BAB 7

Horror & Thriller Completed 458

Kali ini cara umpan dipasang telah diubah. Ayam-ayam tadi dilekatkan
pada mata sauh yang dibawa. Kemudiannya diikatkan pada tali yang
dihulurkan pada dahan pokok jejawi yang terjulur hingga ke tengah lubuk.
Mata sauh dengan ayam yang terikat tadi dihulurkan ke bawah dari dahan
pokok. Umpan tersebut hanya menunggu untuk disambar oleh Seludang Tapah
tadi.

“ Harap-harap menjadi” Doa Haji Noh di dalam hati. Matanya tidak lepas
dari memandang kearah umpan yang baru dipasang tadi.

Ngeeeeeeeeeee…………….

Suara hilaian langsuir tadi semakin menjadi-jadi dan menakutkan. Mereka
perlu berhati-hati terhadap makhluk yang masih menumpang pada dahan
jejawi itu.

Eeeeeeeeeee…….Blushhh..

Langsuir itu melompat ke arah dahan yang mengandungi umpan tadi. Kukunya
yang tajam mencengkam dahan pohon semasa dia merangkak ke arah ayam-ayam
yang masih menitiskan darah. Langsuir yang kelaparan itu kelihatan mahu
menghabiskan umpan yang disediakan itu.

“Macammana ni haji. Yang tu pun nak makan umpan kita.”

Haji Noh tidak bercakap banyak. Dia berjalan ke tebingan sungai dan
mengumpul ketulan batu-batu sederhana besar. Batu-batu yang dikutip itu
disusun menjadi dapur kecil. Ketulan-ketulan kemeyan dimasukkan ke situ
dan dinyalakan.

Bau kemenyan mulai menguasai persekitaran di situ. Rasa takut dan seram
semakin bertambah-tambah. Masing-masing membatukan hati dari melayan
perasaan takut memandangkan semua yang ditakuti betul-betul berada di
hadapan mata.

Langsuir itu teroleng-oleng di dahan jejawi tadi sambil menjilat-jilat
darah pada bulu-bulu ayam. Ia tiba-tiba berkalih ke arah kemenyan yang
dibakar tadi. Bau kemenyan telah menarik perhatiannya. Ketika inilah
mukanya yang seakan terbakar itu dapat dilihat dengan jelas. Wajah yang
penuh dengan kesan terbakar itu menakutkan semua yang ada. Gigi
taringnya pula, jelas kelihatan sebaik ianya berdengus untuk menyedut
asap kemenyan yang semerbak baunya itu. Tarikan bau itu bagaikan dadah
yang menyebabkan langsuir itu melompat dari pohon jejawi, ke atas batu
di tebingan sungai itu. Kepalanya direndahkan ke arah kemenyan yang
dibakar tadi untuk menyedut sepenuhnya asap dari situ.

Ngeeeee….

Laungan dari langsuir yang sayu dan hiba itu menguasai suasana. Semua
mata yang ada terarah untuk melihat reaksi Langsuir itu yang seterusnya.
Umpan yang dipasang dilupakan sekejap.

Blushhh…hhhhh

Bagaikan ulang tayang, Seludang Tapah muncul dengan gerakan yang sama
semasa membaham ayam-ayam tadi. Cuma kali ini bukan ayam sahaja yang
tersedia, tapi cangkuk sauh yang mampu merobek mulutnya.

Krakkk!!!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience