama Linda. Medlina menguis rambut yang menutup pandangannya dari melihat wajah wanita berusia itu. Medlina cuba merangka-rangka ayat yang sesuai untuk dilontarkan. Lama dia mengambil masa untuk bersuara.
“Lina orang Islam. Dulu Lina rajin sembahyang. Tapi sekarang dah tak,” kata-kata Medlina terhenti seketika. Dia cuba menelan air liurnya. Pahit.
“Dulu, setiap kali selepas sembahyang, Lina selalu berdoa supaya dapat jumpa ibu Medlina. Tiap-tiap hari Lina doa. Tapi ibu tak pernah datang ambil Medlina dari rumah tu. Lina jadi putus asa. Sejak dari tu, Lina mula tinggalkan solat,” jujur Medlina. Baginya tiada apa yang perlu diselindung. Soalan ini memang dia sudah jangka dari awal. Orang lain pasti bertanya tentang agamanya kerana tidak pernah melihat Medlina solat.
“Lina, Mama Linda nak cakap sikit ya, ”kata wanita itu dalam nada meminta kebenaran. Medlina mengangguk perlahan. Dia tahu wanita ingin menasihatinya.
“Lina sepatutnya tidak boleh putus asa. Lina kena berdoa agar Lina dapat berjumpa dengan ibu Lina. Macam mama, mama sentiasa berdoa agar Allah jaga anak mama. Mama Linda tak tahu dia di mana. Tapi mama tahu dia selamat.” Medlina senyap. Tiada apa yang mahu dia katakan. Cuma… Medlina memegang kepalanya. Rasa pedih tiba-tiba. Pantas tangan Mama Linda dicapai lalu dicium mesra. Dia harus pergi dulu.
“Mama, Lina ada hal sekejap. Kalau sempat, Lina datang sini lagi.” Medlina bergegas keluar dari rumah agam itu. Masanya semakin suntuk.
Sebaik sahaja Medlina keluar, telefon bimbitnya berbunyi.
“Laa, Lina tertinggal telefon dia pula,” getus hati Mama Linda. Telefon itu dicapai. Tertera nama pemanggil. Julia. Mama Linda menekan butang hijau. Tak sampai seminit telefon itu diangkat, air mata Mama linda rebah.

Marlinda duduk di hadapan pengetua asrama anak yatim itu. Matanya dari tadi tidak lekang digenangi air mata. Julia yang duduk di sebelahnya masih setia mengusap bahunya. Dia tahu wanita itu sedang berduka.
“Saya jumpa Medlina depan pintu asrama anak yatim. Waktu tu, saya muda lagi. Pagi itu, saya dengar ada bayi menangis. Saya cari. Lama saya amati suara itu. Sayu tangisannya. Saya cuba cari sampai jumpa. Rupanya ada orang buang bayi, fikir saya waktu tu.” Pengetua mengelap air matanya. Medlina membesar di depan matanya. Tak sangka rupanya gadis itu anak orang berada.
“Salah saya. Saya yang tinggalkan dia di asrama tu. Saya takut. Saya kena kejar dengan samseng upahan masa tu. Saya takut anak saya diapa-apakan sebab perniagaan suami saya merundum. Syarikat kami bankrap. Kami tak mampu nak jelaskan hutang-hutang tu. Hutang kami keliling pinggang. Suami saya kena bunuh sebab nak selamatkan saya dan anak kami.” Air mata Marlinda bagai tidak segan menjamah pipinya.
“Masa kecil dulu, Medlina selalu berdoa. Dia cakap, dia nak sangat jumpa ibu dia. Dia cakap, jika melihat ibu dia akan menyebabkan dia buta, dia sanggup jadi macam tu. Asalkan dia dapat lihat ibu dia.”
Air mata Marlinda semakin lebat. Sampai begitu sekali permintaan anak kandungnya itu. Marlinda kesal.
“Mana anak saya? Saya nak jumpa dia. Saya nak tatap setiap inci pada wajah dia. Mana dia? Izinkan saya berjumpa dengan dia,” rayu Marlinda.
“Aunty, sabar ya. Medlina sekarang ada di hospital,” jelas Julia. Tubuh wanita itu dirangkul erat.

***
Perlahan-lahan matanya dibuka. Medlina mengeluh. Sudah berhari-hari dia terkurung di dalam hospital ini. Perasaan bosan mula menebal dalam dirinya. Bosan tiada teman untuk berbual . Medlina memandang jam yang tidak berhenti berdetak itu. Sudah pukul 2.30 petang. Zuhur sudah pun masuk. Medlina tersenyum sendiri. Sudah lama dia tidak solat. Sudah lama juga dia tidak sujud pada Ilahi. Gara-gara menunggu ibunya, Medlina lupa solat. Medlina lupa segalannya.
Medlina turun dari katilnya. Kalau boleh, Medlina ingin solat. Mungkin ini adalah solat terakhirnya. Medlina membuka paip air. Perlahan-lahan wajahnya dibasuh. Ya Allah, sudah lama wajah ini tidak dicuci. Tidak dibersihkan dengan air suci-Mu. Ampunkan Medlina Ya Allah. Medlina berdosa.
Medlina mencapai telekung di bilik itu. Sejadah dibentang. Dipakai telekung putih suci itu. Medlina mengangkat takbir. Ayat-ayat suci dibaca. Sayu rasanya hati ini. Medlina solat dengan penuh tawaduq. Rasa hati ini semakin tenang. Sudah lama dia tidak setenang ini. Medlina memberi salam. Tangan diangkat membaca doa.
Ya Allah, maafkan Medlina. Medlina lalai Allah. Medlina lupa pada Allah. Medlina tinggalkan Allah. Tapi Allah tak pernah lupakan Medlina. Allah ingatkan Medlina. Allah beri Medlina penyakit. Tepi Medlina tetap juga tak ingatkan Allah.
Allah, Medlina sakit Ya Allah. Medlina sakit barah. Barah otak Ya Allah. Peluang Medlina untuk hidup tipis sangat. Medlina nak sangat jumpa ibu sebelum Medlina pergi. Tolong Ya Allah. Jadikanlah ini doa yang terakhir Medlina untuk jumpa ibu.
Emdlina menitiskan air mata. Dia terlalu ingin menatap wajah ibunya. Meskipun cuma sekali ini sahaja. Air matanya diseka.
“Assalamualaikum.’ Lembut salam menyapa telinga Medlina. Waalaikumsalam. Medlina tidak menoleh. Dia kenal suara itu. Mama Linda.
Tangan dihulur memohon salam. Medlina menyambut lalu dicukup tangan itu penuh kasih. Tubuh wanita itu dirangkul erat. Rindu setelah sekian lama tidak berjumpa.
“Sayang…” lembut bicara Mama Linda. Air mata menitis. Sudah lama dia tidak dipanggil begitu.
“Nur Medlina Latisya, anak ibu.” Mama Linda berbisik pada telinga Medlina. Medlina terpempam. Ditatap wajah Mama Linda. Lama, meminta kepastian.
“Maafkan ibu Medlina. Ibu yang salah,” ada sendu dalam dalam kata-katanya. Medlina menutup bibir ibunya dari terus berbicara.
“Ibu tak salah. Medlina sayang ibu. Janji jangan tinggalkan Medlina lagi?” pohon Medlina. Mama Linda mengangguk. Ibu janji Medlina.
Medlina meletakkan kepalanya di bahu Mama Linda. Kepalanya terlalu berat sekali. Terlalu mengantuk.
“Ibu, Medlina mengantuk sangat. Boleh tak ibu dodoikan Medlina. Medlina nak sangat dengar ibu menyanyi,” pinta Medlina sayu.
Mama Linda tersenyum. Kepala Medlina dipangku. Diusap-usap tubuh anak itu. Medlina, cepat sembuh sayang. Ibu nak lihat kamu ketawa, tersenyum gembira.
Mata Medlina tertutup rapat. Lena sungguh tidurnya. Secalit senyuman terukir di bibirnya. Selamat tinggal ibu. Medlina pergi unutuk temankan ayah pula.
Nadi Medlina berhenti berdenyut. Tidurnya kini bukan seketika, tapi selamanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience