BAB 3

Romance Completed 4946

Farhan menurunkan Tina di sekolah dan kemudiannya dia meneruskan pemanduan ke tempat kerja. Sepanjang perjalanan Fazlyn tidak bersuara sepatah kata. Dia sebenarnya tidak pernah berada di dalam satu kereta bersama-sama dengan Farhan. Farhan sesekali memerhatikan Fazlyn, isteri yang tidak pernah dicintai. Jika tidak dengan permintaan Tina sesekali dia tidak memperisterikan Fazlyn. Dan juga jika Maria tidak meninggalkan semasa mereka nikah, sudah tentu bukan Fazlyn yang duduk di sebelahnya. Tidak pernah terlintas di kotak fikirannya untuk memperisterikan Fazlyn, kerani biasa di pejabatnya. Dia tidak mengenali Fazlyn, cuma Tina sahaja yang rapat dengannya.

“Sudah berapa kali saya pesan. Jangan sesekali panggil dengan perkataan yang saya tak suka tu. Itu bukan panggilan untuk saya dari mulut awak.” Tersentak Fazlyn mendengarkan kata-kata Farhan itu. Walau pun perlahan namun begitu menusuk ke lubuk hatinya. Sakit dan perit. Namun dia perlu menelan semuanya kerana Tina. Permintaan Tina sebenarnya membuka pintu hati untuk dia menerima pinangan dari Farhan.

“Maafkan saya. Saya janji takkan panggil dengan panggilan…a…”
“Don’t ever!” Fazlyn mengangguk.

Sampai sahaja di pejabat, Fazlyn segera menuju ke meja dan Farhan masuk ke dalam bilik dengan wajah yang kelat. Kalau bukan desakan dari Tina tadi, tak adalah Fazlyn menumpangnya ke tempat kerja.

Farhan membuka not dan memulakan tugas sebelum pintu biliknya di ketuk orang. Dia menggeluh perlahan. Baru sahaja nak bekerja, ada saja yang datang mengacau. Melihatkan wajah Zaki yang bermain di ruang mata, dia tidak jadi untuk menjadi marah. Sahabatnya itu melemparkan senyuman.

“Apa senyum-senyum?” Tanya Farhan dingin.

“Hai, aku nak senyum pun tak boleh ke?”

“Yelah… cara kau senyum tu macam ada makna tau.” Serkap Farhan.

“Tadi aku nampak kau dengan Fazlyn. Apa mimpi kau bawa dia pergi pejabat? Kalau sebelum ni aku tengok dia naik teksi walau pun kau sebumbung atau mungkin sebilik dengannya.”

“Tina yang paksa aku. Kalau tidak, tak adanya aku nak tumpangkan dia.” Zaki menggelengkan kepala. Kesal dengan tindakan Farhan itu.

“Kau tak baik buat macam tu dengan Fazlyn. Dia kan isteri kau. Fazlyn tu budak yang baik. Aku tahu sebab dia pekerja bawahan aku.” Wajah Zaki dipandang sekilas.

“Kau beruntung kerana memperisterikan dia. Sepatutnya kau yang menjaga dia. Ini tidak, kau biarkan dia macam tu je. Kesian dia tau.”

“Dah, jangan pulak kau yang kena dengan aku nanti. Tak ada maknanya aku nak menjaga dia. Dia boleh menjaga diri dia sendiri. Dia dah besar.”

“Kau jangan terlalu ego, Farhan. Kau jangan terlalu membenci kerana aku takut di satu hari nanti kau akan menyintai dia. Aku faham dengan kau, mengapa Maria tu juga yang kau nak tunggu. Takkan kau lupa apa yang sudah dia buat pada kau?”

Farhan terdiam mendengarkan kata-kata dari Zaki tadi. Dia tersentak dengan dua perkara. Pertama, dengan kisah Maria diungkit dan yang kedua dengan apa yang dikatakan sebagai benci menjadi suka. O…. sesekali tidak. Tiada maknanya cinta Fazlyn di dalam hatinya.

“Itu orang. Kalau aku memang sampai bila-bila pun aku tidak akan terima dia. Aku terima dia pun sebab Tina. Tiada sebab lain. Kau jangan nak fikir yang bukan-bukan ye.” Zaki tersenyum dengan jawapan yang diberikan oleh Farhan.

“Aku yakin dengan jodoh kau, Farhan. Memang sudah tertulis bahawa dia adalah pasangan untuk kau. Kenapa Maria yang nak kau kejarkan? Kalau betul dia nakkan kau, masa nikah dia takkan tinggalkan kau. Malukan kau depan orang ramai. Perempuan yang macam tu tak sesuai nak dijadikan isteri. Kau ni memang buta, Farhan.” Keras kata-kata Zaki mengenakan Farhan.

“Engkau kalau setakat nak bagi nasihat, baik kau keluar dari bilik ni. Aku ada banyak kerja yang perlu aku siapkan. Kalau dah tak ada kerja nak buat, aku boleh bagi kerja kat kau.” Akhirnya Zaki mengalah. Namun sebelum dia melangkah keluar dari bilik Farhan, dia berpaling.

“Kau jangan risau, Farhan. Aku akan pastikan kau dengan Fazlyn akan jadi pasangan yang paling ideal sehingga kau lupakan si Maria tu.” Pesan Zaki membuatkan Farhan tersentak. Nampaknya Zaki beria-ia untuk melihat dia bahagia bersama-sama dengan Fazlyn.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience