BAB 1

Family Completed 239

Tahun 2030

Kuala Lumpur, Malaysia

Aku tersentak apabila bunyi dentuman yang kuat menerobos indera
telingaku. Spontan, mataku terbuntang dan terus terpaku ke arah siling
kaca rumahku yang bergegar. Aku terpempan di atas katil apabila sebuah
jet besar melintasi bumbung rumahku.

Apa yang sedang terjadi?

Awan hari ini tidak seperti kebiasaan. Maksudku, ia bukan dua serampang
kombinasi warna yang selalu dilihat - sebaliknya monokrom. Selama 26
tahun aku hidup di Bumi, belum pernah lagi aku mengalami peristiwa ini.
Fenomena alam mungkin?

Aku bingkas berdiri dari pembaringan dan terkulat-kulat keluar dari
rumahku. Segala macam benda yang kulihat berwarna monokrom, termasuk
tanganku sendiri.

Ini memang gila.

Apa yang aku sedang saksikan benar-benar buat jantung aku berdegup
kencang. Sebuah kepala Mickey Mouse gergasi yang bergigi tajam sedang
‘gembira’ mengejar sekumpulan manusia. Sesekali, aku lihat seseorang
terkandas lantas terus diratah. Sebuah vakum gergasi yang kuanggarkan
berukuran 20 kaki sedang ralit menyedut orang-orang yang berkeliaran
lari. Air liur yang kutelan terasa kelat.

PANG!

Tersentak dari lamunan, pipi kananku terasa sakit. Saat aku pandang ke
kaki, sepasang selipar biru terlompat-lompat mahu mendapatkan aku.
Bengang, aku tendang kuat selipar itu dan terpelanting jauh ke hadapan.
Ia tidak bergerak lagi dan aku fikirkan bahawa dia sudah ‘mati’ dek
tendangan padu aku.

Belum sempat aku menarik nafas lega, terdengar bunyi kibasan yang kuat
dari kejauhan. Ketika aku melirik ke hadapan, sebilah kipas sedang
mendesup ke arah aku. Panik, aku berlari melintasi ruang tamu, dapur dan
diakhiri dengan pintu belakang rumahku. Kibasan itu masih galak mengejar
aku tanpa isyarat untuk melencong ke arah lain.

DUP!

Aku tersembam ke tanah. Ibu jari kakiku terasa begitu sakit akibat
tersadung objek yang keras - mungkin batu. Desupan angin dari kipas itu
jelas terasa saat ia melintasi belakang badanku. Aku menarik nafas lega.
Lambat sesaat saja, tubuh pemberian Tuhan ini boleh terputus dua.

Di hadapanku sekarang, terdapat deretan banglo yang tersergam indah.
Sebatang pokok yang rendang di sebelah Timur menarik perhatian aku untuk
berehat di bawah teduhnya. Dengan nafas yang tercungap-cungap, aku
berjalan ke pokok itu dan bersandar.

Peluh yang merenik di dahi aku kesat perlahan. Bajuku lencung dan kotor
dengan kesan tanah. Aku mengeluh.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience